Iklan

Tuesday, January 5, 2010

Pak Samad : "Reporter Bangang"


Saya melaporkan diri di bilik sempit unit Ehwal Semasa TV3 pada 1.1.85. Pagi itu, (9 pagi) suasana di bilik berita bersebelahan pejabat kami agak sibuk. Telah ramai karyawan termasuk seorang orang tua yang bermuka bengis, dengan rokok sentiasa terpacak di bibirnya. Tangannya pantas menaip sesuatu tetapi dalam masa yang sama membebel kepada seorang wartawan. Berita TV3 buat pertama kali akan bersiaran ke udara pada malamnya.

Salleh membawa saya menemui orang tua yang lokek dengan senyuman itu. Pak Samad, Penasihat Editorial katanya. Kemudian saya diperkenalkan dengan Pengurus BES Hj Subohi dan staf-staf yang lain. Hari pertama di BES benar-benar menyesakkan lagi hati saya. Buat pertama kali saya melihat satu senario kehidupan baru yang amat berbeda dengan apa yang saya alami sebelum ini sama ada sebagai guru atau pegawai di UM. Istilah "Constrain", "Urgent", SOT, Playback, Roll VT, Interview dan sebagainya, terlalu asing bagi saya.

Saya terasa menjadi seorang insan yang terlalu kerdil dalam dunia kewartawanan TV.

Esoknya, 2.2.85 saya dipanggil mengadap Pak Samad. Berita yang disampaikan begitu menakutkan. " Aku nak hantarkau ke Padang Terap, Kedah. Ada penamaan calon pilihanraya kecil di sana," begitu katanya.

" Saya mana ada pengalaman Pak Samad. Pegang "mike" pun tak pernah. Inikan jadi wartawan. Macam mana nak buat berita. Macam mana nak cari berita lagi. Carilah orang lain", rayu saya.
Pak Samad tidak peduli dengan rayuan saya itu. Saya disuruh pulang untuk bersiap dan bertolak petang itu juga. Saya diperkenalkan dengan Lazam Maidin, ketua unit jurukamera Berita Ehwal Semasa (BES).

" Aku mahu kau ambil gambar pencalonan itu. Kau interview Sanusi Joned. Yusof Rawa. Hadi Awang. Kalau ada menteri kau interview sekali. Lepas itu aku mahu kau masuk markas ceramah Pas. Kau tangkap gambar dia orang banyak-banyak. Faham. " Itu arahan Pak Samad.

Petang itu juga kami bertolak ke Kedah dengan kereta syarikat. Selain Lazam, kami dibantu oleh Ramayah. Kami bertiga merupakan wartawan TV3 pertama Unit Berita dan Ehwal Semasa yang dihantar keluar dari Lembah Kelang gamaknya. Kami tiba di Alor Star jam 3 pagi.

Esoknya, 3.1.85 pagi-pagi lagi kami sudah tercongok di Padang Terap, Pokok Sena (kawasan sahabat lama saya di UM Ahmad Lebai Sudin, bekas Exco Negeri dan Exco Pemuda UMNO). Ketika penamaan calon kami mencari tokoh politik terkemuka untuk ditemubual. Seram sejuk dan kegigilan saya bila menemubual tokoh-tokoh besar seperti Sanusi Joned, Hj Yusof Rawa, Haji Hadi dan sebagainya. Nasihat Lazam, orang lama bekas kakitangan RTM, soalan mesti 'straight forward'. Jangan berbelit-belit.

Sebaik habis , kami bergegas balik ke Alor Star dan menitipkan tape rakaman tadi dengan seorang pemandu teksi yang mahu bertolak ke Kuala Lumpur. Saya lampirkan satu nota, nama-nama orang yang ditemubual dan minta rujuk Bernama untuk berita sepenuhnya. Menurut Lazam, dalam TV yang penting gambar. Berita boleh hantar kemudian.

Ketika kami bersiap selepas Maghrib untuk merakam ceramah di markas PAS, Lazam mendapat telefon dari Pak Samad. Lama mereka berbual. Terdengar suara keras dan marah-marah dari corong telefon itu. Sesekali Lazam mengerling ke arah saya. Perkataan 'reporter bangang' terdengar agak nyaring.

Saya tahu kemarahan Pak Samad ditujukan kepada saya, kerana langsung tidak menghantar penulisan sebarang berita. Lazam bagusnya, tidak mahu memberitahu saya apa yang dibualkan dengan Pak Samad. Cuma dia memberitahu tape telah tiba di KL. Lazam menasihati saya, agar lain kali catatan itu, dibuat dengan cara penulisan berita dan bukan sekadar catatan saja. Dia minta saya untuk merujuk wartawan dari akhbar lain.

Saya benar-benar mengalami kejutan budaya. Sebagai orang baru yang baru pertama kali pegang 'microphone', saya rasakan telah melakukan tugasan dengan cemerlang. Sikap Pak Samad membuat saya begitu jengkil. Perasaan benci saya kepada Pak Samad mula terbina. Oleh kerana, saya belum meletakkan jawatan dengan UM, saya berhasrat, untuk kembali bertugas dan memberikan 'assalamualaikum' pada TV3 sebaik kembali ke KL nanti.

Pada kesempatan akan datang, saya akan nukilkan peristiwa kami ditahan selama dua jam di bawah kolong markas PAS. Beritanya tersiar di muka hadapan Utusan Malaysia edisi terakhir pada 4.1.85




No comments:

Post a Comment