Iklan

Sunday, March 13, 2011

GIMIK PERASMIAN: SULTAN DAH NAK SAMPAI...MACAM MANA NI..?


Pagi itu, peluh dingin berjurai-jurai keluar membasahi badan. Jantung saya benar-benar bergetar dan berdebar. Rasa bimbang datang menerpa kalau-kalau majlis yang akan berlangsung sebentar lagi, banyak cacat-celanya, hanya kerana masalah yang ada kaitannya dengan unit saya.

" Macam mana boleh jadi macam ni.. ? Kan semalaman tadi kita dah cuba banyak kali, semuanya berjalan dengan sempurna..? "zahir saya kecewa kepada kawan dan pembantu saya Mokhlas Maskom serta adiknya pakar elektronik saya Jali.

" Tak tahulah. Nanti aku cek satu-satu..." lahirnya. Untungnya Mokhlas dan adiknya kelihatan agak tenang.

" Tindak segera Mok. Sultan dah nak sampai. Niaya kita nanti.....," zahir saya lagi agak panik.

Mokhlas beserta adiknya segera mencari punca masalah yang membabitkan unit saya. Segala yang membabitkan pemain video atau wayer-wayer dan kabel yang berkaitan diselidiki dengan penuh teliti.

" Dah jumpa masalahnya," lahir Mokhlas gembira.

" Apa..."

" Kabel sambungan terendam dan terkena air longkang masa hujan malam tadi," lahirnya lagi.

" Kan semalam, kita dah cek . Kan tiada masalah."

" Bukan masalah kita. Orang urusetia buat perangai dan mengalihkan rostrum dari kiri ke kanan. Jadi kabelnya melendut dan terbenam dalam longkang. Malam tadikan hujan. Jadi wayer 'shot' le.." tambahnya lagi.

Sebenarnya peristiwa ini berlaku pada pagi hari perasmian Memorial Tunku Abdul Rahman Putera Kedah di Alor Setar beberapa tahun lalu. Pihak Arkib Negara melalui sebuah syarikat bumiputera, telah menugaskan saya untuk mengendalikan aspek gimik perasmian untuk majlis itu di samping menjadi perunding dalam penyusunan bahan dan foto sejarah mengikut urutan masa dan peristiwa.

Dalam aspek gimik perasmian, saya telah merancang susunan persembahan seperti berikut.
Sebaik saja baginda Sultan Kedah menekan butang merah di atas rostrum, secara otomatik, letupan meriam dua das akan dilancarkan. Ini diikuti dengan langsir yang menutup foto Tunku di pintu masuk bangunan dibuka perlahan-lahan secara otomatik disulami denngan kepulan asap. Sebaik saja asap menghilang, satu persembahan video biografi Tunku Abdul Rahman akan dipancarkan. Video ini telah kami siapkan beberapa hari sebelumnya.

Dua hari, dua malam secara terus kami menyediakan gatget dan menguji urutan persembahan secara elektronik itu. Paling akhir lewat jam empat pagi malam sebelum majlis perasmian itu. Segalanya berjalan dengan lancar dan 'perfect'.

Menjelang subuh, kami berangkat ke hotel Seri Malaysia Alor Setar untuk berihat dan membersihkan diri. Malangnya, kami tertidur dan dikejutkan jam sembilan pagi oleh seorang pegawai Arkib Negara. Tidak hairan, sekiranya, kami bergegas ke lokasi dengan membersihkan diri ala kadar kerana majlis akan bermula jam 10.30 pagi.

Sebaik tiba ke lokasi, kami benar-benar kegemparan dan ketakutan kerana segala persiapan rapi dan 'perfect' menjadi sebaliknya. Saya sebagai ketua unit ini, tentu saja paling merasa impak kegetiran itu, kerana sayalah orangnya yang terpaksa memikul segala tanggungjawab jika berlaku kecekcokan pada majlis sebesar itu.

" Kita go plan B," putus saya dan memanggil beberapa orang yang ada kaitan dengan persembahan gimik perasmian ini. Melalui plan B ini, segala-galanya akan dibuat secara manual.
Mokhlas ditugaskan untuk memerhati bahasa tubuh Tuanku khususnya ketika baginda menekan butang merah di atas rostrum. Ketika itu berlaku, Mokhlas akan memberi 'Q' dengan mengangkatkan tangannya.

Sebaik Mokhlas mengangkat tangan, Jali akan memberi signal kepada juru meriam untuk melancarkan letupan dan sebaik letupan dibunyikan, Jali akan memainkan video Biografi Tunku Abdul Rahman. Dua orang pekerja Memorial, saya tugaskan untuk berada di belakang langsir dan akan bertindak menarik langsir perlahan-lahan sebaik mendengar bunyi letupan. Mokhlas juga ditugaskan menyembur asap sebaik letupan dijalankan.

Satu rehearsal ringkas saya lakukan ketika para tetamu sudah semakin ramai membanjiri perkarangan Memorial Tunku Abdul Rahman Putera Kedah itu. Semakin ramai tetamu hadir, ternyata semakin menggalak debaran dan degupan jantung saya. Saya takut, kalau-kalau, plan B saya gagal terus dan kegagalan itu, pastinya akan menggugut reputasi saya dan keyakinan orang kepada diri saya.

Masalah yang berlaku itu, tidak langsung diketahui oleh siapa-siapa kecuali kumpulan saya.

" Sultan dah sampai..." lahir Mokhlas. Serentak itu, saya secara bersignal tangan, mengarahkan kesemua pembantu saya bersedia. Jelas sekali, semakin hampir Sultan berjalan dari pintu gerbang diiringi def-def kehormat, pukulan kompang dan bunga manggar, hati saya benar-benar bergetar sungguh. Muka saya sudah merah mencuka. Peluh dingin mencurah-curah keluar. Saya benar-benar risau dan agak panek.

Melihat keadaan itu, Jali lekas-lekas memimpin saya dan didudukkannya ke bangku rihat berhampiran.

" Abang Man duduk tenang-tenang saja di sini. Kita bereskan semua. Semua akan okey..." pujuknya.

Yang termampu saya lakukan adalah mengangguk dan mengharap. Malah saya langsung tidak berani untuk menonton dan menyaksikan secara langsung persembahan dan acara gimik perasmian yang saya rancangkan itu.

" Beta dengan ini merasmikan Memorial Tunku Abdul Rahman Putera Kedah," akhirnya terdengar ucapan baginda Sultan Kedah dari pembesar suara.

Dari jauh saya melihat Mokhlas mengangkat tangan menandakan Baginda Sultan telah menekan butang merah. Juru meriam terus melepaskan dua letupan, dan Jali menekan punat pemain video untuk memainkan video biografi Tunku Abdul Rahman Putera. Di pintu masuk Memorial, langsir yang menutup foto Tunku ditarik perlahan-lahan dan asap berkepul-kepulan mewarnai keseluruhan acara.

Satu tepukan gemurah berkumandang akhirnya. Tepukan itu, benar-benar menyirami rasa gelisah saya dan sekaligus debaran itu terhapus dengan tiba-tiba.

Sebaik saja baginda Sultan berangkat ke pintu masuk untuk memotong pita dan melawat ruang pameran, Mokhlas dan Jali serta teman-teman lain bergegas menemui saya. Kami saling mengucap tahniah kerana kejayaan tugasan ini. Beberapa orang pegawai Arkib Negara termasuk Pengarah Bahagian Memorial, En. Zainol Abdul Rahman turut berbuat demikian.

Sebenarnya, paparan ini, adalah lanjutan dari coretan saya Jack of Many Trade and Master of Some. Melakukan gimik perasmian untuk sesuatu majlis seperti ini, adalah satu lagi ilmu yang saya raih sepanjang hidup saya sebagai seorang 'freelancer'.

Satu lagi peristiwa adalah membabitkan perasmian Seminar Sejarah Melayu Dari Perspektif Belanda di Melaka beberapa bulan kemudian.

Satu hari, En. Zainol, Pengarah Bahagian Memorial, memanggil saya untuk menemui beliau.

" Apa cerita baru bos..?" tanya saya sebaik saja diminta ke biliknya. Saya berpapasan dengan sekumpulan anak-anak muda Melayu yang baru keluar dari biliknya juga.

" Begini. Minggu depan ada seminar di Melaka. Perasmian Tun Khalil Yang Di-Pertua. Aku mahu kau buat gimik perasmiannya, " kata En. Zainol.

" Kau selisih dengan budak-budak tadikan. Dia orang yang aku minta buat gimik perasmian. Dia nak buat replika A Famosa dan nak letupkan . Konsepnya menarik, tapi kosnya tidak. Dia orang minta 40 ribu. Kami mana ada bajet. Ini aku saja-saja nak buat," tambahnya lagi.

" Jadi..?"

" Aku dah reject. Jadi, aku mahu kau buat..."

" Kata tak ada budjet."

" Budjet itu ada. Nanti aku korak mana-mana. Tapi kurang 10 ribu. Anggaran lima ribu."

" Projek macam ni, macam mana nak buat semurah itu."

" Boleh. Kita kerjasama. Kerja kau fikir macam mana nak letupkan A Famosa dan buat thriller video anggaran 1 minit. Aku tahu kau boleh buat," zahirnya.

Fikiran saya berbolak-balik. Bolehkah satu gimik perasmian dilaksanakan dengan budget serendah itu. Akhirnya saya minta izin untuk berfikir dan berbincang dengan kawan-kawan.

Sebenarnya, saya terasa serba-salah untuk menolak permintaan En. Zainol. Beliau, antara orang yang amat berjasa dalam membantu kebangkitan saya. Melalui beliaulah, saya berpeluang untuk menghasilkan, mengarah, menulis skrip dan menerbit banyak video-video untuk Jabatan Memorial Arkib Negara seperti Di MTARP, MTAR, Memorial Perisytiharan Kemerdekaan, Rumah Kelahiran Mahathir, Pustaka Perkhidmatan awam dan sebagainya.

Semalaman itu, saya merancang dan berfikir. Esoknya saya menemui Mokhlas dan adiknya Jali, pakar elektronik saya, untuk merangka aktiviti. Pada petangnya, saya kembali menemui En. Zainol.

" Okeylah bos kami sanggup buat. Tapi kita tak letupkan A Famosa. Tapi kapal Belanda."
" Kapal Belanda...? Okey.. Tapi kapal tu dan meriam macam mana?"

" Kapal Belanda dan meriam kita pinjam kat mana-mana muzium."

" Okey...Tapi, kata kau nak letupkan kapal tu..."

" Letupan in bracket. Macam meletup tapi tak letup. Satu lagi, saya minta pihak arkib sediakan lima pahlawan Melayu diiringi dayang-dayang. Hang Tuah bawa keris dan berikan kepada YDP... dan....." zahir saya sambil menghuraikan susun-atur persembahan gimik perasmian hingga diakhiri dengan persembahan thriller pendek satu minit.

Encik Zainol bersetuju dan beliau tersenyum riang.

" Meriam tu biar meletup tahu macam di Kedah. Kalau tak meletup Man, aku sembelih kau..." zahirnya lucu, di akhir pertemuan itu.

Petang itu juga kami memulakan tugasan yang diberikan. Jali mencari mesin pemancut air sementara Mokhlas meminjam alat menebar asap. Saya meminta pegawai dan sahabat di Memorial Perisytiharan Kemerdekaan di Melaka menyediakan sebuah meriam lama, sebuah keris lama, lima pahlawan Melayu dan lima dayang untuk majlis itu, serta projektor dan papan layar. Yang lain kami bereskan sendiri.

Malam sebelum majlis perasmian yang diadakan di sebuah hotel di Melaka, kesemua gatjet itu kami pasangkan. Jali menggunakan balang gas pemancut air dengan muncungnya berada dalam lubang meriam, untuk aktiviti letupan. Mokhlas, menghias kapal belanda yang di bawahnya dialaskan kain merah serta beberapa biji mentol berwarna merah. Beliau juga mencuba mesin penyembur asap. Dan saya menguruskan, video thriller serta susunan aturcara persembahan yang membabitkan Hang Tuah lima bersaudara dan dayang-dayang.

" Kau mesti pastikan meriam meletup Man. Kalau tidak aku sembelih kau..." ulang En. Zainol apabila kami bertemu kemudian. Malah kata-kata itulah juga yang saya sampaikan kepada Mokhlas dan Jali. Mereka ketawa lucu mendengar 'ugutan' itu.

Esoknya, anggaran jam 10 pagi, majlis itu dimulakan. Selepas YDP selesai memberi ucapan perasmian, pukulan kompang dibunyikan dan lampu dewan disuramkan. Dari arah belakang dewan yang penuh dengan hadiran itu, muncul lima pahlawan Melayu membawa keris diiringi oleh beberapa orang dayang. Hang Tuah, menyerahkan keris kepada YDP, yang kemudiannya menghunus dan mengucupnya lalu menggerakkan keris beberapa kali dengan pangkalnya menghala ke sebuah meriam yang terdapat di hadapannya dengan muncungnya menghala ke sebuah replika kapal Belanda yang berlatarkan skrin putih.

Sebaik perkara ini dilakukan, Jali menekan pacu balang gas pemacut air dengan muncung di dalam meriam. Keadaan ini menghasilkan satu bunyi yang kuat dari corong meriam itu. Sebaik meriam diletupkan, Mokhlas yang bersembunyi di bawah replika kapal, menghidupkan suiz mentol merah di bawah kain dan menekan suis mesin membuat asap. Suasana ketika itu, memperlihatkan satu suasana seperti kapal itu sedang terbakar lanjutan dari letupan dari majis YDP menggerak-gerakkan kerisnya. Dalam masa yang sama, Jali menekan suiz peman video dan thriller perasmian seminar itu dipancarkan ke skrin di belakang kapal yang sedang 'terbakar' itu. Muzik latar amat bersesuaian dengan gimik perasmian ini.

Persembahan gimik perasmian dengan kos yang amat murah itu mendapat tepukan gemuruh dari seluruh hadiran. Kami pulang dengan seribu kepuasan. Bukan kerana kosnya tetapi kejayaan menghasilkan satu kreativiti persembahan, yang suatu hari lalu tidak dapat terfikirkan kami mampu melakukannya.

Keadaan ini juga justified kepada persepsi saya, betapa orang yang 'punya kuasa' akan pasti mencari saya ketika itu, sekiranya mereka berada dalam kedudukan yang terpaksa, tetapi akan mencari orang lain yang mudah 'diselingkuh', walaupun tahu saya mempunyai wibawa.

Walau bagaimanapun, En. Zainol berasa kesihan dan menambahkan sedikit kos pembikinan gimik perasmian ini.

Gimik Perasmian, satu lagi ilmu yang terangkum dalam urutan kerjaya saya.

Jumpa lagi.