Iklan

Sunday, May 29, 2011

MENYUSUN SEMULA SERPIHAN KEHIDUPAN.


Dalam sejarah Islam, Nabi Musa dipaparkan memberi amanat dan peringatan agar sentiasa bersedia perubahan masa dan keadaan setiap tujuh tahun. Berdasarkan amanatnya, setelah tujuh tahun zaman mewah dan hidup penuh kebahagiaan, akan dituruti dengan tujuh tahun zaman kepayahan dan kesusahan.

Justeru, ketika zaman mewah, baginda sentiasa beringat dan mengingatkan umatnya untuk menyimpan bekalan sebagai persediaan untuk zaman yang penuh kepayahan.

Mungkin ada benarnya, amanat Nabi Musa itu khususnya dalam konteks diri saya. Untuk tulisan kali ini, biarlah saya sentuh segala peristiwa yang membabitkan diri saya selepas tujuh tahun menderita dari tahun 1987.

Sebagaimana yang sudah dimaklumkan, saya meninggalkan TV3 secara rasminya anggaran awal tahun 1987. Antara tempoh tahun itu hingga 1994 (tujuh tahun), saya benar-benar beusaha gigih untuk membina semula kehidupan. Apa saja peluang dan kesempatan untuk mencari rezeki, tidak saya tolak. Masa kerja saya sebagai 'penganggur berijazah tinggi' kerapnya tidak menentu. Ada kalanya melebihi 36 jam. Kerapnya berhari-hari dan berminggu-minggu. Siang atau malam, tidak lagi menjadi perhatian.

Habit ini kelihatannya kekal hingga ke hari ini.

Tidak hairanlah, kesihatan saya ketika itu tidak menentu. Bagaimanapun, oleh kerana, alah bisa tegal biasa, dan kerana kesibukan yang amat sangat bagi mencari rezeki sesuap nasi untuk isteri dan anak-anak, saya gagahi juga.

Sedikit demi sedikit, segala rezeki hasil usaha dan penat lelah yang tiada hentinya, dari pelbagai kemahiran dan kebolehan yang saya punyai, termasuk sedikit harta pusaka tinggalan arwah ayah yang meninggal dunia tahun 1993, saya kumpul.

Pada awal tahun 1994, saya sudah boleh diandaikan sebagai 'financially secure'.

Ada juga pandangan orang tua-tua yang mengatakan, segalanya ini kerana rezeki anak-anak. Mungkin ada benarnya kerana, semakin bertambah anak-anak saya, rezeki saya semakin melimpah-ruah.

Ahmad Nazrin, anak lelaki saya,anak yang ketiga lahir pada tahun 1990. dan pada tahun 1994, dia sudah berumur empat tahun. Wani anak yang tertua, sudah darjah dua sekolah rendah dan Nisa baru memasuki darjah satu.

Masalah penjagaan anak dan bebanan tugasan isteri saya, Riswati, sebagai jururawat di hospital swasta SJMC kerap menimbulkan masalah dan perbincangan dalam keluarga. Apatah lagi, sebagai seorang 'freelancer' saya kerap berpergian keluar daerah atau kerap berada dalam bilik suntingan (video editing) bagi menghasilkan produk akhir sesebuah video dokumentari atau video korporat.

" Ris masih minat lagi dengan tugas jururawat ini?" satu hari saya saja-saja menembak perasaan isteri saya. Beberapa hari kebelakangan itu, Riswati kerap mengeluh kerana kepenatan bukan saja sibuk meladeni perangai pesakitnya dan masa kerja yang tidak menentu, tetapi lebih penting dalam pengurusan anak-anak yang semakin membesar.

Menurutnya, pelajaran dan penjagaan anak-anaknya kerap terabai. Dia ingin memberikan perhatian lebih terhadap pembesaran dan pertumbuhan anak-anaknya khususnya pada peringkat awal kanak-kanak mereka.

Pada saya dengan kedudukan kewangan yang dikira agak mantap ketika itu, saya tidak keberatan untuk Ris meninggalkan karier sebagai jururawat dan menjadi suri rumah sepenuh masa.

"Minat tu memang minat kerana inilah karier yang Ris tahu. Tapi kalau ada pilihan lain yang sesuai dan dalam masa yang sama boleh jaga anak, Ris sanggup berhenti," zahirnya bersahaja.

Sejak hari itu, fikiran saya mula tertumpu kepada jawapan Ris. Saya faham maksudnya iaitu dia tidak mahu menjadi suri rumah tangga sepenuh masa. Yang dia mahukan adalah satu karier yang dapat menggabungkan peranannya sebagai ibu dan dalam masa yang sama dia masih berupaya menjana pendapatan untuk dirinya dan keluarga sebagaimana sebelumnya.

" Kalau macam itu, abang bantu Ris buka perniagaan. Setuju?"

Mendengar itu, Riswati tiba-tiba menjadi begitu seronok. Berniaga, sebenarnya memang sudah sebati dengan darah dagingnya. Ayahnya juga, adalah seorang peniaga barangan muslim dan toke membuat songkok di Kompleks Pasar Baru, Johor Baru. Tambahan pula, anak-anak boleh sentiasa ada di sisinya sebaik balik dari sekolah. Ahmad Nazrin boleh dijaganya ketika berada di kedai.

Riswati mengangguk seronok.

" Kata orang, kalau mahu berniaga, perniagaan yang boleh Ris mulakan adalah sesuatu yang kita mahir atau kita tahu. Setelah berjaya, baru kita kembangkan pada bidang lain," ujar saya, seolah-olah seorang pakar dalam selok-belok perniagaan.

Pada hakikatnya, saya sendiri tidak punya keberanian untuk memulakan sebarang perniagaan. Walhal ketika kecil anggaran umur enam tahun, saya sudah memikul kuali tembaga besar di kepala ketika menolong ibu saya Nurlaila menjual kuih apam balik di Masjid Tanah. Pada umur sepuluh tahun, saya juga sudah pandai membuat songkok ketika membantu ayah saya Haji Rosli berkedai songkok dan barangan muslim di pekan itu.

Mungkin bakat yang pernah ada sudah lama hilang atau berkarat kerana urutan masa dan perkembangan zaman juga keadaan. Tidak hairanlah kalau saya lebih senang mengambil upah mengerjakan sesuatu tugasan kreatif dan hasil permintaan orang lain.

"Jadi abang cadangkan tiga pilihan. Pertama, oleh kerana Ris seorang jururawat, perniagaan yang sesuai adalah buka Nurseri , menjaga anak-anak kecil atau bayi. Kedua, ikut contoh 'ayah kita' berniaga barangan muslim dan buat songkok. Ketiga, berniaga restoren Nasi Padang kerana keluarga kita memang ramai membuka perniagaan itu".

Selepas lama membuat pertimbangan, dan banyak bertanya kepada ayahnya dan kenalan yang lain, maka Riswati akhirnya bersetuju memilih sifat perniagaan yang kedua iaitu perniagaan menjual barangan muslim dan menjual songkok. Alasannya mudah. Ayahnya boleh dijadikan mentor dan boleh membantu merekomen kepada pembekal-pembekal barangan muslim itu. Selain itu, ayahnya juga boleh memberi tunjuk ajar akan selok-belok ilmu perniagaan tersebut.

Ris juga tertarik dengan perniagaan Nurseri. Bagaimanapun, perniagaan itu membabitkan masa dan perhatian lebih kepada anak orang dan pastinya akan menggugat hasrat untuk memberikan perhatian lebih kepada anak-anaknya sendiri.

Mengenai perniagaan Nasi Padang, Ris rasakan masanya masih awal dan dia tidak bersedia lagi. Bukan saja perniagaan ini memerlukan komitmen yang serius, malah ia juga membabitkan kawalan kepada pekerja yang ramai serta kawalan persediaan makanan yang baik sepanjang masa. Masa kerjanya juga agak lama.

" Lokasi pilihan Ris?" tanya saya lanjut.

"Kajang.."

Saya faham kenapa Ris memilih Kajang. Ketika zaman susah beberapa tahun lalu, kami pernah seketika tinggal di Kampung Sungai Long, Batu 12 1/2 Jalan Cheras, Kajang, sebelum Ris kembali ke Johor untuk melahirkan Nisa dan bertugas semula sebagai jururawat di sana. Selain itu, ibu saudaranya dan neneknya tinggal di Sungai Ramal Kajang.

Ketika itu, Kajang bukannya seperti keadaannya hari ini yang pesat membangun. Ia masih sebuah bandar koboi yang popular dengan Satey Kajangnya.

Esoknya, kami menjejaki seluruh bandar Kajang untuk mencari lokasi perniagaan yang sesuai. Akhirnya, kami temui sebuah kedai berukuran 12 X 12 kaki persegi, berhampiran Pasar Kajang. Pada anggaran kasar kami, dengan keadaan premis yang kecil dan kedudukannya agak terkebelakang dari pintu masuk Pasar Kajang, sewanya ketika itu paling tinggi, RM 300.00.

Menurut, pekedai-pekedai di situ yang kebanyakannya kaum China, kedai itu, kerapkali disewa dan ditinggalkan orang kerana ada masalah dengan tuan punyanya. Walau bagaimanapun, kami segera menjejaki dan menemui tuan punyanya, seorang Melayu.

Tuan punya yang berumur awal 30-an dan seorang kontraktor kelas F itu mengemukakan syarat-syarat penyewaan yang saya kira amat melucukan. Dia mahukan sewa bulanan RM 700.00 dengan deposit sewa tiga bulan termasuk cagaran air dan api. Lebih teruk lagi, dia mahukan kami memberikan cagaran sewa tambahan sebanyak enam bulan lagi iaitu RM 4200.00.

Paling mudah jika mahu dicongak, deposit atau cagarannya adalah 9 bulan sewa tidak termasuk sewa bulan pertama RM 700.00.

Jelasnya, untuk memulakan perniagaan ini, kami perlu melunaskan wang premis tidak termasuk kos lain seperti barang-barang perniagaan dan keperluan niaga serta lesen premis dan lesen perniagaan, sebanyak RM 7000.00.

Melayu ini, saya rasa betul-betul bangsa "Cekik Darah". Kedudukan premis itu tidaklah begitu strategik dan bukan di tengah bandar. Ia hanya berada di lingkungan yang berhampiran dengan pasar sahaja. Kami berusaha mencari lokasi perniagaan yang lain tetapi tidak ada. Kalau adapun, kedudukan premis itu amat tersorok sekali.

Kami menemui semula kontraktor Melayu itu, dan meminta agar sewa dan syarat-syarat itu dikurangkan. Dia, akhirnya bersedia menurunkan sewanya RM 500.00 dengan syarat deposit tiga bulan dan cagaran premis 6 bulan dikekalkan. Ini bermakna kos keseluruhan untuk mendapatkan premis itu RM 5000.00.

Akhirnya, mahu tidak mahu, dan sekadar 'katalis' bagi memulakan perniagaan dan tidak mahu menghampakan harapan Riswati, kami mengambil juga kedai itu dan membayar 'sewa' mula sebanyak RM 5000.00.

" Nama syarikat Ris?"

" Anugerah Ilmu Enterprise," pantas jawab Ris. " Rezeki yang kita dapat selama ini kerana anugerah macam-macam ilmu kemahiran dari Allah kepada abang selama ini, yang membolehkan hidup kita pulih seperti hari ini," tambah Ris lagi.

" Tambahan pula abang selalu gunakan nama itu, walau tak daftar lagi iaitu Anugerah Ilmu Media Services." katanya lagi. Saya kembali teringat, saya kerap menggunakan nama itu atau AIMS, dalam urusan surat menyurat dengan syarikat lain, ketika berada dalam lingkungan zaman susah dahulu.

Saya terus bersetuju dengan nama itu, kerana mengambil berkat di atas segala ilmu kemahiran yang dihadiahkan oleh Ilahi, yang membolehkan saya bangkit semula dari kehidupan yang perit yang agak lama dan serba dhaif, sebelumnya.

Sebelum memulakan perniagaan, kami segera mendaftarkan nama syarikat secara perkongsian antara saya dan Riswati itu, Anugerah Ilmu Enterprise pada 1 hb. April 1994. Untungnya, ketika itu, tidak ada orang lain terfikirkan nama itu.

Sebulan kemudian Ris memulakan perniagaannya dan saya terus kekal dengan tugasan freelancer.

Akan datang.
MEMBANGUN ANUGERAH ILMU ENTERPRISE