Iklan

Sunday, February 20, 2011

TERINGIN SANGAT JADI DOSEN. ENTAHLAH...


Dosen adalah satu istilah yang digunakan di Indonesia yang membawa maksud Pensyarah. Makna Dosen ini dikhususkan untuk kalangan pendidik di universiti atau yang setaraf dengannya.

Sebenarnya, sebaik saja meninggalkan TV3, saya berhasrat untuk membabitkan diri semula dalam bidang pendidikan. Memandangkan bidang guru adalah sesuatu yang tidak mungkin, maka pilihan saya adalah untuk menjawat mana-mana jawatan pensyarah di mana-mana institusi jika ada. Tentu saja Rancangan Penulisan Kreatif dan Deskriptif (RPKD), institusi di mana saya mula diperkenalkan dengan bidang ilmu media, menjadi matalamat saya.

Pastinya, untuk menjadi pensyarah di Universiti ketika itu , syarat wajib dan utama adalah mempunyai kelayakan akademik sekurang-kurangnya MA.

Di Universiti Malaya ketika itu, khususnya di Rancangan Penulisan Kreatif dan Deskriptif (saya kumpulan yang ketiga sesi 1979-1982), tiada satupun bidang kursus yang berkaitan dengan penerbitan media TV. Yang paling hampir adalah Penulisan Skrip Untuk Radio dan TV. Selebihnya adalah berkaitan dengan bidang penulisan untuk rencana, penulisan cereka, tatabahasa bahasa Melayu, dan beberapa aspek lagi yang berkaitan dengan bidang falsafah, bidang penulis dan undang-undang dan sebagainya.

Abd Latif Abu Bakar, ketika saya memulakan pengajian di RPKD adalah sekadar tutor untuk Penulis dan Undang-undang. Salleh Kassim, pensyarah untuk aspek penyuntingan berita dan rencana di media cetak selain bidang isu-isu semasa Antarabangsa. Abdullah Tahir dengan bidang penulisan kreatif. Prof Abu Bakar dengan bidang stail-stail penulisan dan Hashim Awang dalam bidang kritikan sastera.

Setelah saya meninggalkan RPKD tahun 1982, saya difahamkan, RPKD telah menambah banyak bidang kursus. Antaranya bidang pengajian Filem oleh Anuar Nor Arai, bekas pelajar kumpulan pertama RPKD yang kembali dari USA dengan PhD, Abdul Manaf yang memulakan bidang penerbitan dan percetakan media cetak, Hamidah Abdul Hamid, mengambilalih dari Jaafar Kamin (Mantan Ketua Pengarah Penyiaran-RTM) dengan bidang Penulisan untuk Radio dan Filem, dan Abdul Latif Abu Bakar memulakan bidang Penulisan Biografi. Tidak lama kemudian ia dikembangkan lagi dengan kehadiri Sidin, junior saya, dalam bidang ilmu pengiklanan.

RPKD yang kemudiannya ditukarkan kepada Jabatan Pengajian Media (JPM), jelas sekali masih mengekalkan status-quonya iaitu bidang ilmu yang berteraskan Penulisan untuk Media. Keadaan ini terbukti, apabila setelah hampir lebih sepuluh tahun dari 1977, institusi ini masih lagi tidak mempunyai kelengkapan makmal yang canggih seperti studio rakaman dan editing video sedangkan Institusi lain saingannya seperti ITM (kini UiTM) sudahpun memilikinya. Begitu juga dengan UKM dan USM.

Saya merasakan kewujudan keadaan ini ada kaitannya dengan mereka tidak mempunyai dana yang mencukupi atau mereka sememangnya tidak mempunyai pensyarah yang mempunyai pengalaman dalam bidang penerbitan video dan TV.

Atas andaian itulah juga saya memilih JPM untuk pengajian MA saya dan menaruh harapan, sekiranya setelah tamat kursus ini nanti, saya akan diberikan peluang untuk menjadi pensyarah dalam bidang baru Penerbitan Media TV, Berita TV dan Video Dokumentari. Apatah lagi, selain mempunyai pengalaman hampir dua tahun di TV3 dan telah menghasilkan hampir 40 dokumentari TV untuk stesen itu, serta terbabit secara langsung dalam kewartawan berita media TV, saya adalah salah seorang 'anak jati' yang dilahirkan oleh institusi ini sendiri. Lebih menguatkan azam saya adalah saya adalah bekas seorang pendidik di beberapa sekolah sebelumnya.

Saya pernah membangkitkan soal itu kepada beberapa pensyarah lama di RPKD mengenai soal itu termasuk Prof Madya Abdullah Tahir (Pak Lah). Pak Lah, menasihati saya agar menyelesaiakn pengajian saya dahulu. Dan itulah yang saya lakukan kemudian.

Suatu hari, anggaran beberapa bulan kemudian, hati saya tiba-tiba terkenangkan Pak Lah. Dari catatan akhbar, beliau ketika itu sudah dilantik menjadi Ketua Jabatan JPM dan sedang mengatur sebuah program kerjasama antara JPM dan TV3. Bagaimanapun, saya yang masih ingat nasihatnya untuk menghabiskan pengajian saya, tidak langsung menghubunginya. Apatah lagi, saya sedar program itu tiada kaitannya dengan saya.

Namun, beberapa bulan kemudian, perasaan itu semakin mendesak-mendesak. Hati saya kembali terkenangkan Pak Lah. Akhirnya, saya mengambil keputusan untuk menelefon saja beliau.

" Hello," saya menerima jawapan dari corong sebelah sana.
" Maaf. Boleh sambungkan saya kepada Pak Lah," pinta saya kepada wanita yang berada di corong lain.
" Pak Lah..? " kedengaran suara agak kaget. " Siapa yang bercakap ni..?" tanyanya pula tanpa melakukan tugasan yang saya minta.
" Sudirman. Boleh bercakap dengan Pak Lah..?"
" Sudirman...!!?" kedengaran suara itu agak kekagetan. " Sudirman..!!!? Mana menghilang selama ini. Pak Lah cuba cari kamu tahu beberapa hari lalu..'" tambah suara itu.
" Cari saya..? Eh, maaf. Siapa di sana?"
" Yati. Norhayati. " (Saya kurang pasti nama kawan lama saya ini. Beliau memangku jawatan Ketua Jabatan seketika, ketika peristiwa ini).
" Tak apalah Yati. Minta sambung ke Pak Lah.."
" Sambung..!? Sudirman tak tahu ke..Tak baca suratkabar ke hari ni...?" tanya Norhayati agak kekagetan.
" Belum lagi. Kenapa..?"
" Pak Lah dah tak ada. Pak Lah dah meninggal dunia dua hari lalu."

Semacam ada sesuatu tersekat di halkum saya ketika itu. Macam tidak percaya dengan perkabaran yang saya dengari itu dari mulut Norhayati. Sebaik saja menamatkan perbualan, saya lekas-lekas mencari akbar dan membaca kolum yang berkaitan dengan pemergian pensyarah kesayangan saya, Pak Lah, Allahyarham Profesor Madya Abdullah Tahir.

Semoga Allah mencucuri seribu rahmat kepada rohnya dan menempatkan dirinya di kalangan insan yang amat dikasihiNya. Amin. Al-Fatehah.

Beberapa bulan kemudian, saya mendapat maklum, Abdul Latif Bakar telah dilantik menjadi Ketua Jabatan yang baru. Latif Bakar pernah menjadi penyelia saya untuk Tugasan Ilmiah semasa tahun akhir di RPKD (saya mendapat A untuk tugasan ini). Beberapa hari kemudian saya menemui beliau, untuk menawarkan diri serta bertanya akan kemungkinan saya mendapat peluang menjadi pensyarah di Jabatan Pengajian Media.

" Kita dah ada orang. Seorang pensyarah PhD wanita dari USM," begitu katanya.

Mendengar itu, saya tidak meneruskan usaha untuk melobi Latif Bakar. Dia ketika itu, sebagai Ketua Jabatan, mempunyai kuasa untuk memilih. Dan dan kalau dia sendiri tidak ingin 'anak didik'nya yang mempunyai ilmu dan pengalaman baik mengenai bidang penerbitan TV dan memilih seorang lain yang hanya pandai dalam teori penerbitan TV, untuk membantu jabatannya, apa lagi yang mampu saya lakukan.

Saya berpaling kepada Tuhan. Mungkin rezeki saya tidak ada di situ.

Beberapa tahun kemudian, ( anggaran tahun 2000,), setelah menyelesaikan banyak projek video dokumentari untuk Arkib Negara (rujuk Y-Tube - Dman's Rosli), seperti video dokumentari mengenai Tunku Abdul Rahman (Memorial Tunku Abdul Rahman), Video dokumentari mengenai Tun Razak (Memorial Tun Razak), Video Dokumentari mengenai Mahathir Mohamad (Rumah Kelahiran Mahathir Mohamad), Video mengenai Kemerdekaan (Memorial Perisytiharan Kemerdekaan), saya mencuba nasib memohon jawatan sebagai pensyarah di UPM melalui Jabatan Komunikasi, jika tidak silap.

" Dari catatan saudara, saya rasa saudara memang seorang yang amat berpengalaman dalam bidang ini. Tetapi masalahnya adalah, pihak UPM lebih mementingkan seorang yang ada kelulusan Phd. Lagipun, saudara sudah tua. Umur saudara sudah hampir 50 tahun," begitu kira-kira jawapan seorang Ketua Jabatan (saya lupa namanya), apabila kami bertemu tidak lama kemudian.

Saya tidak banyak memanjangkan lagi perbualan itu. Secara mudah, permohonan saya ditolak kerana saya tidak mempunyai PhD dan saya sudah termasuk kategori orang tua. Andaian mudah adalah, menteliti kalangan orang yang kononnya bijak ini, mentafsir kemampuan dan kehebatan orang dari Ijazah Akademiknya, bukan dari kehebatan penghasilan karyanya atau resume-nya. Semakin banyak mereka menceceh dalam teori akademiknya, maka semakin hebatlah 'credential'nya, walaupun dari segi penghasilan bahan, mereka adalah lebih sudu dari kuah.

Tidak hairanlah kalau, pernah suatu hari, saya melihat, seorang pelajar muda dari sebuah jabatan di sebuah universiti membawa sebuah buku tebal yang siap berjilid. Buku itu lalu saya ambil dan saya selak untuk mengamati kandungannya. Kosong. Tiada tertulis apa-apa.

" Buku tebal ni untuk buat apa..?" tanya saya ingin tahu.
" Nak buat 'shooting' skrip," jawabnya penuh bangga.
" Shooting script tu macam mana.."
" Apabila kita nak buat shooting, kita akan buat dulu 'camera shot'nya, bagaimana anglenya, mana latarnya, efeknya dan sebagainya," katanya sungguh-sungguh. Mungkin dia tidak tahu latar belakang dan pengalaman saya.
" Skripnya mana? Selalunya, apabila kita nak buat shooting script, kita berpandukan kepada skripnya. Kalau tak ada skrip, macam mana nak buat shooting skrip, " tanya saya kehairanan.
" Mesti ada shooting script ke..?" begitu tanya pelajar muda itu.

Saya ketawa sungguh dalam hati. Agaknya pensyarah mana yang memberikan tips yang selucu itu.

Di waktu lain, saya diberikan peluang untuk menilai penghasilan video dokumentari dari pelajar-pelajar unversiti. Saya menggeleng-geleng kepala melihat hasil yang dipersembahkan. Kelemahan paling ketara adalah dari sudut kontinuitinya selain tema yang tidak jelas dan hasil persembahan yang diambil sekadar syok sendiri dan asal ada. Skripnya, tergolong dalam cacamarba.

Suatu kisah lagi, ketika menjadi Pegawai di Universiti Malaya, beberapa staf saya dengan gembiranya memberitahu, mereka mendapat tawaran untuk menjadi 'artis' untuk sebuah filem yang akan dihasilkan oleh seorang pensyarah Universiti dan biaya pembikinannya ditaja oleh universiti itu. Tajuknya biarlah tidak saya hebahkan di sini, kerana orangnya sudah tidak ada lagi .

Kesihan, jika terkenangkan peristiwa itu. Bersungguh-sungguhlah dan berbulan-bulan beberapa staf saya berlakon dan bergaya. Namun, sehingga hari ini, mereka tidak dapat menyaksikan hasilnya di mana-mana. Malah beberapa orang darinya, telah pun meninggal dunia.

Baru-baru ini, setelah menetap di kampung, saya mendapat tahu, Jabatan Pengajian Media, sebuah cawangan Universiti, telah memindahkan jabatan bahagian diplomanya ke kampus cawangannya itu. Saya, terpanggil untuk memohon menjadi pensyarah Sambilan, kerana kapasiti masa saya terhad. Apatah lagi saya mempunyai tanggungjawab lain untuk diladeni.

Bidang yang saya tawarkan pelbagai-bagai berdasarkan pengalaman yang saya raih selama ini. Antaranya, Penerbitan Media Cetak dan Media Eletronik TV, Kewartawan Media Cetak dan Media Elektronik, Guru Bahasa, Penulisan Skrip, Penyuntingan Rencana dan Berita, Rakaman dan Penyuntingan Videografi dan sebagainya. Mereka boleh memilih salah satu bidang yang ada berkaitan atau sesuai.

Saya sekadar memohon, kerana rasa ingin untuk mencurahkan ilmu kepada anak bangsa saya. Matlamatnya itu saja. Bukan soal gaji yang menjadi taruhan. Pendapatan bulanan saya sendiri dari kerjaya yang saya ladeni hari ini, dirasakan sudah lebih dari cukup untuk menampung keperluan harian saya dan isteri serta anak-anak.

" Maaf Cik. Kami tak ambil kakitangan sambilan. Kami ambil kakitangan kontrak secara tetap," begitu kira-kira jawapan yang saya terima.

Allahu akbar.

Mungkin, saya ini sudah ditakdirkan, tidak akan dapat mencurahkan segala ilmu dan pengalaman yang pernah saya raih sama ada secara langsung dan tidak langsung kepada anak bangsa saya sendiri.

Mungkin saya selama ini, terlupa akan kepentingan membina nama atau saya selama ini tidak dibenarkan orang untuk mencipta nama dan kerana itu saya tidak dipandang orang atau orang tidak sedar akan kewujudan saya. Mungkin ada benarnya falsafah, tong kosong yang kuat bunyinya apabila diketuk akan mampu menarik perhatian orang dari tong berisi yang bergolek tanpa sebarang bunyi.

Atau, apakah mungkin, saya sudah ditakdirkan akan membangunkan sekolah saya sendiri dan menjadi dosen untuk mendidik dan melatih anak bangsa saya sendiri?

Entahlah... Wallahhualam bisawab...




.