Iklan

Thursday, January 21, 2010

AKU MAHU SIAP 24 JAM !!!


Memang sudah ditakdirkan, bidang media akan menjadi karier saya. Justeru, sebaik
saja kembali ke TV3 , saya memulakan rutin kehidupan yang begitu 'hectic'. Setiap hari saya akan keluar membuat penyelidikan dan mencari bahan serta penggambaran. Kadang-kala hingga ke luar daerah berhari-hari. Balik, terus bertapa dalam bilik editing off-line dan terus menulis skrip. Selalunya, editing on-line kami buat pada malam hari selepas jam 11.00 hingga santak pagi. Esoknya, sebelah petang, kami masuk bilik rakaman Peter Lim untuk sound mixing dan suara latar Razak atau Fitri Aziz.

Hari rehat saya adalah pada hari berikut setelah Majalah 3 bersiaran. Itulah saat dalam seminggu saya dapat bersama sepenuhnya dengan isteri saya. Riswati namanya, memang banyak berkorban untuk saya.

Oleh kerana, Salleh masih belum dapat mencari Penolong Penerbit lain untuk me'relief'kan saya, saya benar-benar mengharapkan Salleh banyak membantu kerana dia adalah Penerbit Majalah 3 yang sebenarnya. Tetapi Salleh kelihatannya turut terbeban dengan banyak tugasan pejabat khususnya membantu bilik berita. Memandangkan, hanya ada tiga orang penerbit, maka Salleh juga turut dipertanggungjawabkan sebagai penerbit gantian apabila Tengku Mahmud (Berita TV3) atau Nizam (TV3 News) atau Hj Subuhi bercuti rihat.


Ternyata, kebanyakan tanggungjawab Salleh dibebankan ke pundak saya. Walau negatif sifatnya, tetapi ia memberi kesan positif pada diri saya kerana dalam tempoh masa yang amat singkat, dunia penerbitan TV berjaya saya kuasai. Ia diperkuatkan lagi dengan keazaman saya untuk membuktikan kepada Pak Samad betapa saya bukanlah seeorang "Reporter bangang" sebagaimana yang pernah diujarkannya suatu masa lalu.

Lanjutan dari keadaan 'lepas tangan' Salleh , membuatkan saya terpaksa membina konsep persembahan bahan Majalah 3 yang tersendiri, kerana ketika itu, kami tidak mempunyai sebarang rujukan atau contoh perbandingan. Lebih-lebih lagi, kami tidak pernah 'bersekolah' dalam ilmu penulisan dan penerbitan dokumentari TV. Saingan kami ketika itu adalah rancangan Peristiwa di RTM.

Tidak hairanlah, dengan latarbelakang saya sebagai bekas Guru Bahasa Melayu, maka persembahan bahan ternyata lebih banyak berorientasikan Melayu dengan lenggok gaya bahasa yang lembut, indah dan bersahaja. Ia diperkuatkan lagi dengan muzik latar oleh Peter Lim yang bersesuaian dengan jalan cerita serta suara latar yang mantap oleh Razak Abdullah dan Fitri Aziz. Ternyata, melalui pendekatan dokumentari kami hasil gabungan seni tiga sifat karyawan, ternyata berjaya membina audien yang tersendiri dan dapat ditafsirkan sebagai Dokumentari TV ala Melayu Malaysia.

Satu hari, saya diarahkan untuk pergi ke Negeri Johor selama 4 hari untuk rakaman, menjelang lawatan rasmi Dr Mahathir ke negeri itu. Selain bertindak sebagai Penolong Penerbit, saya juga ditugaskan menjadi wartawan lapangan untuk Berita TV3. Pada hari kelima sebelum berangkat pulang ke TV3, saya diarahkan pula untuk ke Melaka kerana sambungan rakaman lawatan Dr Mahathir ke negeri Melaka. Sebaik tugasan selesai, pada hari ke-10, saya bergegas kembali ke studio TV3 Kuala Lumpur. Ketika bersiap untuk balik ke rumah, Salleh menahan saya.

" Man. Pak Samad mahu kita siapkan dokumentari Mahathir di Melaka. Esok mahu TX jam 8.30 malam," zahir Salleh.

" Pak Samad tu dah gila ke? Mana ada orang buat dokumentari 24 jam. Aku kan dah 10 hari tak jumpa orang rumah. Bagilah aku berihat barang satu dua hari dulu," zahir saya agak geram. Mungkin nama Pak Samad itu, antara puncanya.
" Pak Samad mahu kita 'beat' RTM. Biar dia terkejut, orang Tv3 boleh buat kerja cepat," kata Salleh seperti mengulangi cakap Pak Samad padanya.

Mahu tidak mahu, tugasan itu terpaksa dibuat juga, walaupun perasaan hati yang begitu membengkak. Selepas membersihkan diri di rumah, saya sudah tercongok balik ke studio jam 8.00 malam. Bermula dari situ, operasi menyusun bahan dan mengedit video dilakukan hingga santak pagi. Azali turut membantu mencari kod masa. Paginya, dengan bantuan Azali, saya segera menulis skrip kerana rakaman suara Razak Abdullah akan dijalankan jam 1.00 tengahari.

" Siapa buat skrip...'?" tiba-tiba terdengar suara kasar, ketika saya keluar dari bilik air. Saya tergamam seketika. Orang itu adalah Pak Samad sendiri.

" Saya..... eh tidak. Salleh. Saya tolong saja...' luah saya kewalahan. Takut, sekiranya di'reporterbodoh'kan sekali lagi. Orang tua yang tidak mengerti tersenyum, terus berlalu dari situ. Terasa leganya hati ketika itu.

Razak membuat dubbing suara, di atas skrip yang tidak begitu lengkap. Tidak hairan, sepanjang dubbing, kelancaran Razak terhenti, kerana saya terpaksa menambah atau mengurangkan skrip yang dibuat secara 'impromto' itu. Atau tepatnya, secara tangkap muat atau asal jadi saja. Kelihatan Razak kepenatan dan sedikit geram. Selepas jam 3.00, Peter Lim pula mengambilalih peranan untuk memasukkan musik dan mengadun bunyi.

Kami hanya tinggal anggaran tiga jam lagi sebelum ke udara, ketika masuk ke kamar editing on-line. Shaharuddin dan teman-teman di bilik editing, membantu bersungguh-sungguh untuk memberikan efek hingga ke credit title. Akhirnya menjelang jam 8.00 malam, program khas Majalah 3 dengan judul " Dr.M - Sejenak Bersama Rakyat Melaka " berjaya disiapkan. Bagaimanapun, waktu TXnya, dilewatkan setengah jam iaitu jam 9.00 malam kerana saya hanya tiba di konti siaran anggaran jam 8.10 malam.

Saya langsung tidak menonton program khas Majalah 3 itu kerana sedih memikirkan hasilnya yang dibuat secara terburu-buru dalam tempoh 24 jam itu. Keadaan ini benar-benar memberikan tekanan dan saya benar-benar rasa kecewa, kerana, tidak diberikan peluang dan masa untuk menghasilkan satu produk yang berkualiti dan bermutu. Selama tiga hari saya tidak ke pejabat dan selama tiga hari, saya memutuskan sebarang hubungan dengan teman di studio. Saya benar-benar memerlukan rihat.

Saya muncul ke pejabat pada hari keempat. Ternyata buat pertama kali, saya melihat wajah-wajah manis di kalangan kawan-kawan terhadap saya. Azali memberitahu, sehari selepas TX, S/U Perdana Menteri menelefon Pak Samad meminta satu salinan video 'Dr.M - Sejenak Bersama Rakyat Melaka'.

Bagaimanapun, wajah ceria yang zahir pada teman-teman, tidak juga kelihatan kepada wajah orang tua bernama Pak Samad. Dia hanya mengerling bodoh, apabila saya melintas mejanya untuk ke bilik air.
Perasaan benci pada orang yang kerap menyusahkan hidup saya itu semakin menjadi-jadi.

"Susah sangatkah untuknya memberikan sedikit ucapan terima kasih!?" bentak hati saya.


Situasi sepagi itu berjalan seperti biasa.
Anggaran jam 1.00 tengahari , saya dikejutkan dengan satu suara agak kasar dan keras.

" Kau dah makan...!?'

Saya menoleh dan mendapati, Pak Samad berada di belakang saya.


" Belum.." jawab saya penuh kejutan.

" Siap. Aku belanja kaumakan...' lahirnya selamba.

Mahu terperangah saya ketika itu. Macam tidak percaya betapa orang yang paling saya benci, pada saat itu mempelawa saya makan tengahari bersamanya. Apa yang mahu saya bualkan. Taraf saya dengan dirinya, umpama bumi dengan langit. Dia seorang wartawan hebat. Saya hanya wartawan 'bangang' yang tidak pandai apa-apa.

Salleh tersenyum-senyum melihat gelagat saya yang tidak keruan. Akhirnya, saya mengajak Salleh dan Bokhari Cik Muda (kini orang kuat TV9) menemani saya makan tengahari dengan Pak Samad. Kami makan di sebuah restoren mamak di Bangsar. Pak Samad meminta tauke kedai menghidangkan sepenuh-penuh meja dengan pelbagai jenis lauk dan makanan. Itulah pertama kali dalam hidup, saya melihat hidangan yang terlalu banyak, hanya untuk di makan oleh empat orang.

Memang saya terkejut besar dengan perubahn sikap Pak Samad terhadap saya. Terfikir saya, betapa licik dan halus cara dia mendidik saya. Pastinya, jamuan makan ini atas satu alasan iaitu untuk meraikan 'hari konvokesyen' dan mengikhtiraf kejayaan seorang anak didiknya yang lulus dengan cemerlang serta keluar dari kepompong 'reporter bangang'nya.

Akan datang: GAJI PERTAMA TV3

No comments:

Post a Comment