Iklan

Tuesday, January 12, 2010

Di Bawah Kolong Markas PAS

Saya pernah bertugas sebagai 'stringer 'untuk Metro Vision (TV4) suatu masa lalu. Pada hari sebelum bersiaran buat pertama kali, seorang penerbitnya mengatakan, sajian beritanya pasti hebat dan berupaya menyaingi TV3. Saya menunggu berita yang dikatakan menarik itu, tetapi sehingga akhir tiada apa-apa yang istimewa. Cuma, mungkin cara persembahan grafik dan efeknya yang kononnya begitu sofistikated. Sebagai 'orang tumpang cari makan', saya tidak berani memberi komen apa-apa.

Sayang, peneraju bilik berita Metro Vision ketika itu, yang juga sahabat saya, bukanlah seorang wartawan dalam erti kata sebenarnya. Beliau hanya 'orang bilik berita' atau kalangan karyawan penerbitan ketika sama-sama membangunkan TV3 News pada 1 Januari 1985. Mungkin beliau terlupa atau tidak sedar strategi Pak Samad Ismail ketika memulakan Berita TV3 dan TV3 News dahulu. Atau apakah mungkin beliau dipengaruhi oleh kehebatan 'budak-budak baru' yang tidak pernah berguru dengan orang lama seperti Pak Samad.

Pak Samad memulakan beritanya dengan sesuatu 'bang' tanpa efek yang 'tercanggih'. Selain berita-berita mengenai menteri, beliau turut memberi ruang kepada pemimpin pembangkang serta isu-isu sensasi yang membabitkan masalah rakyat. Kesannya, dalam dua hari, Berita TV3 mampu menarik 80 peratus penonton di Lembah Kelang menukar saluran beritanya dari RTM ke TV3.

Jelas sekali, tafsiran kehebatan berita atau sesuatu rancangan TV bukan terletak kepada sifat kosmetiknya, tetapi kepada pemilihan dan bahan yang disajikan. Efek dan grafik hanya faktor 'secondary' dan berperanan sebagai penambah seri kepada sajian bahan berita itu tadi.

Mungkin ketika di Padang Terap Kedah, saya begitu 'naif' dan tidak terfikirkan alasan sebenar kenapa Pak Samad mengarahkan kami untuk masuk ke markas PAS dan mengambil video ceramah dan kempen para pemimpin parti itu. Kami juga diarah mengambil gambar penyokong PAS banyak-banyak.


" Biar dia orang tengok muka masing-masing dalam TV." begitu katanya.

Arahan Pak Samad itu, pastinya membuatkan kami panik kerana selama ini budaya berita RTM, hanya menjurus kepada Pak Menteri dan aktiviti kerajaan yang manis-manis belaka. Tidak pernah RTM memfokus kepada PAS atau parti pembangkang lainnya, kecuali sesuatu isu atau peristiwa yang pahit dan masam saja. Walaupun kami agar gusar kerana lari dari norma budaya berita 'standard' sebagaimana RTM ketika itu, kami tetap melakukan tugasan tanpa banyak soal. Kami takut akan di 'reporterbangangkan' lagi oleh Pak Samad kerana tidak menurut perintah.

Kami tiba di Markas PAS Padang Terap anggaran jam 9.00 malam. Sebaik tiba, Lazam terus memasuki celah-celah ribuan orang ramai yang sedang mendengar kempen Hadi Awang. Sepantas itu juga, Lazam mengangkat kamera dan mula memfokus subjek-subjek videografinya.

Kehadirannya di situ, benar-benar mengejutan penyokong PAS.
Kelihatan mereka berbisik sesama sendiri dan memandang Lazam dengan penuh curiga, hairan, gusar dan penuh tanda-tanya. Selama ini, mereka tidak pernah menerima 'tamu' yang berkamera kerana orang yang memegang kamera sebelum itu adalah orang kerajaan atau tepatnya orang RTM. Orang RTM selama ini tidak pernah 'mempunyai sikap mesra ' terhadap PAS.


Lazam kelihatan seronok dan lega selepas menyelesaikan tugasan tanpa sebarang masalah. Saya dan Ramaiah menyertainya dan bergerak keluar dari barisan orang-ramai. Tiba-tiba tanpa diduga, muncul dari semua arah lebih 30 orang anak muda (kader) PAS mengelilingi kami. Mereka cuba merampas kamera yang dikendong Lazam. Kami menahan kamera itu dari dirampas mereka. Suasana ketika itu agak kecoh dan kelamkabut.

Setelah gagal merampas kamera kami, mereka akhirnya mendorong kami ke bawah kolong markas PAS. Mereka berkumpul di hadapan pintu bagi mengelak kemungkinan kami melarikan diri. Kami seperti orang bodoh, menunggu dan menanti . Fikiran kami bercampur-aduk kerana inilah pertama kali kami diperlakukan begitu. Tekad saya sudah semakin bulat, untuk kembali ke UM, sebaik saja tiba di KL nanti.

Hampir sejam kemudian, beberapa orang dari pemimpin pemuda PAS memasuki kolong itu dan meminta saya menyertai mereka dalam sebuah bilik tertutup. Lazam dan Ramaiah menanti di ruang tamu. Mereka memberitahu, penahanan kami adalah melalui arahan Haji Suhaimi yang ketika itu Penasihat Undang-undang PAS.

Mereka 'menyoalsiasat' saya kerana menyangka kami adalah 'agen' UMNO atau kerajaan. Saya terpaksa menerangkan betapa izin rakaman telah diperolehi dari Haji Hadi pada siangnya dan kami adalah wakil sebuah stesen TV swasta yang baru. Atas alasan itu juga kami memberi peluang PAS untuk muncul dalam TV, sesuatu yang tidak mungkin mereka perolehi melalui media RTM.


Ternyata, saya akhirnya diberitahu, alasan terbaik penahanan kami berpunca dari Lazam sendiri. Sebagai anak Kedah, ramai orang-orang PAS mengenali Lazam,
kerana beliau adalah adik kepada Ketua Pengarang Akhbar Utusan Malaysia, Zainuddin Maidin (ZAM). ZAM dikatakan pro UMNO atau pemerintah. Justeru, Lazam diandaikan adalah agen abangnya atau agen UMNO atau BN.
Kami akhirnya dibebaskan anggaran jam 11.30 malam.

Esoknya, sebelum berangkat pulang isteri saya dengan perasaan risau, menelefon saya. Dia memberitahu, berita penahanan kami oleh PAS telah tersiar di muka hadapan akhbar Utusan Malaysia, siap dengan nama kami bertiga. Lazam dan Ramaiah kelihatan selamba apabila saya memberitahu mereka. Tapi bagi saya, berita itu adalah satu malapetaka kerana selama ini, teman-teman saya di UM hanya tahu saya bercuti rihat selama seminggu. Pastinya berita itu akan memberi titik noktah kepada keinginan saya bertugas semula dengan UM.

Akan Datang: "Pak Samad - Aku mahu siap 24 jam."


No comments:

Post a Comment