Iklan

Thursday, January 28, 2010

GAJI PERTAMA TV3

Agaknya, saya memang terlalu 'obses' dengan kerja saya. Bukan saja bertanggungjawab memastikan ada bahan untuk disiarkan bagi slot Majalah 3 setiap minggu, tetapi lebih tepat. saya sememangnya seronok melakukan tugas itu. Satu falsafah yang menjadi pegangan saya adalah, " Pilihlah satu kerja yang amat anda suka, dan anda tidak akan bekerja sepanjang hidup anda".

Menghasilkan 'video dokumentari' ternyata kerjaya yang amat menyenangkan hati dan pilihan kerjaya terbaik saya. Pak Samad sesungguhnya, turut membantu mengukuhkan semangat dan keinginan saya. Melalui, video dokumentari, saya berupaya menggabungkan seluruh kebolehan dan kekuatan saya dalam satu medium iaitu, nilai estetik, kemahiran berbahasa, kreativiti dan kecenderungan saya kepada sesuatu yang berunsur human-interest serta diadun dengan muzik dan suara latar yang bertenaga.

Sebagaimana saya katakan dulu, oleh kerana kami tidak 'bersekolah' ilmu penerbitan video dokumentari, maka saya banyak bereksperimen bagi menguji tahap penerimaan audien. Dalam bahan, Nita dan Nisa - Si Kembar Siam misalnya, dengan fasiliti penerbitan yang serba daif, saya bereksperimen dari sudut perubatan. Bahan " Seladang + Lembu = Selembu pula, saya mengambil dari sudut pertanian. Sementara, eksperimen yang kekal dalam ingatan saya dan akan disentuh nanti jika berkesempatan adalah " Belakang Tabir Kembara Seniman Jalanan" yang melihat dari sudut kreativiti, seni dan budaya.

Mungkin, kerana sifat tugasan saya, membuatkan saya tidak banyak berpeluang membina hubungan silaturrahim yang mantap dengan teman-teman di unit berita yang jumlahnya lebih 50 orang, Mereka mempunyai struktur masa kerja yang teratur. Kalangan penolong penerbit berita TV3 dan TV3 News misalnya, waktu tugasan mereka bermula dari jam 3 petang dan berakhir setelah berita ke udara. Kalangan, wartawan lapangan dan reporter pula, mereka mula sebok pada waktu pagi hingga jam 5.00 petang, kecuali ada sesuatu kes khas.

Justeru itu, mereka mampu berkumpul dan berborak santai pada waktu-waktu terluang, bergurauan dan mengumpat hal-ehwal orang lain. Kerapnya, mereka seronok berkumpul dalam bilik 'comel' 10 X 14 kaki unit ehwal semasa TV3 kami.


Mungkin kerana kesebokan dan kepenatan yang amat sangat, telah memberi kesan kepada wajah, fizikal dan personaliti saya. Tidak hairanlah, jika saya menjadi satu 'figura' yang membosankan' teman-teman di unit berita dan hal ehwal semasa. Malah saya dicop sebagai sorang yang agak serius, suka bersendiri, tidak suka bercampur, tidak sabar, terlalu 'demanding', 'non-kompromi' dan 'pendiam'.

Teman-teman rapat saya ketika di Tv3 ketika itu, selain Azali adalah kalangan karyawan bawahan seperti pemandu, jurukamera dan karyawan teknikal. Merekalah yang sentiasa dan kerap bersama saya. Untuk makluman, apabila membuat tugasan di luar daerah selama beberapa hari, saya hanya diiringi oleh seorang pemandu dan seorang jurukamera. Ada kalanya seorang juruteknik akan turut serta. Jadi tidak hairan kalau melihat saya turut mengusung tripod atau membawa kamera atau barangan teknikal lainnya. Tidak hairan juga, kalau pemandu saya kerap dianggap sebagai 'bos' oleh orang lain kerana dia lebih 'handsome' dan lebih berketrampilan dari diri saya.

Tapi saya senang begitu kerana saya bersandar pada falsafah ' People Work for people, not for company' . Seingat saya, sepanjang saya bertugas dengan TV3, tidak pernah walau seorangpun yang menolak untuk bersama dengan saya. Malahan, tidak pernah seorangpun yang begitu liat apabila diarah untuk bertugas walaupun ketika itu waktunya sebelum subuh, atau santak dinihari atau gelap-gelita jam tiga pagi atau di mana saja sama ada dalam hutan atau di tengah lautan.

Begitulah baiknya mereka berbanding kawan-kawan di unit berita
.

Sesungguhnya, saya amat kasihan dengan teman-teman yang mempunyai terlalu banyak persepsi negatif terhadap saya. Sayang kerana mereka tidak berpeluang mengenali saya dengan lebih rapat dan mesra lagi. Saya bukanlah manusia seperti yang mereka fikirkan. Sahabat baik saya, Don, seorang kartunis tersohor dengan siri Dan, Din, Don di majalah Gila-Gila suatu masa lalu, pernah menyifatkan saya, 'Punya Otak Kartun." Malah, saya juga mengenali rapat ramai kartunis tersohor ketika itu, seperti Kerengge, Fatah, Tazidi, Rejabhad, Zainal Buang Hussin, Jaafar Taib, Azman, Mishar dan ramai lagi. Nama samaran saya dalam penulisan humor ketika itu, Man Dawai. Saya juga pernah menghasilkan bahan berjudul Komik dan Kartun Malaysia - Satu Komunikasi Budaya untuk Majalah 3.

Pada tahun 1981, saya pernah dinobatkan sebagai Pengarah Drama Terbaik dan Penulis Skrip Drama Terbaik untuk Drama Pentas Terbaik (berunsur humor), Ratu Anjing dalam Pertandingan Seni Pentas Universiti Malaya. Saya juga adalah salah seorang pelakon utama, Sarap, dalam drama pentas terbaik " Permakaman Seorang Pahlawan' dalam pertandingan sama, tahun 1979. Tahun 1980, saya pernah mengarahkan drama lapangan "Badang' yang penuh humor untuk Hari Terbuka Kolej Kelima.

Ketika menjadi guru di SMK Rahmat, tahun 1978, saya berjaya melatih pelajar tahun 1 dan 2 untuk satu persembahan pentas hingga 'pecah perut'. Malah drama radio atau cerpen untuk radio dan akhbar yang pernah saya hasilkan suatu masa lalu, penuh dengan unsur-unsur humor. Nama samaran saya ketika itu adalah Risman Sudaris, Mas Idayu HR, Mansudir HR, Maulana Al-Kapau.

Yang terbaru, ketika terbabit dalam program Penghayatan Sastera dan Budaya, Dewan Bahasa & Pustaka (PLKN - Kem Warisan dan Kem Putera-puteri Melaka) sejak beberapa tahun ini, pelajar-pelajar saya kerap menjadi juara untuk pelbagai persembahan mereka yang amat melucukan.


Begitulah diri saya sebenarnya, sebagaimana yang dikenali oleh orang-orang yang berpeluang menjadi sahabat saya. Sebenarnya, jauh di sudut hati, saya menafsirkan diri saya sebagai 'seorang seniman'. Keseronokan seorang seniman adalah apabila berjaya menghasilkan sesuatu karya dan dihargai oleh orang ramai. Ada falsafah menyebut, " See how a man can produce many great things, if he don't care who gets the credit."

Memang. Memang saya tidak kisah, siapakah yang mendapat kredit bagi setiap karya kreatif saya, walaupun, anggaran 60 peratus dari dokumentari awal Majalah 3 (enam bulan pertama) adalah hasil dari kreativiti, penyelidikan dan penulisan skrip oleh saya sendiri (ada siapa yang sudi menafikannya?)

Soalnya, bagi membolehkan orang seperti saya untuk terus berkarya, saya memerlukan orang lain menjaga kebajikan hidup saya dan keluarga saya.
Saya tidak boleh terus berkarya, jika kehidupan harian saya tidak mencukupi khususnya dalam suasana hidup ibukota Kuala Lumpur dan bandar besar yang begitu mencabar. Mampukah satu hasil karya dapat dicetuskan kalau pengkarya kerap diselubungi kebimbangan akan nasib diri, isteri, anak dan keluarganya?


Demikianlah saya menanti gaji pertama saya di TV3 dengan penuh harap. Surat perlantikan yang disertai dengan penyata gaji , saya buka perlahan-lahan dengan penuh debar. Hampir terjojol biji mata apabila menyaksikan angka yang tertera. Jelas, sekali, gaji pertama saya lebih rendah daripada apa yang saya perolehi ketika menjadi pegawai di Universiti Malaya. Sesuatu perkara yang tidak masuk akal dan tidak manasabah.

Sebenarnya, saya tidak pernah bemimpi mahupun bermohon untuk bertugas dengan Tv3. Jawatan pegawai di UM itu sendiri sudah menjanjikan sebuah kehidupan yang baik dan punya status. Saya punya bilik sendiri berhawa dingin. Saya punya kakitangan yang ramai yang sedia membantu. Saya berpeluang menolong orang dengan mengambil mereka bekerja atau saya mempunyai ruang untuk peningkatan karier saya dengan bergaul atau mengenali Naib Canselor, profesor-profesor, Dekan, Ketua Jabatan, atau pegawai-pegawai dari JPA dan kementerian pelajaran atau melanjutkan pelajaran hingga ke peringkat lebih tinggi.

Justeru, buat apa saya membuang masa di sebuah tempat penuh glamor yang tidak memberikan manfaat apa-apa dalam perkembangan karier dan masa depan saya? Buat apa saya memperbodohkan diri kepada tugasan 'membunuh diri' 24 jam tanpa henti, berbanding dulu sekadar jam 8.00 pagi hingga 4.15 ptg? Wajarkah saya seorang yang punya wibawa, membiarkan diri dieksploit semahu mungkin, atas dasar cintakan seni dan kreativiti?

Tentu ada janji yang molek-molek yang membuatkan saya meninggalkan UM
dan dunia pentadbiran. Pasti saja janji tawaran gaji yang menarik dengan elaun yang lumayan serta status hidup yang lebih baik dan penuh glamor. Tentu ada macam-macam janji hingga membuatkan saya kelabu mata?

Pastinya, ada sesuatu yang istimewa pada diri saya apabila Salleh 'menjemput' saya tanpa temuduga untuk membantunya
sedangkan Salleh mempunyai ratusan murid-murid lain dari UM dan UKM atau sahabat lama semasa belajar di ITM (kini UiTM) yang boleh dipilihnya. Soalnya kenapa saya? Dan soalnya, wajarkah saya dinilai sebegitu rupa oleh Salleh, Hj Subuhi, atau orang besar atau sesiapa saja di TV3 sendiri ketika itu?


Gaji pertama di TV3. Hati saya benar-benar terluka.


akan datang: PAK SAMAD - AKU BUKAN KOMUNIS !!!!

CATATAN:

Sepatutnya seperti biasa saya akan paparkan sebuah lagi video dokumentari yang pernah saya hasilkan. Tetapi, respon dari ramai guru di kampung saya meminta, video ini dipisahkan dalam blog tersendiri, agar mudah diakses oleh murid-muridnya. Justeru, mulai kesempatan ini, video dokumentari , saya letakkan dalam pecahan tersendiri walaupun dalam blog yang sama.

Judul yang akan disiarkan insyaallah, GAGASAN MALAYAN UNION dan diikuti PENENTANGAN TERHADAP MALAYAN UNION.

'Fuad' pernah siarkan dokumentari ini di youtube. Begitu juga dokumentari berjudul Kemerdekan Persekutuan Tanah Melayu. Respon audien anggaran 36,000 hingga 56,000 orang. Wow...!!! Terima kasih Fuad. Saya tidak marah kerana manfaatnya kepada umum khususnya orang Melayu.

Video-video terdahulu, seperti PEMERINTAHAN BRITISH DI TANAH MELAYU, PENENTANGAN TERHADAP PORTUGIS, PENENTANGAN TERHADAP KOMUNIS, SISTEM PEMERINTAHAN RAJA-RAJA MELAYU, ADAT ALAM MINANGKABAU akan juga dipindahkan kemudian dalam kolum tersendiri.


Jumpa lagi.

2 comments:

Anonymous said...

Assalamualaikum Tuan Sudir
nice blog
senang senang jom teh tarek

sudirmanrosli said...

Don.
Nice to know, u still alive. ha..hha. Thanks.

Post a Comment