Suatu masa lalu, saya impikan, akan mempunyai satu kehidupan yang begitu stabil dan selesa. Punya anak-anak yang akan meneruskan legasi saya. Punya sedikit harta untuk bekalan ketika menghitung umur pada hari-hari tua tanpa menyusahkan orang lain. Yang terpenting meninggalkan pelbagai warisan yang mungkin dapat dikenang orang sepanjang zaman.
Tetapi realiti kehidupan, sememangnya tidak seindah impian.
Pembabitan diri dalam hidup glamour di TV3, ternyata memberi titik noktah kepada kesemua impian itu. Kerap juga, kekesalan timbul dalam diri, kerana mudah membiarkan diri dipalit dengan seribu janji manis yang hebat-hebat, sedangkan ketika itu, kelibat diri sudah mula mengetuk pintu kehidupan yang sebagaimana diimpikan, di Universiti Malaya.
" Semuanya sudah tercatat di dalam Loh Mahfuz, " begitu saya memujuk diri,
" Kehidupan ini umpama permainan catur. Manusia adalah buahnya dengan dunia sebagai papan gelanggangnya," begitu terbetik fikiran lain
bagai memujuk hati.
" Pasti ada rahsia di sebalik segala apa yang berlaku. Hanya Tuhan saja yang maha mengetahuinya," terbetik pujukan dari suara lain.
Demikianlah, pelbagai fikiran membuai perasaan dalam tempoh satu tahun sebelum saya memutuskan untuk meninggalkan TV3 buat selama-lamanya. Saya sesungguhnya, tidak tertarik untuk menjadi wartawan Berita TV3. Bukan takbur, tetapi, kerjaya sebegini adalah suatu kerjaya yang tidak memerlukan perancangan atau memerlukan pencernaan minda yang analitikal.
Apa yang diperlukan adalah, hadir dalam sesuatu majlis, berlagak jadi orang hebat, duduk saja di mana-mana, semak teks ucapan yang telah disediakan, pilih petikan ucapan yang berpotensi untuk di'highlight'kan dan arahkan jurukamera untuk fokus 'teks ucapan ' yang dipilih. Sebelum itu minta jurukamera untuk merakam visual 'cut aways' jika ada.
Selesai majlis, berkumpul ke bilik sidang akbar, letakkan mikrofon atas meja dan tunggu ulasan lanjut dari tokoh mengenai isu yang dibangkitkan dalam ucapannya tadi, jika ada, atau kalau tokoh politik, fokus bahan sensasi atau follow-up isu yang dibangkitkan pada waktu sebelumnya.
Tidak payah untuk buat rujukan kerana soalan-soalan pasti akan dikemukakan oleh ramai wartawan akhbar yang hebat-hebat. Kalau mahu tonjol diri, carilah satu soalan yang agak sensasi. Jika tidak duduk saja dibaris belakang dan biarkan jurukamera merakam segalanya.
Apabila balik ke studio, carilah dari video rakaman petikan ucapan atau sidang akhbar yang ingin di'highlight'kan anggaran satu minit setengah dan buat sedikit catatan berita untuk intro. Lepas selesai duduklah di mana-mana untuk menceceh atau bergosip atau mengumpat hal orang lain. Kalau mahu, tunggu hingga TX berita untuk lihat kalau-kalau berita anda jadi 'berita utama'.
Demikianlah sifat kerjaya yang perlu saya ladeni saban hari selama setahun.
Kerapkali juga, bagi mengatasi kebosanan dengan rutin yang sebegitu, saya wujudkan idea menghasilkan laporan berita human interest 'tiga dalam satu' iaitu satu bahan berita disiarkan untuk tiga hari berturut-turut.
Hari pertama, saya akan bangkitkan untuk selama dua minit mengenai masalah rakyat. Hari kedua, saya temubual masyarakat tentang implikasi dari masalah yang dibangkitkan terhadap mereka dan masyarakat. Hari ketika adalah kesimpulannya dengan saya mendapatkan jawapan dari pihak berkuasa tentang masalah yang dibangkitkan dan cara penyelesaiaannya.
Walaupun, ada usaha untuk membantu mencorak kandungan berita, namun, jauh di sudut hati, segala pendekatan ini, tidak langsung dapat menyirami rasa gelisah diri untuk terus berkarya. Membuat laporan berita ternyata terlalu mudah dan tidak perlu banyak menggunakan kekuatan minda. Pastinya, bidang reporter TV tidak sesuai untuk orang-orang kreatif seperti saya.
Tidak hairanlah jika, ketika itu, saya sudah semakin membulatkan hati untuk meninggalkan TV3. Cuma saya mengharapkan dapat berpeluang walau sekali untuk menghasilkan sebuah dokumentari Tv penuh, sebelum saya memberikan ucapan Assalammualaikum kepada 'sahabit-sahabit' di BES TV3.
Kehadiran Yunus Said, orang Berita Harian ke bilik berita bagi menggantikan peranan Pak Samad, pada tahun 1986, ternyata mewujudkan harapan baru, dan turut merencatkan seketika keinginan saya untuk meninggalkan TV3. Pada peringkat awal Yunus Said dianggap sebagai 'orang Pak Samad'. Tidak hairan kehadirannya dicurigai dan sekaligus melahirkan kegelisahan orang-orang di BES TV3.
Ternyata, peranan Yunus Said lebih besar dari itu. Kehadirannya turut membawa agenda besar untuk kumpulan Pak Sheikh. Tidak hairan, bagi memastikan karyawan melaksanakan arahannya, kata-kata " Ini Pak Sheik suruh", amat biasa diujarkannya. Kata-kata berupa 'ugutan' kecil itu, ternyata menzahirkan kegelisahan dan ketidaktentuarahan kepada karyawan BES TV3. Sekaligus, mereka sudah tidak bebas untuk berkarya dan segala sajian bahan sudah ada percaturan dan berpaksi kepada satu agenda tersembunyi.
Yunus Said, dengan menggunakan ' Tongkat Sakti Pak Sheik'nya, dalam tempoh masa yang agak singkat berjaya menguasai keseluruhan operasi BES TV3. Malah kehebatannya jauh mengatasi Pak Samad. Malangnya keghairahan Yunus Said, menzahirkan satu budaya yang tidak sihat untuk bidang kewartawan TV iaitu, dengan kewujudan dua kem yang berbeza sesuai dengan senerio politik semasa UMNO ketika itu, team A dan team B.
Suatu hari menjelang piliharaya umum pertengahan tahun 1986, saya dipanggil Yunus Said untuk bertemunya.
" Ini keputusan konsenses termasuk Salleh dan Haji Subohi. Walaupun kami tahu Cik Sudir tidak buat dokumentari lagi, pihak kami harap Cik Sudir dapat menolong kami membuat sebuah dokumentari TV khas untuk pilihanraya ini."
Mendengar kata 'dokumentari' itu, hati saya tiba-tiba mengembang. Tanpa berfikir panjang, serta lanjutan keinginan meluap untuk menghasilkan sebuah dokumentari TV buat terakhir kali untuk TV3, saya terus menerimanya. Yunus meminta saya, menghasilkan sebuah dokumentari TV sepanjang satu jam mengenai topik Perkembangan Islam Di Malaysia dalam tempoh satu minggu.
Demikianlah, bermula dari hari itu, keghairahan untuk menghasilkan sebuah karya kembali melumuri diri. Malam itu juga, saya menyelongkar semua buku-buku koleksi saya untuk menghimpun data dan menulis skrip.
Dokumentari ini saya bahagikan kepada dua tahap iaitu zaman sebelum dan selepas merdeka. Paparan sebelum merdeka merangkumi perkembangan Islam dari zaman kesultanan kerajaan awal Melayu termasuk Melaka, diikuti peranan institusi pondok, peranan tokoh ilmuan Majalah Al-Imam. Tahap kedua, saya paparkan mengenai kedudukan Islam dalam perlembagaan negara, peranan dimainkan oleh organisasi Islam dan diikuti dengan Dasar Penerapan Nilai-nilai Islam di Malaysia.
Ketika menghasilkan dokumentari ini, secara tidak langsung saya dapat merasakan 'agenda tersembunyi' Yunus Said. Sajian bahan pada tahap kedua perkembangan Islam di Malaysia, Yunus memberikan beberapa nama untuk saya temubual. Jelas, kalangan mereka itu adalah terdiri dari aktivis PKPIM dan ABIM yang pernah dipimpin oleh Pak Sheikh suatu masa lalu. Gambaran yang ingin dizahirkan adalah, perkembangan Islam di Malaysia selepas merdeka khususnya pada tahun-tahun 70-an, banyak dijayakan oleh kalangan ABIM dan PKPIM.
Saya tidak menafikan peranan ABIM dan PKPIM. Tetapi, sebagai kalangan orang yang turut memahami sejarah tanah air dan banyak membaca, maka saya turut merasakan dasar negara juga banyak memainkan peranan penting termasuk peranan Pusat Islam dan Jabatan Agama Islam Negeri dan institusi Pendidikan Islam.
Justeru, bagi mengimbangi keadaan, bahagian kedua dokumentari ini, saya hasilkan dengan menggunakan pendekatan polimik dengan menemubual tokoh-tokoh Abim dan Menteri Agama ketika itu dan membiarkan audien membuat penilaian sendiri.
Dokumentari khas " Perkembangan Islam di Malaysia" selama satu jam ini, disiarkan menjelang Pilihanraya Umum 1986. Saya mengharapkan dengan usaha saya ini, Yunus sebagai orang kuat baru BES TV3, mungkin akan menjuruskan saya kepada suatu program yang ada kaitannya dengan dokumentari TV.
Ternyata keadaan itu tidak kelihatan juga. Saya kembali dengan tugasan asal reporter tv, satu kerjaya yang semakin menyesakkan fikiran dan hati saya.
Akhirnya, setelah setahun berfikir panjang, maka saya memberikan notis perletakan jawatan. Ketika itu, saya telahpun membuat persediaan memohon melanjutkan pelajaran MA di Jabatan Penulisan dan kemudian Jabatan Pengajian Media UM dan menerima Elaun Bantuan Siswazah, hasil bantuan teman-teman saya di UM dahulu.
Isteri saya, Riswati (dengan anak kecil kami Wani berusia 4 bulan), tidak saya beritahu yang saya telah meninggalkan TV3. Tidak tergamak hati saya untuk berbuat demikian. Tidak tersanggup hati melihat kesedihan terpancar di wajah wanita ini. yang selama di TV3 seringkali saya tinggal-tinggalkan.
Selama sebulan saya berpura-pura keluar bekerja dan selama sebulan saya terus-terusan membohongi dirinya.
Akan datang: Bermulanya JACK OF MANY TRADE, MASTER OF SOME
Catatan:
Satu hari menjelang pilihanraya umum beberapa tahun berikutnya, Haji Hasim Penerbit Majalah 3, pernah memberitahu (bukan minta izin), betapa dia menggunakan dokumentari TV Perkembangan Islam Di Malaysia, karya saya, dengan dirinya sebagai penerbit tetapi dipecahkan kepada dua siri untuk siaran dua minggu berturut-turut.
No comments:
Post a Comment