Iklan

Thursday, August 5, 2010

Melayu- Lihatlah dan berfikirlah hingga ke luar lingkungan.


Tulisan ini adalah lanjutan dari paparan yang terdahulu. Ia tidak ada seberang kepentingan peribadi atau politik PAS atau UMNO. Ia terbit dari rasa keinsafan tentang kebodohan dan kerakusan manusia bernama Melayu, yang sanggup menggadaikan jati diri, semata-mata atas nama prinsip kononnya dan atas sifat ingin mendapat keuntungan materi dan kuasa.

Ia adalah luahan rasa hati saya dan jauh sekali mewakili mana-mana organisasi. Ia terbit lanjutan dengan senario politik Melayu dan negara yang begitu membimbangkan. Kalau ada kalangan orang Melayu yang berfikiran seperti saya, alhamdulillah. Jika tidak, ia pasti satu lagi episod sedih yang pasti akan menjadi catatan hitam dalam sejarah orang Melayu.

Namun saya yakin, kelompok manusia seperti saya masih ramai malah lebih ramai jumlahnya jika kita gabungkan ahli-ahli UMNO 3 juta dan ahli PAS 1 juta. Kelompok ini yang seramai lebih 10 juta ini, kerapkali dikelompokkan sebagai orang atas pagar.

Pada tulisan kali, saya ingin membawa perhatian anda kepada satu lagi rencana yang terdapat dalam majalah Eksklusif keluaran bilangan 12 Julai 1990. Tulisan ini ditulis oleh bekas wartawan saya , seorang kaum Tionghua bernama Erie Tee.

Saya mengharapkan anda membacanya dan cuba menjangkau maksudnya hingga ke luar lingkungan minda anda.


KAMPUNG MINI MELAYU

Bila kita bertanya kepada orang Melayu di manakah letaknya kampung Melayu, ada yang menjawab 'Geylang' dan sesetengah yang lainnya tidak tahu.

Jawapan ini sudah tentu menimbulkan pertanyaan kepada kita apakah di Republik Singapura yang mempunyai penduduk Melayu seramai 377,500 tidak mempunyai perkampungan asal?

Menurut catatan sejarah, orang Melayu di Singapura pernah mempunyai penempatan asal iaiatu di Pulau Seletar.

Wartawan Eksklusif, cuba mendapatkan maklumat lanjut mengenai perkara ini di Geylang. Di sana kita akan menemui Kampung Mini Melayu.

Menurut Cik Halimah Osman, Setiausaha Eksekutif Pertubuhan Budaya Melayu Singapura, pembinaan perkampungan mini Melayu ini sememangnya dirancang oleh kerajaan Singapura. " Inilah tempat tunggal kepada pelancong untuk menghayati perkampungan Melayu di Singapura. Rekabentuknya adalah bercirikan rumah Minangkabau dan Rumah Kelantan. Ia telah dibina oleh HDB," ujar beliau.

Pertubuhan-pertubuhan budaya Melayu Singapura menggunakan pentas khas yang disediakan di perkampungan mini itu untuk mengadakan pertunjukan kebudayaan Melayu kepada pelancong. Cik Halimah juga menjelaskan, pada setiap Sabtu dan Ahad diadakan persembahan kebudayaan, orkestra dan nyanyian Melayu.

" Kami juga menjual barangan kraftangan Melayu dan juga perkakas rumah yang digunakan oleh kaum Melayu," jelasnya lagi.

Beberapa projek juga sedang dirancangkan bagi membina gelanggang main gasing, dewan pertunjukan kebudayaan, surau dan bilik permainan tradisional Melayu. Di persekitaran Kampung Mini ini terdapat pusat membeli-belah, kedai dan rumah pangsa.

Penulis - Kata Hang Tuah, Melayu tidak akan hilang di dunia.
Kata Tuah Hang, Melayu Singapura macam mana?
Lihatlah dan berfikirlah hingga ke luar lingkungan minda anda. Semoga Melayu tidak menjadi orang dagang di tanah air mereka sendiri.
BERSATULAH....

2 comments:

mantan said...

Pak Sudir,
Sebagai Melayu, sampai sekarangpun saya terus berfikir.....

sudirmanrosli said...

Pak Wahab..sebagai Melayu, sampai sekarang pun saya masih berharap, agar, mereka kembali mengungkit sejarah dan melihat pelbagai peristiwa yang menjadi sebab kehancuran jatidiri kita. Yang paling saya takuti, orang Melayu, yang bayangan Pak Kaduknya sudah semakin kelihatan, akan akhirnya menjadi dagang pada tanah airnya sendiri.

Post a Comment