Saya sepatutnya, menulis mengenai Syeikul Al Arqam dalam kesempatan kali ini. Bagaimanapun, sejak akhir-akhir ini, senario politik negara yang membabitkan tekanan kepada orang Melayu semakin menjadi-jadi. Saya, orang kecil kampungan ini terpanggil untuk mengulas. Catatan mengenai Arqam, akan saya sentuh kemudian. Haraf maaf.
Pada kesempatan kali ini, saya akan menukilkan kembali satu rencana tulisan saya, yang pernah disiarkan dalam Majalah Eksklusif Bilangan 9, April 1990.
Saya amat berharap, agar orang Melayu, khususnya orang-orang hebat Melayu yang bangang dan tidak sedar untung dan kerap menjadi punca perbalahan dan pertelingkahan sesama Melayu hari ini akan atau mesti membacanya.
RAMAI YANG TAK PEKA SEJARAH
Kekurangan kaum bumiputera menceburkan diri dalam bidang profesional pada tahun-tahun sebelum DEB bukanlah soal asing. Rata-rata kesalahan itu diletakkan di tangan penjajah yang 'menganaktirikan' pendidikan bumiputera dan kaum bumiputera, sehingga aspek ini terbawa-bawa hingga selepas merdeka.
Bagaimanapun, setelah 20 tahun Malaysia merdeka, masalah ini ternyata tidak banyak berubah dan masih muncul sebagai persoalan utama dalam survival kaum bumiputera di Malaysia.
Perangkaan-perangkaan yang ditunjukkan mengenai jawatan-jawatan seperti jurutera, doktor, arkitek dan peguam ternyata tidak memberangsangkan. Keadaan yang sama juga berlaku dan wujud di Universiti Malaya di mana bilangan pelajar bumiputera yang terdapat di Fakulti serta bilangan yang tamat pengajian tidak menggalakkan.
Anggaran pertengahan tahun 70-an, isu ini semakin hangat apabila ramai orang mempertikaikan betapa pelajar-pelajar bumiputera tidak berpeluang untuk lulus cemerlang di beberapa fakulti. Malah ramai antaranya yang gagal terus.
Perangkaan yang dikeluarkan melalui kalender universiti antara tempoh 1971 hingga 1977 menunjukkan keadaan yang memilukan bagi nasib kaum bumiputera. Dalam Fakulti Kejuruteraan misalnya, sepanjang tempoh itu, hanya 20 pelajar bumiputera lulus dengan kelas 3 berbanding 53 pelajar bukan bumiputera yang mendapat kelas pertama, 168 kelas 2 dan 320 kelas 3.
Dalan Fakulti Sains pula, sepanjang tempoh itu, seramai 105 pelajar bukan bumiputera mendapat kelas 1 berbanding seorang pelajar bumiputera, 542 mendapat kelas 2 atas (13 bumiputera), 685 mendapat kelas 2 bawah (39 bumiputera) sementara 2411 orang lulus berbanding 220 bumiputera.
Di Fakulti Ekonomi, pencapaian kaum bumiputera dikira agak baik. Seramai lima orang berpeluang mendapat kelas 1 berbanding 59 bukan bumiputera dalam tempoh itu, 48 orang mendapat kelas 2 atas (211 bukan bumiputera), 811 kelas dua bawah (915 bukan bumiputera) dan 553 lulus (355 bukan bumiputera).
Sementara di Fakulti Pertanian pula (sebelum dimansuhkan), hanya seorang mendapat kelas 1 berbanding 18 bukan bumiputera, 23 kelas dua atas ( 80 bukan bumiputera), 70 kelas 2 bawah (127 bukan bumiputera) dan 98 kelas ketiga (55 bukan bumiputera).
Di Fakulti Undang-undang , pencapaian bumiputera ternyata lebih memberangsangkan. Walaupun tiada sesiapa mendapat kelas 1 berbanding 4 bukan bumiputera, tetapi seramai 18 orang menerima kelas 2 atas berbanding 19 bukan bumiputera, 40 lagi mendapat kelas 2 bawah (21 bukan bumiputera) dan sembilan lagi bumiputera mendapat kelas 3.
Kesemua keadaan-keadaan ini begitu menyesakkan dan memilukan orang Melayu. Lanjutan dari itu beberapa persidangan telah diadakan untuk mencari penyelesaian terhadap masalah bumiputera ini serta mengenalpasti punca sebenar kewujudan segala masalah ini.
Keputusan yang ditemui pelbagai-bagai. Antaranya, kekurangan bumiputera dalam bidang profesional kerana kurang calon dari aliran sains di sekolah-sekolah menengah. Begitu juga kekurangan pelajar di Fakulti Kejuruteraan kerana kebanyakan mereka melanjutkan pelajaran ke luar negeri.
Antara contoh terbaik adalah dari 17 calon yang diterima masuk ke Fakulti Kejuruteraan, hanya lima saja yang berjaya menduduki peperiksaan akhir. Selebihnya 'berhijrah' ke luar negeri kerana peluang untuk lulus dengan cemerlang adalah 100 % lebih baik.
Satu lagi faktor penting adalah kekurangan tenaga pengajar di Universiti Malaya dari kalangan kaum bumiputera. Sebagai contohnya, dalam perangkaan tahun 1977, dari 157 tenaga pengajar di Fakulti Perubatan, hanya 3 orang bumiputera.
Di Fakulti Pergigian pula, hanya ada tiga orang berbanding 18 bukan bumiputera. Tiga orang lagi di Fakulti Kejuruteraan berbanding 43 bukan bumiputera, lima orang di Fakulti Sains berbanding 137 bukan bumiputera dan 9 orang di Fakulti Pendidikan berbanding 33 bukan bumiputera. Cuma di Fakulti Undang-undang terdapat 10 bumiputera berbanding 5 bukan bumiputera.
Lanjutan dari keadaan inilah, serta rasa tidak senang dengan masalah kekurangan bumiputera di Universiti Malaya antara tempoh sebelum 1977, maka satu tindakan drastik telah diambil oleh institusi itu. Melalui usaha beberapa tenaga kepimpinan akademik bumiputera khususnya Prof Diraja Ungku Aziz, beliau mengasaskan pelbagai program istimewa bagi membantu dan memulihkan keadaan gawat di universiti itu.
Lanjutan dari itu, muncullah program Bimbingan Sains Khas. Program ini bertujuan untuk membimbing pelajar aliran sains (bumiputera) yang lemah supaya dapat membantu mereka mengikuti pelajaran dengan lebih berkesan dan efektif. Kejayaan awal program ini menggerakkan lagi hasrat untuk melihat pencapaian yang lebih memberangsangkan.
Maka pada tahun 1977, Pusat Asasi Sains (ASASI) ditubuhkan.
Program Asasi Sains ini jelas bertujuan untuk menampung kekurangan calon-calon bumiputera untuk memasuki kursus-kursus beraliran sains terutamanya perubatan, pergigian dan kejuruteraan. Ternyata program ini lebih mengesankan dari program bimbingan tadi. Dengan kewujudan Pusat Asasi Sains, jumlah pelajar bumiputera yang berpeluang memasuki peringkat ijazah profesional di beberapa fakulti di Universiti Malaya, meningkat dengan begitu mendadak dan pesat sekali, khususnya di Fakulti Perubatan, Pergigian dan Kejuruteraan.
Bagi menampung keperluan tenaga pengajar akademik bumiputera pula, maka tidak lama kemudian diwujudkan Skim Latihan Akademik Bumiputera (SLAB). Melalui skim ini, kalangan pelajar bumiputera yang mempunyai pencapaian keputusan peperiksaan akademik yang baik dihantar ke luar negeri untuk melanjutkan pelajaran peringkat MA dan PhD melalui biasiswa JPA.
Sepanjang tempoh belajar itu, mereka diangkat sebagai tutor atau pengajar dan sebaik saja mereka kembali dengan kelulusan MA sekurang-kurangnya, akan dilantik terus ke mana-mana jawatan pensyarah yang sememangnya telah diperuntukkan untuk mereka.
Ternyata skim ini amat mengesankan dan berjaya mempertingkatkan jumlah tenaga pengajar akademik bumiputera profesional di universiti itu. Malah program SLAB ini turut dicontohi oleh pelbagai institusi pengajian tinggi lainnya. Kehadiran ramai tenaga pengajar bumiputera ini, ternyata mempertingkatkan dan memperteguhkan lagi pencapaian dan kecemerlangan akademik kaum bumiputera.
Apa yang lebih menghairankan adalah, kebanyakan tenaga pengajar dari program SLAB dan ASASI ini, menghasilkan keputusan-keputusan yang cemerlang dan kerapkali mereka meneruskan pengajian ke peringkat PhD setelah melepasi ijazah pertamanya. (Sesuatu yang tidak mungkin sekiranya mereka masih berada di UM lagi.)
(Produk-produk dari program ASASI SAINS peringkat awal kini sudah berumur lingkungan 50 tahun dan mereka kebanyakan menjadi peneraju masyarakat dalam banyak bidang- penulis)
Demikian, Universiti Malaya amnya dan golongan bumiputera khasnya, terhutang budi kepada ramai pemuka Melayu Universiti Malaya ketika itu khususnya Ungku Aziz. Tanpa usaha mereka, nasib kaum bumiputera tidaklah dapat difikirkan akan jadi bagaimana.
Catatan penulis.
BERFIKIRLAH .
Jangan disia-siakan usaha dan pengorbanan generasi terdahulu. Jangan begitu mudah mengiakan sesuatu yang merugikan bangsa Melayu. Ini bukan soal politik dan kepartian UMNO atau PAS tetapi soal hak kita orang Melayu dan Islam.
"Matalamat Tidak Boleh Menghalalkan Cara" dalam sesuatu aspek yang membabitkan soal survival orang Melayu dan agama Islam. Kita perlu pertahankan apa yang ada dan jangan sesekali berkompromi semata-mata bagi memastikan takut akan hilang pengaruh dan kuasa.
Bagi kalangan bekas pelajar ASASI SAINS termasuk Timbalan Menteri Pertahanan kini, kenapa tidak buat satu permasyhuran, betapa Kepimpinan Akademik Melayu Universiti Malaya 1977 khususnya Ungku Aziz, sebagai WIRA AKADEMIK MELAYU TERUNGGUL ABAD KE-20?
Jumpa lagi.
33 - KETUA KAUM IBU UMNO MALAYA
7 years ago
No comments:
Post a Comment