Iklan

Saturday, May 26, 2012

'MENCURI' ILMU BARU

" Tan. saya ada buka kedai baru di kampung saya,' zahir saya kepada Tan, jiran sebelah kedai saya di Plaza Metro Kajang. Tan berniaga menjual, memasang dan membuat barangan cenderahati, pakaian  dan piala sukan.


 ' Jadi, apa kata kalau saya jadi ejen awak di sana?'


Sebenarnya idea untuk mengembangkan  lagi sifat bisnes  ini sudah agak lama tercerna dalam kepala khususnya sejak saya mula membuka cawangan perniagaan di Masjid Tanah. Dalam pengamatan saya, sifat niaga ini amat berpotensi sekali kerana permintaan untuk barangan dan produk ini sentiasa ada dan berterusan, Apatah lagi saya berniaga di kampung saya sendiri di mana saya dilahirkan dan dibesarkan. Malah saya pernah bertugas sebagai pendidik di tempat itu.


Lebih menarik lagi, Masjid Tanah ketika itu, bukan sebagaimana keadaannya ketika saya tinggalkan untuk pergi merantau pada tahun 1979. Sekolah-sekolah rendah dan menengah bercambah dengan banyaknya. Begitu juga dengan kewujudan institusi pengajian tinggi, akademik dan institusi kerajaan lainnya seperti IKBN, UiTM, Kolej Islam, Kolej Matrikulasi, Akademi Laut Malaysia, Kem Masjid Tanah, Pusat Latihan Rela, Kolej Risda dan sebagainya.


 Langkah pertama, yang saya lakukan untuk memulakan sifat perniagaan perkhidmatan ini adalah dengan melabur dan membeli mesin membuat cop atau rubber stamp.Ternyata, permintaan untuk cop ini semakin meningkat setiap hari. 


Tan ternyata bersetuju dengan permintaan saya. Dia kemudiannya membekalkan saya dengan pelbagai jenis contoh piala, trofi dan medal sukan untuk saya pamerkan dalam kedai pada satu harga dasar dan memberitahu saya harga pasaran semasa untuk setiap barangan itu.


" Kenapa harganya mahal sangat?" suatu hari saya ditegur oleh seorang pelanggan kerana medal kalung biasa yang saya tawarkan ketika itu berharga RM4.50. " Ada kedai kat sana jual RM4.00 saja." tambah orang itu.


Saya tergamam seketika, apabila diberitahu yang pelanggan ini boleh mendapatkan barangan serupa pada harga sama yang diberikan Tan kepada diri saya. Justeru, dalam fikiran saya, modal barangan ini paling tinggi RM3,50 kalau segalanya dibuat oleh Tan dan modalnya lebih murah lagi jika saya boleh memasangnya sendiri.


Terasa benar Tan mempermainkan saya dan cuba mengambil kesempatan terhadap diri saya. Keadaan ini benar-benar mencabar ego saya, kerana sejak asalnya, saya  memang mahu menjadi agen kepada Tan dan tidak pernah berhasrat untuk mendalami ilmu sifat niaga sebegini.


Memandangkan permintaan terhadap medal sukan semakin berkembang di pasaran Masjid Tanah, serta lanjutan dari  sikap tidak jujur Tan, saya akhirnya terpaksa mencari alternatif baru dan mendapatkan pembekal baru. Beberapa pembekal Cina dan India di Kuala Lumpur dan Penang, ternyata memberikan harga barangan yang jauh lebih murah dari apa yang diberikan oleh Tan. Keadaan ini membolehkan saya menyaingi beberapa buah pekedai yang turut menawarkan perkhidmatan yang serupa.


Perniagaan menjual piala dan cenderamata sukan ini ternyata berjaya mewujudkan satu minat dan matalamat baru dalam hidup saya apatah lagi ketika itu, tiada lagi projek penerbitan video dokumentari.  Sebagaimana keinginan saya untuk mendalami ilmu penerbitan buku dan percetakan, saya mula banyak berfikir tentang sifat niaga ini.


" Minta tolong sangat-sangat. Saya perlukan medal sukan untuk johan hingga tempat keempat, untuk petang ni," mohon seorang pelanggan kepada saya. Wajahnya panik sungguh kerana dia tidak sempat melakukan tanggungjawabnya, kerana ada masalah keluarga di Alor Setar. Majlis penyampaian hadiah akan berlangsung pada petang itu.


Malangnya, permintaannya itu terpaksa saya tolak kerana kedai saya tidak menyediakan khidmat membuat tetapi sekadar menjual atau membekal. Saya tidak tahu apa yang berlaku kepada pelanggan saya yang keluar dari kedai saya dengan wajah panik dan hampa. Tetapi, perkara ini menimbulkan satu kesedaran akan kelemahan saya.


 Saya tahu, untuk terus kekal dalam industri ini, saya mesti mempunyai kebolehan untuk bukan saja membekal tetapi membuat atau memasang produk itu. Kesedaran inilah kemudiannya mewujudkan ' curiousity'  dan menjadi katalis bagi saya untuk mencuri ilmu serta berusaha gigih untuk mendalami ilmu ini.


Sejak hari itulah, saya banyak membaca dan mengkaji serta banyak bertanya kepada siapa saja. Maklumat asas yang saya perolehi, kemudian saya kembangkan sendiri dengan melakukan pelbagai eksperimen. Hasilnya, ternyata amat menggembirakan saya kerana akhir dari usaha itu, saya  dapat menghasilkan sesuatu produk yang hampir serupa walaupun melalui pendekatan yang berbeda. Dalam kata lain, saya berjaya menghasilkan teknik saya sendiri ketika menghasilkan sesuatu produk.


Keseronokan melakukan eksperimen ini, kemudiannya saya kembangkan kepada penghasilan produk lain seperti membuat tag nama. Selain itu, saya mula mengumpul modal dan membeli mesin-mesin manual membuat pindah imej secara iron on atas baju T, Topi, mesin membuat button badge, mesin membuat kad ID, mesin membuat tag nama secara engraving dan mesin membuat cop secara segera dan siap dalam tempoh 15 minit. 


Malah bagi mengukuhkan lagi perniagaan ini, saya turut belajar ilmu membuat saring sutera (Silk Screen) dengan sahabat saya Azmie T-Shirt  dan berpeluang mendalami ilmu membuat banner dan banting serta sulaman berkomputer dengan sahabat yang lain.


Saya yakin, dengan kepelbagaian ilmu ini dan peralatan, Anugerah Ilmu berkemampuan menghasilkan pelbagai produk media dengan segera atau MEDIA X-PRESS. 


Malah saya juga yakin, Anugerah Ilmu kini sedang memasuki fasa baru dalam strategi perancangan perkembangan perniagaannya untuk  menjadi mentor bagi projek  SATU X-PRESS MEDIA, SATU KOTA, SATU USAHAWAN MELAYU MUDA.


Insyaallah.













Thursday, February 16, 2012

PERCATURAN YANG SILAP 1 - HARAPKAN PAGAR, PAGAR MAKAN PADI.

Sepasang suami-isteri muda kelihatan berada di luar kedai saya di Plaza Metro Kajang. Mereka kelihatannya semacam serba-salah. Lama mereka berlegar-legar di luar kedai itu.

Saya tidak berapa kenal dengan kedua-duanya sebelum ini. Hanya beberapa hari lalu, pembantu rumah saya memberitahu, mereka berkongsi rumah dengannya. Mereka juga mempunyai seorang anak lelaki yang baru berumur dua tahun.

Pasangan suami isteri itu, dengan rasa amat keberatan akhirnya mara ke arah saya dan berdiri di hadapan meja saya. Saya menghulurkan salam dan mempelawa mereka duduk.

" Mamat kan (bukan nama sebenar)?" tanya saya.

Dia mengangguk sambil memandang kepada isterinya Ija (bukan nama sebenar).

" Apa cerita Mat? Ada apa-apa masalah ke?" tanya saya lagi.

Pasangan suami isteri itu kelihatan begitu serba-salah. Ija akhirnya menyeluk sesuatu dari seluarnya dan mengeluarkan seutas rantai emas. Perlakuan itu, membuat saya terkejut dan kehairanan. Isteri saya yang baru selesai melayan seorang pelanggan, turut menyertai kami.

" Apa hal ni Ija?" tanya isteri saya kepada isteri Mamat.

"Begini kak..," jawab Ija teragak-agak. " Kami ada masalah nak bayar sewa rumah. Tuan rumah beri tempoh hingga malam ini. Kalau kami tak bayar sewa, kami kena keluar rumah malam ni juga.." lanjut Ija.

" Jadi?" tanya isteri saya lagi.

" Jadi, kami ...... jadi, saya nak jual emas ini kalau akak mahu.." terusnya lagi.

Hampir terperangah saya dan isteri dibuatnya.

Untuk seketika, fikiran saya menerawang jauh. Saya terkenangkan keadaan diri saya beberapa tahun lalu. Apa yang berlaku pada Mamat dan isterinya kini adalah sesuatu yang pernah berlaku kepada kami suatu masa lalu.

Perasaan simpati saya mula membuak. Saya terasa amat kesihan dengan kehidupan yang mereka alami. Terbetik secubit perasaan untuk membantu mereka sekadar ada dan termampu.

" Berapa nak pakai? " tanya saya.

" 300.00," jawab Ija. Mamat kelihatan berdiam diri. Wajahnya mula merah. Malu.

Saya memandang ke muka isteri meminta persetujuan. Ris mengangguk. Akhirnya saya mengambil jumlah wang yang diminta dan menyerahkannya pada Ija.

" Ambillah. Tak payah gadai atau jual rantai tu. Nanti, jika ada duit, pulangkanlah.." zahir saya.

Ija mengambil wang itu, dengan wajah yang pilu. Mereka berulang-ulang kali mengucapkan terima kasih.

"Mat buat kerja apa sekarang?" tanya saya apabila Mamat meminta izin untuk melangkah pergi.
" Tak buat apa. Sesekali ikut lori angkat tong gas. Masa lain, ikut orang tukang rumah," jawabnya.

Saya mengangguk. Tiba-tiba satu ilham terbetik dalam kepala. Mungkin, manusia yang malang ini boleh saya pimpin dan latih dalam ilmu niaga yang sedang saya ceburi kini khususnya aktiviti menjual buku kaki lima di mana-mana IPT. Mungkin hidupnya boleh berubah menjadi lebih baik.

Mungkin juga bantuan ini, boleh saya andaikan sebagai 'ucapan terima kasih' atau membalas budi kepada Ilahi, kerana mendorong ramai orang untuk membantu memulihkan kehidupan saya dan keluarga sebelumnya, sehingga saya mampu berdikari dan menjadi sebagaimana hari ini.

" Selesaikan masalah kamu dulu. Esok, kalau Mamat free, datanglah jumpa abang. Boleh kita bincang pasal kerja."

Demikianlah, dari sejak hari itu, Mamat mula saya latih untuk membantu saya menjalankan perniagaan niaga barangan muslim dan niaga buku dari satu lokasi ke satu lokasi. Kelihatan benar Mamat berusaha bersungguh-sungguh untuk mengubah nasib diri dan keluarganya.

Setahun awal, Mamat memperlihatkan kesungguhan dan kejujurannya dalam berniaga. Sebagai balasan, kami sekeluarga menganggap keluarga Mamat sebagai sebahagian dari keluarga kami juga. Anaknya juga, ber'datuk' dan ber'nenek'kan 'kami. Malah acapkali, apabila anak lelakinya sakit, akan kami bawa balik ke rumah dan kami jaga hingga dia kebah dari sakit dan demamnya.

Malah pernah juga, apabila Ija selepas bersalinkan anak kedua di Hospital Kajang, kami bawanya ke rumah kami . Suaminya ketika itu sedang berjualan ke luar daerah sementara bapa saudaranya semacam tidak ambil kisah. Ris sebagai bekas jururawat turut memberikan perhatian dan bantuan, termasuk mendapatkan bidan atau tukang urut serta membeli pelbagai barangan keperluan anak dan barangan selepas bersalin.

Ketika itu, kamilah yang menjadi ibu dan bapanya sebagai galang ganti untuk ibubapanya yang tinggal jauh di Kelantan.

Pada tahun kedua, tiga tahun setelah saya membuka cawangan niaga di Masjid Tanah, saya melantik Mamat untuk menguruskan cawangan syarikat saya itu, apabila pengurus pertama meletakkan jawatan. Ketika itu, setelah lebih setahun menilai sikap dan perangai Mamat, saya benar-benar yakin Mamat adalah pilihan terbaik. Apatah lagi, Mamat dan keluarga ketika itu, bukan lagi seorang pekerja, tetapi kami anggap seperti anak kami sendiri.

Bagi membolehkan dia menguruskan perniagaan dengan baik, saya dapatkan sebuah kenderaan syarikat (van) untuknya.

Ternyata, pada peringkat awal Mamat menguruskan perniagaan dengan baik. Malah, lebih menyeronokkan lagi, keluarganya di Kedah dan keluarga isterinya di Kelantan, kerap datang ke Masjid Tanah, untuk menumpang 'tuie' Mamat yang sekarang sudah jadi 'orang' berbanding dahulu yang kerjanya tidak lain ' menyusahkan' orang atau keluarganya sendiri. Mereka berulang-ulang kali mengucapkan terima kasih kepada kami, kerana mengubah nasib Mamat menjadi orang lebih baik.

Malah, Mamat ketika itu sudah mampu menyewa rumah teres serta melengkapkan rumahnya dengan barangan rumah yang seharusnya ada untuk taraf orang berkeluarga.

Kepercayaan saya kepada Mamat ketika itu amat tinggi. Saya benar-benar yakin, Mamat tidak lama lagi, akan mampu berdikari. Saya juga telah membayangkan kepada Mamat, betapa apabila tiba masanya, Mamat pastinya akan saya bantu di mana termampu untuk menjadi seorang usahawan juga seperti saya.

Ketika itu juga, produk perniagaan saya khususnya di kedai Masjid Tanah, sudah semakin saya kembangkan dan pelbagaikan. Bidang niaga baru meliputi penjualan dan pembuatan barangan keperluan sukan seperti membuat trofi, piala dan medal dan cenderamata (premium) juga barangan keperluan pejabat seperti membuat 'rubberstamp', tag nama termasuk Kad ID dan saring sutera (Silk Screen).

Pastinya Mamat, orang yang bertuah menerima didikan ilmu dari saya, walaupun pada dasarnya dia hanya belajar hingga ke tahap sekolah dasar tahun 6 dan tidak pernah menjejakkan kaki ke peringkat sekolah menengah.

Saya tidak pernah meragukan kesetiaan dan kejujuranMamat. Atas alasan itulah, saya dari selang sehari datang untuk lawatan kerja ke cawangan kedai di Masjid Tanah, Melaka, sudah mula menjadikannya seminggu sekali.

Malangnya, orang bernama Mamat ini, ternyata seorang yang tidak pernah belajar dari kesilapan lampau dan orang yang tidak sedar dek untung. Kemewahan hidupnya ketika bersama saya, mula membuatkan dia terlupa akan asal-usulnya.

Dia mula berkawan dengan orang-orang yang silap. Dia sudah mula menakal dengan perempuan lain dari isterinya serta mula memperlihatkan sikap-sikap yang merugikan dirinya dan syarikat. Kejujurannya dalam menguruskan perniagaan yang diamanahkan kepadanya sudah semakin longgar. Dia sudah mula menyelewang.

Suatu hari, pada malam menjelang hari raya puasa, Mamat tiba di rumah saya di Kajang, dalam perjalanan pulang ke rumah isterinya di Kelantan. Dia menyerahkan wang jualan untuk tempoh empat hari terakhir bulan Ramadhan. Selain itu, dia menyerahkan juga catatan buku jualan.

" Berapa jumlahnya Mamat?" tanya saya.
" Lapan Ribu."
" Cukup semuanya lapan ribu?"
" Cukup lapan ribu. Yang lain dah serahkan dahulu," jawabnya.

Memandangkan, Mamat sedang bergegas untuk kembali ke Kelantan, maka saya menarik dari jumlah itu wang sebanyak RM2000 dan memberikan kepadanya. Wang itu adalah sebagai gaji bulanannya serta sebahagian bonus untuk tempoh niaga sepanjang bulan puasa.

Setelah Mamat meneruskan perjalanan, saya mula mengira baki wang yang ada yang sepatutnya RM6000. Anehnya, jumlah wang yang ada, masih juga berbaki RM 8000.00. Ini bermakna, wang yang diserahkan kepada saya sebelumnya adalah RM10,000 dan bukan RM8,000 sebagaimana sepatutnya.

Anehnya juga, Mamat yang selalunya mengambil cuti rihat selama seuluh hari setiap hari raya, untuk ke Kelantan dan kemudian ke Kedah, tiba-tiba muncul tiga hari kemudian di Kajang dan meminta buku catatan jualan terdahulu. Menurutnya, dia sengaja memendekkan cuti, kerana tidak sabar untuk memulakan perniagaan semula.

Terkilas ikan di air, saya terperasan akan jantan atau betinanya.

Peristiwa ini ternyata membuka minda dan kesedaran saya. Pelbagai kemungkinan mula menyesak fikiran saya. Dan kesimpulannya, saya mula tersedar, pagar yang selama ini, saya harapkan, ternyata pagar itu pula mula memakan padi yang saya tanam itu.

Sejak hari itu, saya mula menjalankan penyiasatan secara diam-diam, takut kalau-kalau saya tersilap percaturan dan menuduh orang yang selama ini begitu setia dengan diri saya. Saya melakukan audit sendiri di premis niaga di Masjid Tanah. Saya menggunakan beberapa sahabat untuk mengintip dan menyiasat perilaku dan perangai Mamat.

Hasil yang saya temui begitu menakutkan. Penyelewengan Mamat sudah mencapai paras bahaya. Lebih buruk, dia mula bersekongkol dan bersubahat dengan ramai 'musuh niaga' atau saingan niaga saya dan mendedahkan pelbagai maklumat dan rahsia perniagaan saya daripada soal pembekal produk bahan mentah, strategi pemasaran saya serta teknik dan cara saya menghasilkan sesuatu produk.

Selain itu, Mamat sudah mula pandai mengambil produk niaga dari orang lain atau tepatnya saingan niaga saya dan menjual atas dasar komisyen, tanpa pengetahuan saya. Siasatan saya juga mendapati, barangan kedai saya telah diambil dan diniagakan secara wewenang tanpa sebarang catatan dan rekod.

Lebih buruk lagi, Mamat didapati sudah mendaftarkan sebuah syarikat sendiri yang mirip dengan nama syarikat saya Anugerah Ilmu Enterprise, iaitu " Anugerah Niaga Enterprise". Alamatnya juga sama menggunakan alamat kedai saya.

Hampir 3 bulan lamanya, saya mengambil masa untuk mengintip sikap laku Mamat. Akhirnya, suatu hari, saya memanggil Mamat dan berbincang dengannya mengenai segala apa yang dilakukan serta hasrat saya untuk membebaskannya bagi membolehkannya memulakan perniagaannya sendiri.

Sebagaimana janji saya dahulu untuk membantunya berniaga, maka saya memberikan pinjaman berupa barangan niaga dalam lingkungan RM10,000 serta meminjamkannya sebuah van yang dikira secara sewa bulanan RM500. Malangnya, van itu terpaksa saya tarik balik empat bulan kemudian, apabila Mamat tidak langsung membayar semula pinjaman barangan dan sewa van sebagaimana yang dijanjikannya. Dan lebih, menarik lagi, setelah itu, Mamat yang membuat pinjaman kenderaan (van baru), terus ghaib dan meninggalkan bumi Masjid Tanah, buat selama-lamanya.

Kali terakhir, anggaran lima tahun lalu, saya bertembung dengan Mamat tanpa sengaja di Kajang. Mamat sudah tidak lagi sehebat ketika dia bekerja dengan saya. Dia sudah kembali kepada keadaan asalnya, menjadi kelindan lori, dan memikul tong gas. Malah, anak sulungnya juga, yang pernah kami pelihara, tidak begitu menjadi dalam pelajaran dan masih tidak boleh membaca walaupun sudah hampir memasuki sekolah menengah.

Hingga hari ini saya tidak pernah berjumpa dirinya lagi. Mungkin Mamat sudah bangkit semula. Namun jauh di hati kecil saya, orang yang tidak pernah berterima kasih dengan peluang yang disedekahkan tuhan kepadanya, pastinya tidak mungkin akan sampai ke mana-mana. Wallah hualam bissawab.

RM10,000 saya lesap begitu saja. Begitu juga wang sewa van dan pinjaman RM300 pada tahap awal perkenalannya dengan saya.

Entahlah. Inilah sifat manusia. Inilah sifat Melayu, yang tidak sabar mahu segera menjadi kaya.

Tuesday, December 6, 2011

ERA GAWAT AKHIR KURUN KE-20

Tahun-tahun akhir kurun ke-20 (1998-2000) ekonomi negara sedang mengalami zaman-zaman payah. Apa lagi dengan masalah manipulasi matawang, masalah politik negara dengan tersingkirnya Anwar dari tampuk kekuasaan, kes si budak mata lebam, serta demonstrasi jalanan oleh orang-orang yang meletakkan otak di kepala lutut.

Bagi peniaga kecil seperti kami, segala ini tidak banyak mendatangkan kebaikan malah banyak menimbulkan kesulitan. Para pelanggan menjadi ragu-ragu mahu berbelanja kerana takut suasana ini akan kemudiannya merebak menjadi buruk. Tidak hairan sekiranya mereka amat hemat berbelanja dan menyimpan untuk keperluan masa akan datang.

Pada tahap masa itulah, perniagaan di kompleks mula mengalami zaman merundum.

Saya banyak berfikir ketika itu, bagaimana untuk memastikan perniagaan runcit menjual buku dan barangan muslim ini terus 'viable'. Ternyata, fikiran saya ketika itu lebih menjurus untuk mengembangkan lagi niaga kaki lima saya.

Pada hemat dan pemerhatian saya, pada zaman serba payah ini, ramai manusia mula berjinak kepada sesuatu yang ada kaitannya dengan soal-soal ketuhanan dan kerohanian. Permintaan untuk buku-buku dan bahan bacaan sebegini semakin meningkat

Memandangkan, perniagaan menjual buku kaki lima saya hanya di kompleks Metro Kajang, maka strategi lanjutan saya adalah untuk cuba membawa buku-buku ini ke kawasan pembaca dan pembeli saya itu.

Langkah pertama adalah terbabit dalam banyak aktiviti pesta termasuk pesta konvokesyen.

Bagaimanapun, minat saya untuk meneruskan jualan di tapak-tapak pesta tiba-tiba mati suatu hari atas dua alasan. Pertama, saya dapati, di tapak-tapak pesta itu, terdapat begitu ramai penjual buku termasuk penerbit dan pembekal buku saya sendiri. Lebih lucu, para penerbit dan pembekal ini, menawarkan harga diskaun buku yang jauh lebih murah daripada apa yang mampu kami tawarkan.

Bagaimanapun, faktor utama saya menarik diri dari terus menjual buku di kaki lima atau tapak pesta ini ada kaitannya dengan masalah, tapak niaga saya serta lebih 50 tapak lain, di Kolej Islam Melaka (kini Kolej Universiti Islam Melaka) dipukul ribut hingga mendatangkan kerugian yang bukan sedikit. Buku-buku saya bertaburan di atas bumi, dilumuri lumpur serta dibasahi hujan yang datang secara tiba-tiba.

Hampir menitis air mata melihatkan kerosakan teruk pada buku-buku itu yang ada antaranya berharga melebihi seratus ringgit.

Lama juga saya terhenti niaga menjual buku ini seolah-olah untuk memulihkan semangat. Untungnya, pada tahap-tahap masa sebegitu, pihak kerajaan Malaysia sedang berusaha untuk merancakkan ekonomi domistik dengan menganjurkan banyak projek-projek kecil termasuk pihak Arkib Negara yang galak membangun banyak Memorial.

Ketika itulah pihak Arkib Negara, khususnya Pengarah Bahagian Memorial En. Zainol Abd Rahman, meminta saya membantu pihak kontraktor tempatan untuk menghasilkan lima video dokumentari sejarah untuk Memorial Perisytiharan Kemerdekaan di Melaka, empat video untuk Rumah Kelahiran Mahathir Mohamad di Kedah dan tujuh video untuk Pustaka Perkhidmatan Awam di Taman Tasik Perdana Kuala Lumpur serta terbabit dalam persembahan untuk Memorial Tunku di Kedah dan Perasmian Seminar Sejarah Melayu dari Perspektif Belanda.

Masa selang antara setiap aktiviti penghasilan video dokumentari sejarah itu, saya kembali meneruskan usaha untuk memantapkan semula niaga buku kaki lima yang amat berpotensi besar ini. Pada hemat dan fikiran saya, niaga menjual buku di kaki lima adalah betul, begitu juga berniaga di IPT juga betul. Cuma yang mungkin silap adalah kaedah pendekatannya saja.

Untuk strategi lanjutan, saya kali ini berniaga secara solo di kampus-kampus ini. Satu minggu sebelum minggu berniaga, saya memohon kebenaran untuk menjual di ruang legar pejabat kampus dengan kadar bayaran antara RM 50 hingga RM200 untuk lima hari atau anggaran RM10 hingga RM 40.00 sehari. Pada sebelah petang, buku-buku itu saya biarkan saja di atas meja dan hanya dilitupi dengan kanvas.

Buku-buku hanya dikutip semula pada hari terakhir jualan mingguan itu.

" Tak takut ke buku-buku itu hilang atau dicuri orang?" pernah juga saya mendengar pertanyaan dari orang ramai, kerana tidak memunggah semula buku pada petang setiap hari pameran.

Sesekali terfikir juga saya akan kebenaran dan kemungkinan itu berlaku. Namun, dari pengalaman saya sendiri, kalangan pencuri umumnya begitu 'segan' untuk mencuri sesuatu barangan yang ada kaitannya dengan kerohanian dan keugamaan, kecuali kalangan yang berkepalaotakkan jin.

Bagi menyedapkan hati sendiri, saya sudah menyediakan jawapan standardnya. " Kalaulah pencuri itu mencuri buku ini untuk bertaubat, rasanya tidak apa kot.." balas saya lawak dan diakhiri dengan ketawa yang panjang juga.

Ternyata pendekatan niaga secara solo ke kampus-kampus turut memberikan pulangan yang begitu memberangsangkan. Pada perkiraan saya, jumlah pelajar dan staf anggaran hampir 10,000 orang di setiap kampus. Ini bererti, jika hanya 10 peratus atau 500 orang yang membeli buku pada harga RM 3.00 hingga RM10.00 (sebagaimana perkiraan ketika berjualan di Kolej Matrikulasi Londang dulu), bererti sudah ada jualan anggaran RM1500 hingga RM5000 untuk minggu itu.

Dan ternyata telahan itu benar.

Malah lebih menarik lagi, ketika pameran dan jualan secara solo itu, saya memulakan konsep perniagaan "Buku Ribut" iaitu buku-buku yang rosak dalam ribut sebagaimana dipaparkan terdahulu. Buku-buku itu saya jual pada harga murah antara 20 hingga 50 peratus diskaun atau paling kurang untuk mendapatkan semula modal.

Ternayata, sambutan untuk buku-buku ribut itu begitu memberangsangkan dan ini mendorong saya untuk memperluaskan skop perniagaan buku dengan menjual buku-buku dan majalah lama. Buku-buku dan majalah ini, saya perolehi dari kalangan penerbitnya pada harga murah dan borong.

Tidak hairanlah, sepanjang tempoh gawat itu, selain menghasilkan video-video sejarah untuk Arkib Negara Malaysia, saya boleh kelihatan menjual buku di kaki lima ruang-ruang legar kawasan pentadbiran di kampus-kampus hingga sejauh UPSI di Perak, UiTM di Dungun Terengganu, UiTM Jengka Pahang, Bandar Muazam Shah di Pahang, atau ruang legar Genting Sempah Genting Highland, atau di ruang legar pejabat di Rompin Pahang, Kluang Johor, Pasir Gudang Johor, Kolej Negeri dan Politeknik Port Dickson Negeri Sembilan, tidak termasuk IPT dan IPTS serta sekolah utama, politeknik dan matrikulasi di Melaka, Johor, Perak dan Selangor.

" Teruklah zaman sekarang ni dengan keadaan gawatnya ekonomi dan orang sudah tidak mahu membeli, " satu hari kedengaran luahan rasa dari salah seorang kenalan dan rakan niaga.

Saya memandangnya sambil tersenyum. " Mungkin kita boleh pelbagaikan pendekatan niaga kita. Kalau satu pintu rezeki sudah tertutup, ada enam lagi pintu rezeki yang masih ternganga," zahir dan nasihat saya.

Pada tahun 1999, setelah 20 tahun meninggalkan bumi Masjid Tanah pada tahun 1979 untuk melanjutkan pelajaran di UM dan terus dihantar mengajar ke MCKK 1982, saya kembali ke Masjid Tanah untuk membuka cawangan baru.

Seronoknya juga, pada tahap-tahap zaman gawat itu, saya masih mampu membelikan dua buah rumah sederhana untuk anak-anak dan isteri saya.

Alhamdulillah.


AKAN DATANG:
PERCATURAN YANG SILAP DAN BERAKHIRNYA ERA JAYA TUJUH TAHUN


Wednesday, September 14, 2011

ELOK-ELOK JADI CIKGU, JADI PEGAWAI...


Jam tujuh pagi, orang telah ramai di Kolej Matrikulasi Lodang. Kolej itu baru saja dibuka. Pendaftaran masuk pelajar pertama kolej seramai 2500 orang itu, akan bermula sebentar lagi anggaran jam 8.30 pagi.

Sebelumnya, saya terpanggil untuk memohon dari Pengarah Kolej, yang pernah menjadi bos dan sahabat di SMK Rahmat suatu masa lalu, untuk mengadakan pameran dan jualan buku di situ.

Perkiraan saya mudah. Pada hari itu, setiap pelajar yang mendaftar, mesti diiringi oleh saudara-mara termasuk ibubapa dan adik-beradik mereka. Jika diandaikan, satu pelajar membawa satu keluarga anggaran 5 orang, ini bermakna pada pagi itu, akan ada orang seramai 12,500.

Ini juga bermakna, setelah ditolak 2500 pelajar yang sibuk mendaftar, bererti seramai 10,000 ahli keluarga akan berlegar-legar tak buat apa-apa di serata kolej. Justeru, kalau ada pameran dan jualan buku, pasti sebahagian mereka akan berlonggok di kawasan pameran saya.

Dalam perkiraan mudah saya juga, kalau diandaikan, hanya 5% orang atau 500 orang yang membeli buku pada anggaran RM 3 ke RM10, bererti, sudah ada jualan anggaran sekurang-kurangnya RM1500, satu jualan yang baik dengan keuntungan 30% atau anggaran gaji RM500 hari itu.

Justeru, sepagi itu dengan hanya dibantu isteri, saya memasang meja jualan dan mengangkut buku-buku dari van berulang-ulang kali. Pastinya, kami pada usia memasuki 50 tahun, agak tercungap dan keletihan. Bagaimanapun, apa yang kami lakukan adalah satu eksperimen, sama ada teori niaga buku saya, bertepatan dengan apa yang saya fikirkan. Sebelum ini, sebagaimana yang saya katakan terdahulu, niaga buku kami hanya di kaki lima laluan di Plaza Metro Kajang.

" Aduhai Man. Kenapa jadi begini.?" tiba-tiba saya ditegur seseorang. Saya berpaling dan melihat seorang sahabat lama saya yang kini menjadi seorang pegawai kanan di Jabatan Pelajaran Melaka. Beliau hadir ke kolej itu sebagai wakil khas jabatannya itu.

Saya hanya mampu melemparkan secubit senyuman kepadanya.

" Elok-elok jadi cikgu, jadi pegawai...kau pilih kerja macam ni..." lahirnya lagi. Ada nada kesihan dari dirinya, melihat diri saya ketika menjadi seorang 'buruh kontrak'.

" Apa nak buat cikgu.." jawab saya sedikit lawak. " Sudah nasib badan.." tambah saya lagi.

Kami berbual seketika tentang dirinya yang sudah menjadi orang hebat. Bagaimanapun, saya tidak langsung memberitahu tentang penglibatan saya dalam beberapa aktiviti lain termasuk bidang penerbitan video. Pada zahirnya, saya hanya dilihat orang sebagai penjual buku kaki lima.

Selain, sahabat saya ini, di kolej itu, terdapat ramai juga sahabat-sahabat saya yang bertukar profesion dari seorang guru biasa kepada pensyarah di kolej itu. Mereka juga menemui saya untuk berbual-bual seketika bagaimanapun tiada komen dari mulut mereka tentang keadaan diri saya ketika itu.

Selain itu, ramai juga saya temui kalangan ibubapa pelajar yang terdiri dari kawan lama sekolah dan kawan kampung saya. Mereka kelihatan tersenyum senang dengan diri saya. Entah apa yang mereka fikirkan tentang diri saya ketika itu.

Walau apapun keadaannya, saya dan isteri meneruskan perniagaan menjual buku di kaki lima seperti biasa. Melalui bacaan saya tentang habit manusia ketika membeli barangan bersifat kaki lima, kedudukan meja itu, saya letakkan di tengah-tengah jalan. Dengan cara ini, para pelanggan saya tenang dan bebas bergerak melihat dan memegang setiap buku yang saya pamerkan dari sebelah kiri atau kanan.

Umumnya, kalau kita melihat orang menjual buku di kaki lima, mereka kerap mencari satu sudut dengan membelakangkan sebuah dinding. Meja jualan akan diatur mengelilingi diri sendiri. Keadaan ini hanya memberi ruang pelanggan di bahagaian hadapan dan akan menyusahkan mereka untuk membelek atau mengambil buku pada baris paling belakang.

Ternyata pendekatan jualan buku kaki lima secara terbuka saya di kolej itu membuahkan hasil. Sepanjang tempoh masa dari 8 pagi hingga 4 petang, pelanggan tidak putus-putus mengunjungi ruang niaga saya. Malah ada antaranya yang meminta saya mendapatkan baldi, pen, sabun, berus gigi, ketip kuku, sikat, untuk anak-anak mereka kerana ketika itu kedai koperasi masih belum dibuka dan tiada orang lain berniaga ketika itu.

Tidak hairan juga, sepanjang tempoh itu, saya berulangalik ke bandar untuk mendapatkan barangan yang diminta mereka.

Ternyata, dapatan daripada perniagaan kaki lima ini, amat memberangsangkan dan keadaan ini semakin mengukuhkan keyakinan saya untuk bergerak terus untuk memajukan sifat perniagaan kaki lima ini dengan pendekatan dan gaya saya sendiri.

Apatah lagi, perniagaan ini memberi pulangan wang tunai setiap hari.

Petang itu, sahabat saya yang saya temui pagi tadi datang menemui saya. Kami berbual kisah-kisah lain khususnya tentang kawan-kawan kami yang lain. Pada akhir pertemuan kami, dia menjabat tangan saya erat-erat.

" Patutlah, kau pilih niaga macam ni.." zahirnya dengan senyum yang agak melebar.

Saya terasa amat gembira dengan penerimaannya itu.


Akan datang: MENGEMBANGKAN NIAGA KAKI LIMA.

Saturday, July 30, 2011

MEMBANGUN ANUGERAH ILMU


Mungkin kerana baru dan lokasi perniagaan agak kurang strategik, walaupun berhampiran pasar Kajang, perniagaan Ris agak mengambil masa untuk berkembang. Pukul rata pendapatan harian tidak sampai RM 50 sehari. Sebulan, anggaran RM1500.

Setelah ditolak sewa RM 500, air api RM 100, tinggal RM 900. Baki RM 900 pula belum ditolak modal barangan dan hal-hal lain.

" Macam mana ni bang?," zahir Riswati setelah hampir setahun menjalankan perniagaan di premis yang dipaparkan terdahulu. Keyakinannya untuk berniaga agak tergugat dengan hasil jualan harian yang sebegitu.

" Bersabarlah. Segala macam perniagaan mengambil masa untuk berkembang. Paling kurang tiga tahun untuk 'break even'," pujuk saya.

" Lagipun abang yakin, pemilihan bidang niaga ini tepat untuk kawasan sekitar Kajang ni. Pertama, dari pemerhatian abang, tidak ramai orang yang jual barangan ibadah masyarakat muslim khususnya songkok. Kedua, Ris adalah pewaris sah penjual songkok untuk daerah Kajang, kerana kesemua saudara-mara kita pembuat songkok di sekitar Kajang sudah meninggal dunia, sama ada di Semenyih, di Hulu Langat atau di Bangi," zahir saya menasihat sambil mengusiknya.

"Ketiga?" lahirnya sedikit geram.

" Ketiga..." saya berfikir seketika," Ya..ketiga, Ris kan sekarang tauke bukan kuli macam dulu kan.." usik saya lagi. " Dan keempat, inilah satu-satunya perniagaan yang kita tidak perlu bersaing dengan orang Cina dan India."

Ris tersenyum senang kerana dia merasakan, saya tidak resah untuk terus membantunya meneruskan perniagaan ini.

Sesungguhnya, saya tidak pernah sangsi dengan sifat perniagaan ini kerana walaupun kedudukannya agak tersorok ke belakang, kami masih mampu mendapat jualan anggaran RM 50 sehari. Justeru, pada perkiraan saya, bukan bidang niaga yang silap, tetapi lokasi perniagaan itu yang sedikit menyulitkan untuk orang ramai mengunjunginya.

Sebenarnya, saya tidak banyak terlibat dengan bidang niaga ini. Sebagaimana yang saya nyatakan terdahulu, bakat niaga ini agak sudah berkarat. Atas alasan itulah, segala urusan perniagaan saya serahkan bulat-bulat kepada Ris. Ris sendirilah yang akan menentukan kejayaan perniagaan dan saya hanya membantu menyokong dari luar khususnya dari segi kewangan atau tambahan modal.

Ketika itu tumpuan saya lebih untuk tugasan menghasilkan video korporat. Apatah lagi pada tahun 1994 - 1996, tumpuan saya lebih kepada menghasilkan 11 projek video dokumentari untuk Memorial Tunku Abdul Rahman Putra dan lima projek video untuk Memorial Tun Abdul Razak.

Suatu hari, saya terbaca sebuah iklan di akhbar mengenai pembinaan sebuah kompleks membeli-belah pertama di Bandar Kajang iaitu Plaza Metro Kajang di atas tapak Hentian Bas Kajang lama. Memandangkan masalah perniagaan kami lebih berkaitannya dengan lokasi, saya cadangkan agar Ris menyewa salah satu premis di Kompleks itu.

" Sewa bulanannya agak mahal. Tingkat bawah RM 5000 ke atas dan tingkat dua semua RM 3000 ke atas sebulan. Mana kita mampu," jawab Riswati. "Kalau ada pun tingkat 3. Itupun dah RM 1000 lebih," tambah Ris lagi.

" Kalau kita nak berniaga, sewanya jangan kita tengok secara bulan. Tentu nampak mahal. Tapi kalau kira hari, bererti sekadar RM50 sehari. Sekarang ni, dengan lokasi macam nipun, kita dapat RM50. Sewa hariannya agaran RM20 termasuk air api," saya lahirkan pandangan.

" Apa kata, dengan lokasi perniagaan yang baik, kita dapat jualan harian RM 100 sehari. Bererti RM3000 sebulan. Tolak sewa RM1500, masih ada RM1500 lagi. RM1500 kan lebih baik dari RM900 di kedai ini," tambah saya lagi memujuk. " Itu kalau dapatan harian hitung panjang seratus sehari. Apa kata kalau RM200. Bererti RM6000 sebulan. Tolak RM1500 sewa, ada baki RM4500."

Riswati terdiam seketika. Lama dia berfikir tentang falsafah niaga impromto saya, yang zahir secara tiba-tiba.

" Kalau tak dapat RM100 sehari macam mana. Nanti kita rugi lagi kan. Ini niaga kompleks. Orang Melayu tak berani masuk niaga di kompleks" zahirnya kurang yakin.

" Tak apalah kalau tak dapat macam tu. Itu bererti tiada rezeki. Mungkin kita boleh cari tempat lain yang lebih sesuai. Tapi abang yakin, lokasi ini di tengah bandar dan bisnes kita boleh maju. Tambahan lagi, kita tak pakai modal banyak. Barang-barang niaga sekarang kita pindahkan saja ke situ. Modal pokok hanya sewa satu bulan dan cagaran dua bulan. Semuanya anggaran RM4500. Itu kan lebih murah dari sewa mula dan deposit kedai ini. Tentang deposit, kita ambil semula duit kita dari tuan punya kedai ini."

Riswati akhirnya memberikan persetujuan untuk mendapatkan premis perniagaan baru di Plaza Metro Kajang. Esoknya, kami menemui syarikat pembinaan itu dan permohonan kami diterima.

"Apa kata kita jual buku agama dan novel Melayu sekali ?" tanya saya kepada Riswati suatu hari.

" Macam mana nak cari pembekalnya?"

" Abang rasa tak sulit. Kawan abang Hushammudin bos Karangkraf tempat abang kerja dulu, boleh abang minta bekalkan novel Alaf 20. Begitu juga dengan kawan abang Jaafar Taib, bos Creative Enterprise kerana abang ada kerja part time editor novel dulu dengan dia. Tentang buku-buku agama, nanti abang minta Zul (sahabat saya) rekomenkan dengan Kamal toke syarikat buku Al-Hidayah. Dan buku-buku dari Toko Bajrai, kita minta tolong ayah Ris rekomenkan dan jadi penjamin," jawab saya lagi.

Ris akhirnya bersetuju dengan cadangan itu, walaupun ada raut gelisah di wajahnya kerana tambahan produk jualan bererti bertambahnya hutang dalam perniagaan.

" Anggaran berapa ribu ringgit nak buku ni," tanya Pak Jaafar Bajrai suatu hari, ketika Ris dan ayahnya serta saya, menemui beliau di kedainya di Batu Pahat.

" Dua tiga ribu cukup rasanya. Tak berani ambil lebih-lebih," jawab Ris.

" Tak apalah. Saya bagi barang dalam 5 hingga 6 ribu. Bayar mula selepas empat bulan boleh. Tiap-tiap bulan seribu. Boleh?" zahir Pak Jaafar Bajrai.

Agaknya berderau darah Ris waktu itu, kerana saya merasakan dia agak terkejut dengan tawaran Pak Jaafar yang tidak disangka-sangka. Ris memandang saya, memohon persetujuan. Saya mengangguk. Apatah lagi saya yakin, sekiranya berlaku sesuatu, saya masih mampu membantu mencukupkan modal dan membayar hutangnya. Apatah lagi cadangan pemindahan premis niaga ini datangnya dari saya.

Justeru, menjelang Plaza Metro Kajang dibuka secara 'soft opening', kedai Riswati, tidak lagi khusus kepada barangan keperluan masyarakat Muslim, malah turut ditambah dengan pelbagai jenis buku agama dan novel hasil sokongan teman-teman. Kami mengucapkan ribuan terima kasih atas keyakinan mereka terhadap usahawan baru ini.

Menjelang pertengahan akhir tahun 1996, kami telah memulakan perniagaan di premis baru di Plaza Metro Kajang. Di kompleks perniagaan itu, kelihatan tidak ramai orang Melayu yang berani berniaga. Kebanyakannya usahawan kaum Cina. Beberapa kerat orang Melayu, mengambil premis di tingkat bawah milik MPKj yang dikhaskan untuk bumiputra yang mempunyai sewa yang jauh lebih murah dari sewa sepatutnya (sesuatu yang saya tidak sedar akan kewujudannya).

Ternyata telahan saya amat tepat sekali.

Sepanjang hari, khususnya pada hujung-hujung minggu, begitu ramai orang mengunjungi kompleks perniagaan berhawa dingin itu hingga kelihatan kesesakan yang amat sangat. Memandangkan itulah satu-satunya kompleks perniagaan di daerah Kajang ketika itu, tidak hairan sekiranya para pengunjungnya datang dari semua kawasan sejauh Bangi, Semenyih, Hulu Langat dan Jalan Cheras.

Ternyata, limpahan pengunjung itu sedikit banyak membantu meningkatkan jualan harian perniagaan kami. Kebanyakan pelanggan kami melahirkan rasa gembira akan kewujudan konsep perniagaan sebegini iaitu mengkhususkan barangan keperluan orang Islam, kerana sifat perniagaan sebegitu amat jarang ada khususnya di daerah Kajang.

Peningkatan perniagaan yang amat mendadak itu, ternyata melegakan hati Riswati. Kelihatannya, sejak hari itu, dia kerap tersenyum panjang.

Suatu hari, pegawai promosi kompleks, meminta bantuan saya untuk mencadangkan satu aktiviti yang boleh membantu memeriahkan suasana di kompleks itu. Saya rasakan, ini juga satu kesempatan terbaik untuk memantapkan jenama Anugerah Ilmu.

Untuk itu saya cadangkan, agar diadakan satu aktiviti yang saya sebut, "Seminggu Bersama Novelis dan Kartunis". Ternyata cadangan saya dipersetujui dan pihak kompleks bersetuju untuk membiayai aktiviti itu. Sebagai imbalan, saya diberikan peluang untuk menjual buku di kawasan lapang berhampiran dengan pentas.

Aktiviti itu berjalan dengan amat baik sekali. Saya mendapat sokongan dari ramai sahabat-sahabat kartunis saya dari Majalah Gila-Gila dan Batu Api ketika itu. Malah, saya juga mengaturkan aktiviti sejenak bersama Novelis popular termasuk Achdiat Akhasah.

Lebih menarik lagi, saya mendapat satu idea baru untuk mengembangkan perniagaan menjual buku saya. Tidak lama, selepas aktiviti bersama novelis dan kartunis ini, dan kerana hubungan baik saya dengan pihak pengurusan kompleks, saya memohon dan diberikan peluang menjual buku secara terbuka di laluan kaki lima antara tengah-tengah kedai atau premis perniagaan di tingkat dua.

Ternyata, konsep penjualan buku secara terbuka di kaki lima memberikan kesan positif kepada perniagaan saya. Buat pertama kali, saya belajar dan mengkaji sikap dan sifat pembeli. Ternyata sekali, mereka lebih seronok dan bebas untuk membelek atau membeli buku di kaki-kaki lima daripada masuk untuk membeli atau mencari buku dalam premis atau kedai.

Keseronokan dalam membangunkan perniagaan ini, jelas sekali menjadi katalis dalam mencerna semangat untuk terbabit sepenuh masa dalam perniagaan ini. Ternyata, bakat dalam bidang perniagaan runcit yang lama berkarat, kembali pulih sepenuhnya. Apatah lagi, tahun 1997-hingga 1998 merupakan zaman gawat dan tiada banyak projek dokumentari video.

Buat pertama kali, saya bekerjasama penuh dengan Riswati untuk membangun Anugerah Ilmu dan sekaligus mengambilalih peranan kepimpinan dalam syarikat itu. Saya menyerahkan sifat perniagaan secara berkedai kepada Ris, sementara saya mula berjinak-jinak menjadi penjual buku-buku kerohanian Islam dan novel-novel Melayu di kaki-kaki lima.

Suatu langkah dan aktiviti niaga yang tidak pernah saya kesalkan atau malu seumur hidup, walaupun saya ketika itu adalah seorang pemegang Ijazah Sarjana Sastera dari Universiti Malaya.


Akan datang: Elok-elok jadi cikgu, jadi pegawai, kau jadi macam ni Man...











Sunday, May 29, 2011

MENYUSUN SEMULA SERPIHAN KEHIDUPAN.


Dalam sejarah Islam, Nabi Musa dipaparkan memberi amanat dan peringatan agar sentiasa bersedia perubahan masa dan keadaan setiap tujuh tahun. Berdasarkan amanatnya, setelah tujuh tahun zaman mewah dan hidup penuh kebahagiaan, akan dituruti dengan tujuh tahun zaman kepayahan dan kesusahan.

Justeru, ketika zaman mewah, baginda sentiasa beringat dan mengingatkan umatnya untuk menyimpan bekalan sebagai persediaan untuk zaman yang penuh kepayahan.

Mungkin ada benarnya, amanat Nabi Musa itu khususnya dalam konteks diri saya. Untuk tulisan kali ini, biarlah saya sentuh segala peristiwa yang membabitkan diri saya selepas tujuh tahun menderita dari tahun 1987.

Sebagaimana yang sudah dimaklumkan, saya meninggalkan TV3 secara rasminya anggaran awal tahun 1987. Antara tempoh tahun itu hingga 1994 (tujuh tahun), saya benar-benar beusaha gigih untuk membina semula kehidupan. Apa saja peluang dan kesempatan untuk mencari rezeki, tidak saya tolak. Masa kerja saya sebagai 'penganggur berijazah tinggi' kerapnya tidak menentu. Ada kalanya melebihi 36 jam. Kerapnya berhari-hari dan berminggu-minggu. Siang atau malam, tidak lagi menjadi perhatian.

Habit ini kelihatannya kekal hingga ke hari ini.

Tidak hairanlah, kesihatan saya ketika itu tidak menentu. Bagaimanapun, oleh kerana, alah bisa tegal biasa, dan kerana kesibukan yang amat sangat bagi mencari rezeki sesuap nasi untuk isteri dan anak-anak, saya gagahi juga.

Sedikit demi sedikit, segala rezeki hasil usaha dan penat lelah yang tiada hentinya, dari pelbagai kemahiran dan kebolehan yang saya punyai, termasuk sedikit harta pusaka tinggalan arwah ayah yang meninggal dunia tahun 1993, saya kumpul.

Pada awal tahun 1994, saya sudah boleh diandaikan sebagai 'financially secure'.

Ada juga pandangan orang tua-tua yang mengatakan, segalanya ini kerana rezeki anak-anak. Mungkin ada benarnya kerana, semakin bertambah anak-anak saya, rezeki saya semakin melimpah-ruah.

Ahmad Nazrin, anak lelaki saya,anak yang ketiga lahir pada tahun 1990. dan pada tahun 1994, dia sudah berumur empat tahun. Wani anak yang tertua, sudah darjah dua sekolah rendah dan Nisa baru memasuki darjah satu.

Masalah penjagaan anak dan bebanan tugasan isteri saya, Riswati, sebagai jururawat di hospital swasta SJMC kerap menimbulkan masalah dan perbincangan dalam keluarga. Apatah lagi, sebagai seorang 'freelancer' saya kerap berpergian keluar daerah atau kerap berada dalam bilik suntingan (video editing) bagi menghasilkan produk akhir sesebuah video dokumentari atau video korporat.

" Ris masih minat lagi dengan tugas jururawat ini?" satu hari saya saja-saja menembak perasaan isteri saya. Beberapa hari kebelakangan itu, Riswati kerap mengeluh kerana kepenatan bukan saja sibuk meladeni perangai pesakitnya dan masa kerja yang tidak menentu, tetapi lebih penting dalam pengurusan anak-anak yang semakin membesar.

Menurutnya, pelajaran dan penjagaan anak-anaknya kerap terabai. Dia ingin memberikan perhatian lebih terhadap pembesaran dan pertumbuhan anak-anaknya khususnya pada peringkat awal kanak-kanak mereka.

Pada saya dengan kedudukan kewangan yang dikira agak mantap ketika itu, saya tidak keberatan untuk Ris meninggalkan karier sebagai jururawat dan menjadi suri rumah sepenuh masa.

"Minat tu memang minat kerana inilah karier yang Ris tahu. Tapi kalau ada pilihan lain yang sesuai dan dalam masa yang sama boleh jaga anak, Ris sanggup berhenti," zahirnya bersahaja.

Sejak hari itu, fikiran saya mula tertumpu kepada jawapan Ris. Saya faham maksudnya iaitu dia tidak mahu menjadi suri rumah tangga sepenuh masa. Yang dia mahukan adalah satu karier yang dapat menggabungkan peranannya sebagai ibu dan dalam masa yang sama dia masih berupaya menjana pendapatan untuk dirinya dan keluarga sebagaimana sebelumnya.

" Kalau macam itu, abang bantu Ris buka perniagaan. Setuju?"

Mendengar itu, Riswati tiba-tiba menjadi begitu seronok. Berniaga, sebenarnya memang sudah sebati dengan darah dagingnya. Ayahnya juga, adalah seorang peniaga barangan muslim dan toke membuat songkok di Kompleks Pasar Baru, Johor Baru. Tambahan pula, anak-anak boleh sentiasa ada di sisinya sebaik balik dari sekolah. Ahmad Nazrin boleh dijaganya ketika berada di kedai.

Riswati mengangguk seronok.

" Kata orang, kalau mahu berniaga, perniagaan yang boleh Ris mulakan adalah sesuatu yang kita mahir atau kita tahu. Setelah berjaya, baru kita kembangkan pada bidang lain," ujar saya, seolah-olah seorang pakar dalam selok-belok perniagaan.

Pada hakikatnya, saya sendiri tidak punya keberanian untuk memulakan sebarang perniagaan. Walhal ketika kecil anggaran umur enam tahun, saya sudah memikul kuali tembaga besar di kepala ketika menolong ibu saya Nurlaila menjual kuih apam balik di Masjid Tanah. Pada umur sepuluh tahun, saya juga sudah pandai membuat songkok ketika membantu ayah saya Haji Rosli berkedai songkok dan barangan muslim di pekan itu.

Mungkin bakat yang pernah ada sudah lama hilang atau berkarat kerana urutan masa dan perkembangan zaman juga keadaan. Tidak hairanlah kalau saya lebih senang mengambil upah mengerjakan sesuatu tugasan kreatif dan hasil permintaan orang lain.

"Jadi abang cadangkan tiga pilihan. Pertama, oleh kerana Ris seorang jururawat, perniagaan yang sesuai adalah buka Nurseri , menjaga anak-anak kecil atau bayi. Kedua, ikut contoh 'ayah kita' berniaga barangan muslim dan buat songkok. Ketiga, berniaga restoren Nasi Padang kerana keluarga kita memang ramai membuka perniagaan itu".

Selepas lama membuat pertimbangan, dan banyak bertanya kepada ayahnya dan kenalan yang lain, maka Riswati akhirnya bersetuju memilih sifat perniagaan yang kedua iaitu perniagaan menjual barangan muslim dan menjual songkok. Alasannya mudah. Ayahnya boleh dijadikan mentor dan boleh membantu merekomen kepada pembekal-pembekal barangan muslim itu. Selain itu, ayahnya juga boleh memberi tunjuk ajar akan selok-belok ilmu perniagaan tersebut.

Ris juga tertarik dengan perniagaan Nurseri. Bagaimanapun, perniagaan itu membabitkan masa dan perhatian lebih kepada anak orang dan pastinya akan menggugat hasrat untuk memberikan perhatian lebih kepada anak-anaknya sendiri.

Mengenai perniagaan Nasi Padang, Ris rasakan masanya masih awal dan dia tidak bersedia lagi. Bukan saja perniagaan ini memerlukan komitmen yang serius, malah ia juga membabitkan kawalan kepada pekerja yang ramai serta kawalan persediaan makanan yang baik sepanjang masa. Masa kerjanya juga agak lama.

" Lokasi pilihan Ris?" tanya saya lanjut.

"Kajang.."

Saya faham kenapa Ris memilih Kajang. Ketika zaman susah beberapa tahun lalu, kami pernah seketika tinggal di Kampung Sungai Long, Batu 12 1/2 Jalan Cheras, Kajang, sebelum Ris kembali ke Johor untuk melahirkan Nisa dan bertugas semula sebagai jururawat di sana. Selain itu, ibu saudaranya dan neneknya tinggal di Sungai Ramal Kajang.

Ketika itu, Kajang bukannya seperti keadaannya hari ini yang pesat membangun. Ia masih sebuah bandar koboi yang popular dengan Satey Kajangnya.

Esoknya, kami menjejaki seluruh bandar Kajang untuk mencari lokasi perniagaan yang sesuai. Akhirnya, kami temui sebuah kedai berukuran 12 X 12 kaki persegi, berhampiran Pasar Kajang. Pada anggaran kasar kami, dengan keadaan premis yang kecil dan kedudukannya agak terkebelakang dari pintu masuk Pasar Kajang, sewanya ketika itu paling tinggi, RM 300.00.

Menurut, pekedai-pekedai di situ yang kebanyakannya kaum China, kedai itu, kerapkali disewa dan ditinggalkan orang kerana ada masalah dengan tuan punyanya. Walau bagaimanapun, kami segera menjejaki dan menemui tuan punyanya, seorang Melayu.

Tuan punya yang berumur awal 30-an dan seorang kontraktor kelas F itu mengemukakan syarat-syarat penyewaan yang saya kira amat melucukan. Dia mahukan sewa bulanan RM 700.00 dengan deposit sewa tiga bulan termasuk cagaran air dan api. Lebih teruk lagi, dia mahukan kami memberikan cagaran sewa tambahan sebanyak enam bulan lagi iaitu RM 4200.00.

Paling mudah jika mahu dicongak, deposit atau cagarannya adalah 9 bulan sewa tidak termasuk sewa bulan pertama RM 700.00.

Jelasnya, untuk memulakan perniagaan ini, kami perlu melunaskan wang premis tidak termasuk kos lain seperti barang-barang perniagaan dan keperluan niaga serta lesen premis dan lesen perniagaan, sebanyak RM 7000.00.

Melayu ini, saya rasa betul-betul bangsa "Cekik Darah". Kedudukan premis itu tidaklah begitu strategik dan bukan di tengah bandar. Ia hanya berada di lingkungan yang berhampiran dengan pasar sahaja. Kami berusaha mencari lokasi perniagaan yang lain tetapi tidak ada. Kalau adapun, kedudukan premis itu amat tersorok sekali.

Kami menemui semula kontraktor Melayu itu, dan meminta agar sewa dan syarat-syarat itu dikurangkan. Dia, akhirnya bersedia menurunkan sewanya RM 500.00 dengan syarat deposit tiga bulan dan cagaran premis 6 bulan dikekalkan. Ini bermakna kos keseluruhan untuk mendapatkan premis itu RM 5000.00.

Akhirnya, mahu tidak mahu, dan sekadar 'katalis' bagi memulakan perniagaan dan tidak mahu menghampakan harapan Riswati, kami mengambil juga kedai itu dan membayar 'sewa' mula sebanyak RM 5000.00.

" Nama syarikat Ris?"

" Anugerah Ilmu Enterprise," pantas jawab Ris. " Rezeki yang kita dapat selama ini kerana anugerah macam-macam ilmu kemahiran dari Allah kepada abang selama ini, yang membolehkan hidup kita pulih seperti hari ini," tambah Ris lagi.

" Tambahan pula abang selalu gunakan nama itu, walau tak daftar lagi iaitu Anugerah Ilmu Media Services." katanya lagi. Saya kembali teringat, saya kerap menggunakan nama itu atau AIMS, dalam urusan surat menyurat dengan syarikat lain, ketika berada dalam lingkungan zaman susah dahulu.

Saya terus bersetuju dengan nama itu, kerana mengambil berkat di atas segala ilmu kemahiran yang dihadiahkan oleh Ilahi, yang membolehkan saya bangkit semula dari kehidupan yang perit yang agak lama dan serba dhaif, sebelumnya.

Sebelum memulakan perniagaan, kami segera mendaftarkan nama syarikat secara perkongsian antara saya dan Riswati itu, Anugerah Ilmu Enterprise pada 1 hb. April 1994. Untungnya, ketika itu, tidak ada orang lain terfikirkan nama itu.

Sebulan kemudian Ris memulakan perniagaannya dan saya terus kekal dengan tugasan freelancer.

Akan datang.
MEMBANGUN ANUGERAH ILMU ENTERPRISE



Monday, April 25, 2011

JEJAK RASUL - JEJAK RUSH and HOLD.. USTAZ WAN..



Tajuknya agak pelik kali ini. Jejak "Rush and Hold.." Ustaz Wan. Ustaz Wan yang dimaksudkan ini adalah Ustaz Wan Alias bin Wan Abdullah, pencetus idea program popular Jejak Rasul di TV3. Beliau juga adalah bekas guru sandaran di sekolah saya, Sekolah Menengah Masjid Tanah, Melaka anggaran tahun 1971. Isterinya Sinah adalah 'junior' juga sahabat saya di sekolah itu.

Ustaz Wan Alias ketika catatan ini ditulis, adalah salah seorang orang penting di TV Al-Hijrah Pusat Islam yang dipimpin oleh Bokhari Che Muda, juga teman saya ketika sama-sama dalam unit Jabatan Berita dan Ehwal Semasa TV3 1985 lalu.

Suatu masa lalu, program Jejak Rasul pernah menjadi isu besar. Pihak yang bernaung di bawah Kumpulan Al-Arqam, kalau tak silap Layar Concept, mendakwa Jejak Rasul adalah konsep dan idea mereka dan mereka pernah menawarkan konsep itu kepada Yunus Said, orang kuat TV3 masa itu.

TV3 sebaliknya menyatakan, idea Jejak Rasul adalah idea mereka sendiri dan cetusan idea ini berlaku satu tahun sebelumnya, melalui Ustaz Wan Alias sendiri yang ketika itu adalah Ketua Penolong Pengarah Pusat Islam @ Pengarah Muzium Islam Pusat Islam. Bagaimanapun, walaupun konsep serupa tapi judul yang diketengahkan oleh Ustaz Wan Alias ketika itu adalah Warisan Tamadun Islam.

Saya tidak begitu kisah apa yang terjadi selepas itu dan dirasakan ia diselesaikan secara 'baik' agaknya kerana tiada kecekcokan berlaku ketika itu.

Bagaimanapun, mungkin ramai yang tidak sedar, sayalah saksi mutlak Ustaz Wan, yang berani memperakukan bahawa konsep program Jejak Rasul, bukan judulnya, adalah idea mutlak Ustaz Wan Alias bin Wan Abdullah.

Apakah kaitan saya di sini?

Sebagaimana yang telah saya paparkan terdahulu, anggaran tahun 1993 atau awal 1994, Ustaz Wan telah meminta saya membantunya dalam unit Audio Visual untuk program hebat anjuran Jabatan Muzium Islam Pusat Islam iaitu Festival Tamaddun Islam Sedunia (WICF '94. Konsep Video Dokumentari mengenai Warisan Tamaddun Islam ini adalah sebahagian dari kelompok bahan yang dalam perancangan beliau.

Sejak dari hari itulah, kami duduk berbincang mengenai perkara itu. Saya dipertanggungjawabkan untuk membantu Ustaz Wan dalam melakukan penyelidikan lanjut, selain berperanan sebagai pengarah dokumentari dan penulis skrip sekaligus. Saya juga dipertanggungjawabkan untuk ehwal suntingan dan sound mixing.

Perancangan penggambaran awal kami akan bermula di serata Malaysia meliputi seluruh semenanjung, diikuti penggambaran di Sabah dan kemudian ke Sarawak. Bagi pusingan kedua kami akan meneruskan penggambaran ke negara Asean seperti Indonesia, Brunei, Thailand, Singapura, Filipina, Kamboja dan lain-lain. Langkah selanjutnya adalah ke China, India, Pakistan dan kemuncaknya ke negara-negara Arab.

Itulah perancangan yang telah kami putuskan berbulan-bulan.

Bagi memudahkan kami melakukan tugas, kontraktor utama WICF '94, Kumpulan Jetson, telah membeli sebuah kamera Betacam Sony untuk kegunaan kami melakukan rakaman dan penggambaran untuk projek itu. Dengan kehadiran kamera itu, kami memulakan langkah awal dengan membuat penggambaran ke sekitar Tanah Melayu, bermula dengan Melaka, Johor, Pahang, Terengganu.

Malah kami juga berkesempatan untuk terbang ke bumi Acheh untuk merakam produk-produk yang berpaksikan warisan tamadun Islam seperti Masjid Besar, Makam Syiah Kuala dan sebagainya. Malah kami sempat juga melakukan penggambaran ke makam penyair terkenal Indonesia, Khairil Anwar yang popular dengan sajaknya ' Aku Ini Binatang Jalang...", atau singgah ke kampung asal Nyeik Tunku Putih, bapa Allahyarham P. Ramlee, atau merakam banyak warisan batu nisan yang disebut sebagai Batu Acheh di bumi dan pesisir pantai Acheh.

Segala rakaman itu, 'mungkin' masih ada, dan istimewanya ia dirakam sepenuhnya sebelum bumi Acheh yang dilanda ombak menggila yang kini popular disebut 'Tsunami'.

Malangnya, program hebat dari cetusan idea Ustaz Wan Alias tiba-tiba dihentikan begitu saja. Saya kemudiannya diminta untuk membantu Mr. James (lihat paparan Tuan Ekspatriat, Tuan dalam nukilan terdahulu). Saya tidak pasti, kenapa program ini dibatalkan. Mungkin ada kaitannya dengan 'budget" yang 'lari' atau ada kaitannya dengan 'kesuntukan masa' dan keperluan untuk memberi tumpuan bagi kejayaan WICF 94.

Setelah berakhir WICF 94, saya diminta oleh Kumpulan Jetson tepatnya Sdr. Isnin, untuk membantunya menyediakan anggaran 10 video dokumentari mengenai Tunku Abdul Rahman Putra untuk Memorial Tunku Abdul Rahman Putra di Kuala Lumpur.

Beberapa bulan kemudian, Isnin meminta saya membuat empat video dokumentari mengenai Tun Abdul Razak pula untuk Memorial Tun Abdul Razak di Tasik Perdana Kuala Lumpur.

Suatu hari Ustaz Wan memanggil saya untuk berbincang semula mengenai program Warisan Tamadun Islamnya itu.

" Man. Aku ada telefon Yunus Said," kata Ustaz Wan sebaik saya hadir menemui beliau di biliknya. Beliau maksudkan Yunus Said, CEO TV3 ketika itu.

" Aku dah bincang dengan Yunus, macam mana nak TV3 boleh bantu kita siarkan program ini kat TV3," tambah Ustaz lagi.

" Yunus minta jumpa dia kat TV3," tambah Ustaz Wan lagi.

Mendengar perkabaran itu, hati saya menjadi senang. Inilah dirasakan peluang terbaik saya untuk menyerlahkan kreativiti sebenar saya kepada massa .

Esoknya, saya dan Ustaz Wan mengunjungi pejabat Yunus Said. Kami berbincang mengenai soal itu. Yunus kelihatan gembira dengan program Ustaz Wan Alias mengenai Warisan Tamadun Islamnya. Pihak TV3 katanya sedia untuk bekerjasama untuk menebitkan siri pertama Warisan Tamadun Islam sebanyak 30 siri untuk tayangan sepanjang bulan Ramadhan berikutnya.

Anehnya, sejak dari hari itu, saya sudah tidak mendapat perkabaran lagi mengenai program Warisan Tamadun Islam itu. Apabila, soal ini ditanyakan kepada Ustaz Wan Alias, beliau memberitahu, program ini ditangguhkan buat sementara waktu.

Di situlah bermulanya proses menanti dan menunggu.

Hampir setahun kemudian, bekas jurukamera yang bersama saya untuk rakaman dan penggambaran ke Acheh dan ke Terengganu, Roslan, (ketika itu stringer TV3) memaklumkan kepada saya, Ustaz Wan Alias telah memulakan tugasnya sebagai Penerbit untuk program Jejak Rasul di TV3.

Keadaan ini sekaligus bermakna, program Warisan Tamadun Islam yang kami rancang bersama sudah diberikan titik noktah secara besar-besaran.

Sekali lagi, orang TV3 menikam saya dari belakang dan menabur pasir pada pinggan yang belum diisikan apa-apa.

Baru sebentar tadi, mata saya meleret, puluhan video-video (raw) mengenai program Warisan Tamadun Islam @ Jejak Rasul yang masih tersimpan dalam koleksi saya. Usianya kini sudah menjangkau 17 tahun. Saya tidak pasti sama ada video rakaman dalam pita Betacam itu masih baik atau tidak. Terserahlah pada takdir dan mungkin, ya mungkin, kalau ada sesiapa yang mahukannya, ambillah dan cuba pulihkannya semula, jika masih elok lagi.

Usia saya sudah menghampiri 60 tahun dan sering kurang sihat kini. Tidak mungkin saya mampu kembali, untuk memulihkannya, sebagaimana tenaga saya 17 tahun yang lalu.

Beberapa bulam lalu, sahabat saya Roslam pernah bertemu dan menjemput saya untuk majlis perkahwinan anaknya.

" Ustaz Wan kita itu silap besar. Sepatutnya dia dah jadi jutawan sekarang ni. Dan kita juga mungkin dapat tumpang jadi orang kaya.." lahirnya lucu.

Saya ketawa kecil. Hati saya mula terusik. " Mungkin tuhan tidak membenarkan saya menjadi orang kaya."


Jumpa lagi.