Iklan

Friday, June 25, 2010

PENGARANG MAJALAH EKSKLUSIF KARANGKRAF


Agak lama juga saya berdiri di luar bangunan pejabat Karangkraf. Mata saya menerawang ke bangunan tiga tingkat itu dan tiga pintu bangunan. Hanya satu pintu dibuka untuk laluan masuk dengan pembantu keselamatan duduk di muka pintu.

" Hishamuddin sudah jadi orang hebat," bisik hati saya. " Dalam tempoh sepuluh tahun, Hisham sudah jadi macam ini."

Saya kembali terkenangkan masa anggaran 10 tahun sebelumnya. Ketika itu Hisham (baru selesai pengajian di UKM) bersama sepupunya, Nasir, mengasaskan syarikat penerbitan majalah, Karangkraf. Kalau tak silap, majalah pertama yang diterbitkan dan dijual mereka adalah majalah kanak-kanak Bintang Kecil.

Sebagaimana orang lain, saya juga punya persepsi negatif betapa usaha yang dilakukan oleh kawan saya ini, akan berakhir dengan kegagalan juga. Alasannya mudah. Industri penerbitan media cetak ketika itu dikuasai sepenuhnya oleh kaum India dan Cina. khususnya dari segi percetakan dan pemasaran. Ramai kawan-kawan saya yang terbabit dalam bidang ini terpaksa gulung tikar.

Paling tinggi, seorang Melayu boleh berjaya dalam bidang penerbitan buku adalah menjadi seorang usahawan menjual buku sebagaimana kerjaya bapa Hishamuddin di Kota Baru.

Saya yakin ketika itu, Hisham akan akhirnya terpaksa kembali ke dunia nyata dan mendapatkan kerja sebagai seorang pegawai kerajaan sebagaimana abang-abangnya.

Ternyata, saya tersalah orang.

Hishamuddin atau kini Datuk Hushamuddin, kawan sekelas saya di Maktab Adabi Kota Bharu tahun 1972-1973 ini, bukan calang-calang orang. Dia mempunyai keberanian serta daya keyakinan yang begitu tinggi. Dia seorang pemikir dan strategis yang bijaksana khususnya dalam bidang penerbitan media cetak. Satu sifatnya yang terpuji adalah, beliau bersedia bereksperimen dengan konsep dan idea baru tanpa takut mengalami kerugian.

Mahu tidak mahu, saya akhirnya melangkah masuk ke dalam bangunan itu. Sebagaimana, sifat dan keadaan dengan penerbit media cetak yang lain, kedatangan saya ke Karangkraf hanyalah sekadar mahu menjadi pengarang sambilan dan menambahkan sedikit pendapatan bulanan jika ada. Tidak lebih dari itu. Matalamat utama saya adalah untuk menamatkan pengajian MA saya dengan seberapa segera yang boleh.

Hisham menyambut saya. Kami berbual seketika sambil merungkai kisah-kisah silam ketika masih bersekolah, kawan-kawan satu darjah serta aktiviti dalam tempoh perpisahan selama 15 tahun.

" Kau pernah tengok majalah ini ?" Hisham akhirnya mengalih topik perbualan kepada maksud sebenar kedatangan saya.

Majalah bersaiz tabloid itu, mempunyai susun letak grafik dan foto seperti Majalah URTV. Cuma bedanya, kandungannya lebih serius, berkaitan isu-isu semasa dan banyak bertalian dengan 'human interest' berbanding majalah URTV yang lebih berkaitan dengan isu popular seperti hal-ehwal artis, pelakon, penyanyi dan kisah sensasi semasa. Majalah berbahasa China itu terbitan syarikat China Press.

Saya menggeleng-gelengkan kepala. Malah, saya sendiri tidak perasaan kewujudan sifat majalah sebegitu kerana selalunya majalah bersaiz tabloid adalah majalah bercirikan hiburan popular. Majalah serius selalunya bersaiz F4 atau A4. Seingat saya, selama ini, tidak pernah terdapat mana-mana majalah berbahasa Melayu dengan sifat sebegitu.

" Bagaimana kalau saya tawar you jadi pengarangnya. Saya mahu konsep penerbitan yang sebegitu. Kita boleh bekerjasama dengan China Press. Bos dia kawan saya " zahir Hisham lagi.

Fikiran saya berbolak-balik ketika itu. Saya mula jadi keliru. Kedatangan saya hanya sekadar memohon menjadi pengarang atau penulis sambilan. Tapi, Hishamuddin sebaliknya menawarkan saya satu tanggungjawab untuk mengendalikan sebuah majalah baru yang tidak pernah dibuat oleh penerbit Melayu ketika itu.

Masalahnya, jika saya bersedia menerima tawaran itu sepenuh masa , bererti saya mungkin, tidak dapat menamatkan pengajian MA dengan segera. Keduanya, saya tidak mempunyai banyak pengalaman dalam soal penerbitan media cetak bersifat sebegini, apatah lagi menjadi seorang pengarang dan ketiganya..

" Judul majalah ini EKSKLUSIF," beritahu Hishamuddin.

Dan ketiganya, judul majalah ini adalah begitu mengikat dan tidak fleksibel. Secara mudah, apabila kita menyebut Eksklusif, pemahaman audien adalah, setiap apa yang disajikan, khususnya isi kandungan mestilah sesuatu yang paling baru dan eksklusif atau tidak pernah disentuh oleh wartawan sebelumnya.

Justeru, jika saya menerima tawaran ini, saya akan berhadapan dengan dua kemungkinan. Berjaya atau gagal.

Pada perkiraan saya, sajian bahan untuk majalah sebegini, akan banyak memerlukan wartawan yang berani, kreatif dan mempunyai kecenderungan dalam bidang fotografi atau tepatnya wartawan penyiasatan. Masalahnya, saya tidak ramai kenalan dengan wartawan sebegini dan kalau adapun, kebanyakan mereka kini bertugas dengan agensi media yang mantap seperti Utusan Malaysia, Berita Harian dan The Star. Untuk mendapatkan tenaga mereka pastinya memerlukan asas gaji yang lebih baik daripada syarikat sebelumnya.

" Judulnya tidak boleh ubah ke bos?Judul ini begitu mengikat dan tidak fleksibel," tanya saya.
" Permit penerbitan ini telah diluluskan KDN. Dah lama dah. Saya hanya mencari pengarang yang sesuai. Mungkin you orangnya," jawab Hishamuddin.

Saya semakin serba-salah. Tawaran yang diberikan begitu menarik hati khususnya satu bidang baru yang amat bersesuaian dengan bidang pengajian ijazah pertama di UM dahulu. Mungkin, tawaran ini juga mampu menjadi asas kebangkitan semula saya. Namun, kerisauan saya adalah mengenai pengajian MA saya dan sifat-sifat majalah baru yang akan saya pimpin.

" Eksklusif tidak semestinya berkaitan dengan sajian bahan yang berunsur investigatif. Foto-foto yang menarik juga eksklusif. Interview dengan tokoh-tokoh utama juga eksklusif. Sifat majalah ini yang lain dari yang lain juga eksklusif. Teknik susunatur majalah dan sebagainya boleh dikategorikan sebagai lain dari yang lain juga eksklusif," zahir Hishamuddin.

" Macam-macam perkara boleh dikategorikan sebagai eksklusif seperti cara hidup, cara berpakaian. Kita majalah berita foto yang eksklusif," tambah Hisamuddin lagi.

Saya mula memahami konsep eksklusif yang sudah terbina lama dalam fikiran Hisamuddin. Kefahaman tentang konsep Majalah Eksklusif dan keyakinan, diri mampu menterjemahkan konsep Hishamuddin dalam bentuk media cetak, akhirnya membuatkan saya bersetuju menerima tawaran beliau.

Saya melaporkan diri beberapa hari kemudian.

Pada hari pertama, saya diperkenalkan dengan beberapa wartawan. Hanya Rahmat Othman, wartawan foto yang dikira agak berpengalaman selain Zulkifli Bakar dan Ali Mahmood dari akhbar Bacaria. Yang lain seperti Sunarti Kibat, Zulkifli Ali, Mokhtar, Abd Rahman Embong, dan Arie Tee adalah wartawan muda atau lepasan ITM (kini UiTM).

Menghasilkan sesuatu penerbitan baru semestinya memerlukan perancangan dan kajian yang mendalam. Apatah lagi, konsep yang cuba diutarakan adalah sesuatu yang baru bagi audien Melayu. Selain itu, kesemua tim kami terdiri dari kalangan yang tidak berpengalaman. Kami sekurang-kurang memerlukan masa tiga bulan untuk merancang dan mengumpul bahan serta mencari dan meneliti sebarang kekuatan atau kelemahan. Projek ini tidak boleh dibuat secara terburu-buru.

Ketika itu, tiga peristiwa utama sedang menjadi isu semasa. Pertamanya masalah pergolakan dalam kepimpinan UMNO dan kewujudan Parti Semangat 46 dan keduanya masalah dalam dalam Parti MIC dan ketiganya adalah persidangan Ketua-ketua Negara Komanwel di Kuala Lumpur.

Kami diminta menghasilkan edisi percubaan Majalah Eksklusif dalam tempoh satu bulan. Keadaan ini menjadikan kami agak gusar kerana, kami ketika itu masih belum bersedia dan belum menemui konsep sebenar majalah sebagaimana yang dimahukan oleh penerbit dan sebagaimana yang dimahukan oleh pembaca, kuasa yang akan membeli majalah terbitan syarikat nanti.

Mahu tidak mahu, kami terpaksa meneruskan aktiviti penerbitan itu walaupun dalam keadaan kurang bersedia.

Dalam edisi pertama atau edisi pengenalan, Sunarti Kibat dan beberapa wartawan lain menemui dan menemubual Ku Li sementara Rahmat Othman dan beberapa wartawan lain memberikan fokus dalam berita foto bergambar persidangan Ketua-ketua Negara Komenwel. Zulkifli Bakar memberikan tumpuan kepada masalah MIC.

Datuk Shahril Abdul Samad dan Baharuddin Zainal (Baha Zain) saya jemput menjadi kolumnis majalah ini.

Majalah Eksklusif edisi percubaan akhirnya menemui pasaran tidak lama selepas berakhirnya persidangan Komanwel pada Oktober atau November 1989.


Akan datang: Menjejak Ustaz Ashaari Al Arqam di Singapura

Sunday, June 6, 2010

Menjelang Pengarang di Kumpulan Karangkraf.


Paparan terdahulu mengenai "tuan ekspetriat", adalah peristiwa-peristiwa yang berlaku selepas tahun 1994.
Sebenarnya, paparan ini adalah mendahului beberapa kisah-kisah lain yang berlaku antara tahun 1988 hingga 1993 yang kekal abadi dalam lipatan kenangan saya.

Antara peristiwa-peristiwa itu adalah kelahiran Nisa pada zaman serba payah, menjadi pengarang di kumpulan karangkaraf, mendapat ijazah MA 1992 dan pengarang untuk akhbar Media Malaysia Parti Semangat 46.

Justeru, bagi membolehkan saya menyusunatur memoir diri saya, maka saya nukilan semula peristiwa dari tahun-tahun selepas 1987 hingga 1993 dari paparan kali ini dan beberapa paparan berikutnya.

Antara tempoh masa antara 1987 hingga 1989, saya banyak menumpukan masa untuk melakukan kajian bagi keperluan tesis sarjana dengan Jabatan Pengajian Media dan dengan bantuan elaun RM 700 sebulan melalui skim bantuan siswazah dari UM.

Bagi menampung tambahan pendapatan, saya banyak melakukan tugasan tambahan seperti menjadi pengarang sambilan, penyunting novel, penulis skrip, perunding media cetak dan banyak lagi kerja-kerja remeh yang tidak mungkin berupaya dilakukan oleh kebanyakan orang yang mempunyai kelulusan akademik seperti saya.

Pada saya, apa saja tugasan kasar atau halus yang boleh menjana pendapatan halal, pasti akan saya lakukan demi untuk survival diri dan keluarga. Tidak hairan, kalau saya ketika itu, sanggup memikul kotak-kotak yang penuh buku atau kertas-kertas ke kilang cetak atau menjual buku-buku agama di tepi-tepi jalan atau di pesta-pesta atau membuat kerja-kerja dengan upah beberapa keping ringgit sekalipun.

Kehidupan ketika itu amat payah dan menyulitkan. Malah lebih memedihkan, kereta ford escort saya ketika itu menjadi-jadi dengan ragamnya hingga akhirnya terdampar di bengkel kereta. Kereta itu akhirnya terpaksa dijual dengan harga tiga ribu ringgit saja dan digantikan dengan sebuah vespa buruk. Duit tiga ribu itu, saya gunakan bagi menampung kehidupan untuk bulan-bulan selanjutnya.

Ketika itu juga, Riswati sedang sarat mengandungkan anak kami yang kedua.

Berbanding dengan Wani yang lahir di Pusrawi Kuala Lumpur, Riswati, isteri saya terpaksa saya hantar ke rumah mentua di Johor Baru, menjelang kelahiran anak kedua skami. Nisa dilahirkan di hospital besar Johor Bharu pada 2 Jun 1987 dan ditempatkan di wad 3. Suasana wad itu begitu sesak dan agak kelamkabut. Keadaannya amat jauh berbeda dari wad bayi dan ibu ketika Wani dilahirkan.

Kadangkala terbetik dalam hati, rasa kesal pada diri, kerana terlalu mengikut rasa hati. Jika ketika itu masih bujang, mungkin tidak menjadi masalah. Soalnya, diri ketika itu sudah punya keluarga dan punya dua orang anak. Sebagai seorang ayah, pastinya saya impikan sesuatu yang serba baik untuk anak-anak dan isteri. Saya memang berhasrat mahu Nisa dilahirkan dalam suatu suasana yang amat menyenangkan. Tapi takdir Ilahi yang menentukan segala-galanya.

Lebih memedihkan, Riswati yang melahirkan Nisa secara pembedahan, mengalami komplikasi pada bahagian pembedahan. Kawasan pembedahannya terkoyak, luka dan bernanah.

" Kenapa jadi begini? " tanya saya sedih apabila Riswati tidak dibenarkan pulang kerana terpaksa meneruskan rawatan. Nisa telah dibawa neneknya balik ke rumah.
" Ris minta bantuan nurse untuk bawa ke bilik air. Tapi dia membebel kata kita malas bangun sendiri. Macam mana nak bangun. Sakit...." lahir Riswati.

Mungkin kerana tidak mahu diperleterkan lagi, Riswati bergerak sendiri ke bilik air. Mungkin itulah juga sebabnya kenapa jahitan pembedahan Riswati terkoyak. Peristiwa itu berlaku sehari selepas proses pembedahan itu.

Saya benar-benar kesal dengan kecuaian dan sikap tidak profesional jururawat Malaysia. Pesakit-pesakit yang berhampiran juga turut melahirkan kejengkilan yang sama kerana turut diperlakukan sedemikian. Tambah kesal lagi, isteri saya adalah bekas seorang jururawat terlatih dan mungkin banyak berjasa kepada manusia. Cuma bedanya, beliau adalah lepasan dari kolej jururawat Singapura dan bertugas di negara itu sebelum berkahwin dengan saya.

Kejengkilan saya itu, saya zahirkan kepada ketua jururawat yang bertugas dan memaklumkan kepadanya, isteri saya ini adalah bekas seorang jururawat sepertinya. Sejak hari itu, isteri saya yang petah berbahasa Inggeris, ternyata mendapat perhatian yang baik dari staf di wad tersebut. Malah tidak lama kemudian, beliau ditempatkan di wad yang lebih baik, wad 2.

Kelahiran Nisa benar-benar menyedarkan saya, antara keperluan untuk meneruskan pengajian atau memberi tumpuan mencari rezeki tetap bagi membesarkan Nisa dan kakaknya Wani serta kebahagian keluarga khususnya ibu mereka Riswati.

Saya berbincang panjang dengan Riswati mengenai soal ini tidak lama kemudian dan menyatakan hasrat untuk menarik diri dari pengajian MA saya. Bagaimanapun, Riswati menolak hasrat saya dan mahu saya menyelesaikan pengajian saya itu. Sebagai imbangan untuk itu, Riswati memohon agar dia dibenarkan untuk kembali menjadi seorang jururawat suatu bidang kerjaya yang ditinggalkan sebaik menjadi isteri saya tahun 1984.

Mungkin pengalaman dirawat di hospital itu membangkitkan nostalgianya. Atau mungkin hasratnya lebih untuk membantu meringankan bebanan saya. Pada akhir 1988, Riswati kembali menjadi seorang Jururawat di sebuah hospital swasta di Johor Baru. Mereka tinggal bersama ayah dan ibu mentua di sana sementara saya menyewa sebuah bilik di Bangsar KL dan pulang ke JB setiap hujung minggu.

Kesempatan itu, saya ambil untuk menyelesaikan kajian lapangan bagi tesis saya berjudul Kesan dan Pengaruh TV terhadap Remaja Melayu Malaysia. Saya memecahkan lapangan kajian ke beberapa wilayah seperti utara, tengah dan selatan. Tidak hairan, sepanjang tempoh itu, saya berpergian ke banyak sekolah menengah di negeri Johor, Melaka, Selangor dan Kedah. Penyelia saya Dr Hamidah Abdul Hamid.

Kajian saya hanya tinggal 15 peratus lagi, pada Oktober tahun 1989, apabila saya terdorong menulis surat memohon menjadi pengarang sambilan di Kumpulan Karangkraf. Mungkin, kecenderungan itu timbul kerana keinginan mendalami pengetahuan dalam bidang pengarang media cetak lanjutan pengetahuan yang semakin baik dalam bidang percetakan sebagaimana yang dipaparkan terdahulu.

" En. Sudirman?" saya menerima satu panggilan telefon anggaran tiga hari kemudian dari pejabat bos Kumpulan Karangkraf, Haji Husamuddin Yacob.
" Ya," jawab saya.
" Saya dari pejabat Tuan Haji Husamuddin Karangkraf. Tuan Haji minta encik datang ke pejabat kalau boleh hari ini. "
" Hari ini? Baik . Petang ini jam 2 ptg saya ada di sana," jawab saya dengan gembira.

Jam 2 petang, saya sudah tiba di pejabat Karangkraf yang terletak di Taman Tun Dr. Ismail, ketika itu.


AKAN DATANG: HIDUP SEBAGAI SEORANG PENGARANG










Sunday, May 9, 2010

TUAN EKSPERTRIAT, TUAN


" Mr. Sudiman. I have found a very good music for your montage," lahir Mr. James gembira. Kelihatan semacam tergeliat lidahnya menyebut huruf 'R".


Mr. James adalah bos saya dalam unit media untuk FTIS 94 atau Festival Tamadun Islam Sedunia 1994 atau WICF 94 ( World Islamic Civilization Festival 94). Beliau adalah seorang ekspertriat yang dibawa khas dari Australia oleh sebuah syarikat tempatan yang dipertanggungjawabkan oleh Pusat Islam untuk menyelaras FTIS 94 itu. Satu budaya kontraktor media tempatan, yang begitu ketara dalam tahun-tahun 90-an.

" Come. I show you,' lahirnya lagi.

Saya mengekori Mr. James ke studio. Tiada apa yang terlintas di kepala saya ketika itu. Mencari musik yang sesuai dengan montaj yang telah saya hasilkan adalah turut menjadi tanggungjawabnya. Tambahan pula, dia bos saya dan juga seorang ekspetriat dari luar negara. Tugasan ini bukanlah susah sangat kerana durasi montaj yang akan disiarkan di media TV adalah anggaran satu minit.

Saya tidak teringat, bagaimana saya mula terbabit dengan FTIS 94. Bagaimanapun, saya tidak nafikan peranan yang dimainkan oleh Ustaz Wan Alias Abdullah, ketika itu Ketua Penolong Pengarah di Pusat Islam merangkap Pengarah Muzium di Pusat Islam. Ustaz Wan Alias yang kemudianya terkenal sebagai pengasas program Jejak Rasul di TV3 adalah bekas guru saya di Sekolah Menengah Masjid Tanah Melaka atau kini dikenali sebagai SMK Sultan Alauddin.

Mungkin Ustaz Wan bertemu tanpa sengaja dengan saya di Pusat Islam, apabila saya membuat penggambaran untuk video korporat/ dokumentri Perkembangan Islam di Negeri Selangor. Mungkin ketika itu dia menawarkan pada saya untuk menyertai tim penerbitan media yang diketuai oleh Mr. James.

Mr. James dengan rasa yang girang memasukkan tape 'betacam' ke dalam pemain video. Bagaimanapun, jiwa saya tersentak apabila mendengar 'a very good music' yang dipilih oleh Mr. James itu.

" I've heard this music several times on Tv. Its very nice. I think it suits the flow of the WICF 94 montage, " zahirnya, tanpa menoleh ke wajah saya yang sedikit tergamam.

" Well, Mr. Sudiman. What's your opinion ?," tanyanya.

" I personally think, its a bad choice, Mr. James. This is not Islamic music. We call it 'azan'. "

" What is 'azan' ?" tanya lelaki Australia berumur lingkungan awal 50-an itu agak kewalahan.

" Azan is actually not a music. It is Muslims call for prayer, " zahir saya. kemudian saya jelaskan lagi pada Mr. James mengenai azan yang digunakan sebanyak lima kali sehari dari subuh, zohor, asar, maghrib dan isyak.

Wajah Mr. James benar-benar berubah kemerahan. Dia semacam malu kepada kesilapan besar yang dilakukannya. Keadaan ini jelas memperlihatkan kedangkalannya mengenai struktur sosio-budaya dan agama serta cara hidup masyarakat Malaysia amnya dan masyarakat Islam khasnya.

Saya tidak memanjangkan lagi soal itu dan kami kemudiannya segera mencari music alternatif bagi menggantikan 'musik' yang dipilih oleh Mr. James itu. Nasib baik pembetulan itu sempat dilakukan sebelum ia Tx ke udara, kalau tidak saya juga yang bertindak sebagai 'penasihat' Mr. James akan turut terpalit malu.

Sebenarnya, paparan saya ini bukan bertujuan menghina sesiapa. Apa yang saya cuba gambarkan betapa mentaliti orang Malaysia khususnya orang yang berduit, kerap melihat sesuatu yang di luar itu adalah lebih baik berbanding apa yang ada di hadapan mata. Tidak hairanlah, sekiranya mereka sanggup berhabisan untuk mendapat perkhidmatan istimewa dari kalangan ekspetriat ini, tetapi terlalu berkira jika orang yang dipilih itu orang tempatan apatah lagi jika orang itu orang Melayu.

Satu lagi peristiwa yang membabitkan Mr. James berlaku pada tahun yang sama. Saya ketika itu, sudah menamatkan kontrak tiga bulan sebagai perunding media WICF 94. Kontraktor yang sama telah mendapat kontrak besar membangunankan Memorial Tunku Abdul Rahman Putra. Salah satu dari skop tugasan adalah menyediakan 10 video dokumentari mengenai Tunku. Sekali lagi Mr. James ditugaskan untuk urusan pengisian video dokumentari mengenai Tunku.

Peristiwa ini berlaku, anggaran dua bulan sebelum perasmian MTARP tahun 1994.

Satu hari, saya mendapat panggilan dari Sdr. Isnin salah seorang orang penting kontraktor ini. Saya diminta datang ke Arkib Negara dengan segera. Di Arkib Negara saya diperkenalkan dengan En. Zainol Abd. Rahman, Pengarah Bahagian memorial.

En. Zainol memberitahu masalah yang sedang dihadapi mereka ketika itu iaitu, pihak kontraktor khususnya Mr. James masih belum menyediakan sebarang video dokumentari mengenai Tunku, sedangkan 'soft opening' MTARP anggaran dua bulan lagi. Beliau meminta saya membantu menyelesaikan masalah ini serta menyediakan sepuluh video mengenai Tunku Abdul Rahman.

" Agaknya, berapa lama En. Sudir boleh menyiapkan video-video ini," tanya Encil Zainol apabila saya menyatakan persetujuan saya untuk membantu.
" Paling lama satu bulan. Paling cepat tiga minggu," zahir saya penuh yakin. Saya teringat kembali asuhan Pak Samad yang 'memaksa' saya menyediakan video dokumentari 24 jam.

Mereka yang hadir termasuk Sdr. Isnin, melihat saya semacam tidak percaya. Terdahulu dia memberitahu saya, Mr. James yang telah ditugaskan membuat projek ini sejak enam bulan lalu masih tidak mampu menyelesaikannya. Mungkin, wajah Melayu yang ada pada wajah saya mengurangkan sedikir keyakinan mereka terhadap saya.

" Betul ke boleh buat satu bulan? " tanya En. Zainol ragu-ragu.
" Saya yakin, saya boleh siapkan dalam tempoh satu bulan, tetapi dengan syarat..' zahir saya. Mungkin latar belakang sifat kerjaya saya, serta konteks saya, juga bekas seorang guru Bahasa Melayu dan guru Sejarah mampu memberikan kekuatan kepada keyakinan saya.
" Syarat..?"
" Syarat saya, bila saya minta duit, jangan tolak. Mesti bagi. Kerana kawan-kawan saya nanti, kalau bagi deposit, mereka akan siap kerja dengan cepat. Habis kerja, duit bayar habis. Kalau itu tiada masalah, saya janji siap dalam tempoh satu bulan."

En. Zainol melihat Sdr. Isnin. Sdr. Isnin menyatakan persetujuannya.

" Satu lagi, saya minta pihak Arkib Negara menyediakan semua video, foto atau apa saja dokumen yang saya perlukan agar saya tidak mencari-cari selain buat kerja video editing dan sound mixing."

Kedua-dua permintaan saya dipersetujui. Segera tindakan selanjut saya adalah menghimpun sahabat-sahabat saya dalam semua bidang sama ada editing, jurukamera, grafic designer, musik dan sebagainya dan meminta bantuan mereka.

Antara mereka terbabit adalah Azali Abu Hassan dan Borhan Ahmad yang turut meninggalkan TV3 sebagai pembantu saya, Mokhlas Maskom, Daud, serta beberapa sahabat lain yang namanya baik tidak saya nyatakan serta mendiang Peter Lim dalam urusan sound mixing dan dubbing. Razak dengan peranannya penyumbang suara latar.


Tugasan terpenting saya adalah menyediakan sepuluh skrip yang tiap satu durasainya anggaran 10 minit. Selain itu saya bertanggungjawab membuat penyelidikan, mengarah serta terbabit dalam penyediaan grafik, dan montaj. Antara bahan-bahan itu adalah Biografi Tunku, Sumbangan Tunku terhadap Islam, Tunku dan Media, Tunku dab Kreativiti, Sumbangan Tunku terdapa pembangunan Sukan, Pembina Bangsa dan sebagainya.


Dengan bantuan dan pengembelingan tenaga dari semua sahabat-sahabat saya, ternyata kesemua video-video itu siap untuk penilaian dalam masa tiga minggu. Dan dalam tempoh sebulan, kesemua video ini, berjaya diserahkan kepada Arkib Negara.

" Man, kita ada satu masalah," zahir Sdr. Isnin yang tidak lagi berformal lagi dengan saya, tidak lama selepas saya menyelesaikan tugasan itu.
" Masalah apa bos ? "
" Masalahnya, pihak Arkib tak mahu bahan video itu dalam tape tapi dalam CD. Di Malaysia teknologi tu sekarang masih tak ada, tapi ada kat London."
" Jadi, hantarlah budak bos ke London buat kerja tu."
" Tapi, soal video ni kau yang tahu. Hantar budak saya nanti kelam-kabut. Jadi pihak kami dah bersetuju hantar kau saja ke London buat kerja ini. Katakan ini sebagai hadiah dari kami kerana tolong selesaikan tugasan ini."
" Ke London boss. London.....? Wow......!!.

Macam tak percaya dan macam satu mimpi. Hanya kerana suatu tugasan, Allah mengizinkan kaki saya menjejaki bumi London pada akhir bulan September 1994.

Kesimpulannya, jis dalam paparan yang saya bangkitkan adalah mudah. Jangan memandang rendah dengan orang Malaysia khususnya orang Melayu. Saya yakin, orang Melayu punya otak kreativiti nombor satu. Keduanya, jika sesuatu aspek yang berkaitan sejarah, sistem sosio-budaya atau politik tentang negara kita, biarlah ia dibuat oleh orang kita sendiri. Orang lain tidak faham atau buat-buat tidak faham tentang cara hidup kita.

Percayalah.


Akan datang

PENGARANG DI KUMPULAN KARANGKRAF
'






Monday, April 12, 2010

PROJEK PERTAMA RM 19 RIBU. BODOHNYA MELAYU..!?


" Projek ini besar tahu Cik Sudir. Merangkum 6 tahun. Kalau Cik Sudir boleh bantu, hidup kita boleh senang," begitu kata seorang kenalan kakitangan UM, ketika saya tidak sengaja bertembungnya di kantin Staf Fakulti Sastera, Universiti Malaya. Tak silap suku akhir tahun 1987.

Sebelumnya, kami berbual tentang kisah-kisah lama ketika saya berkhidmat di institusi itu. Kisah projek ini tercetus, lanjutan dari hasratnya untuk membantu saya setelah menyedari saya ketika itu akan menyambung pelajaran MA dan tidak lagi bertugas dengan TV3.

" Projek apa tu. Hebat bunyinya," tanya saya kembali.
" Projek buku latihan untuk sekolah JAWI. Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan. Tahun ini kita buat 6 buku untuk tahun satu. Tahun depan budak-budak ini naik tahun dua, kita buat buku latihan baru untuk mereka. Dalam masa yang sama buku tahun satu kita cetak semula untuk pelajar tahun satu yang baru. Begitulah seterusnya hingga budak-budak ini sampai darjah enam," lahir teman saya ini.
" Enam tahun akan datang kita akan cetak enam set untuk darjah satu hingga enam. Satu set ada enam buku kali 5000 buah naskah tiap satu. Bererti tahun ini kita cetak 30,00 buah buku. Tiap satu 60 hingga 70 sen . Cuba kira jumlahnya," sambung teman saya lagi.

Saya macam orang bodoh mengikut saja kata-katanya. Tahun ini saja, kalau projek ini dapat 'saya lunaskan' jumlah buku 6 tiap set kali 5000 sama juga 30,000. Kali 60 sen atau 70 sen jumlahnya anggaran kasar RM 19,000. Kalau untung lima sen pun (komisen) tiap satu ada juga RM1,500. Banyak tuuu... Tahun depan 60,000 naskah, dah ada RM 3,000. Enam tahun akan datang ada 180,000 naskah bererti atas anggaran untung 5 sen, ada juga paling kurang RM9000.00. RM 9000 untuk enam tahun kemudian. Wow...

" Kalau ada peluang, buku-buku ini kita jaja kat JAIS, JAIM, JAINS dan sebagainya," tambah teman saya lagi.

Saya jadi al Mat Jenin seketika. Teringat kata-kata Ahmad Nisfu dalam filem Tiga Abdul. Kaya..kaya...kaya.

" Apa yang perlu saya buat?" tanya saya mula seronok.
" Tadi kata ada kawan orang Melayu yang ada kilang cetak. Kau bekerjasama dengan dia, cetak buku itu. Belajar macam mana nak cetak buku dari dia. Lain kali boleh buat sendiri," zahirnya penuh yakin.

Saya kembali teringat kata-kata saya padanya yang saya punya kenalan orang Melayu yang buat bisnes cetak-mencetak ini. Saya pernah berbual dengannya beberapa hari sebelumnya mengenai soal itu.

Dengan berbekalkan 'contoh' enam buku, saya bergegas menemui teman saya yang 'punya bisnes cetak' itu. Saya jelaskan semua kepadanya dan cadangan anggaran kos tiap satu 60 sen hingga 70 sen.

" Melayu ke..?. Betul ke ada duit. Benda ni boleh buat. Tapi abang takut dia tak bayar. Susah saya nanti," zahir 'toke' Melayu ini. " Kau kena minta deposit. Paling kurang RM 10,000. Kalau ada, hari ini kita mula cetak. Dalam satu bulan siap semua. Januari boleh hantar ke sekolah-sekolah."

Kelihatan ada rasa keraguan pada teman 'toke' Melayu itu tadi, tentang orang Melayu, teman saya yang seorang lagi. Otak saya mula mencongak-congak tentang perkara itu.

Kenaifan saya, kerana tidak banyak menyibuk diri mendalami perangai dan sikap Melayu selama ini, Mungkin, saya tidak punya banyak masa atau tepatnya tidak pernah terbabit dalam soal bisnes atau soal dunia korporat dengan orang Melayu. Kehidupan saya sebelum ini lebih menjurus kepada makan gaji dengan kerajaan atau dengan swasta.

Saya berjumpa semula dengan teman 'projek besar' ini. Namanya biarlah saya rahsiakan. Mungkin dia masih marah dengan 'kebodohan' saya. Wallahualam bissawab.

" Kawan saya kata 'no problem'. Kos 60 hingga 70 sen setiap satu buku, okey." zahir saya. " Tapi..."
" Kau mahu deposit ?" pintas teman saya itu.
" Ya... yaa. Deposit. Katanya anggaran separuh. Macam RM 10,000, " zahir saya agak gusar. Seumur hidup, saya tidak berani menyebut jumlah yang sebesar itu. Kalau main seribu dan bawah tu biasalah. Ini sudah masuk puluh ribu.

Teman saya tersenyum. Dia bergegas masuk ke biliknya. Tidak lama kemudian dia keluar kembali membawa sekeping cek yang tertulis RM 10,000. Mahu terperangah saya dibuatnya, kerana saya tidak pernah menemui seorang manusia Melayu yang tidak ragu-ragu mengeluarkan wang sebanyak RM 10,000 semudah itu, sebelum ini.

" Aku percaya dengan kau. Harap kau pastikan dia buat kerja dengan bagus. Mana tahu ini jadi asas kau kembali jadi orang berjaya".

Hati saya tiba-tiba menjadi terlalu takut. Bukan saja takut kerana di tangan saya kini ada wang (cek) bernilai RM 10,000, malah lebih jauh dari itu, orang menaruh keyakinan yang tidak berbelah bagi terhadap kejujuran dan kemampuan saya. Cek itu dengan hati-hati saya masukkan ke dalam poket seluar kanan. Sepanjang perjalanan menemui 'toke Melayu', tangan saya kekal berada dalam poket itu. Saya takut tercicir di mana-mana dan jika itu berlaku 'nahas' masa hadapan dan maruah saya.

Wajah 'toke Melayu' itu kewalahan dan agak malu, apabila saya serahkan cek itu kepadanya. Mungkin dia malu dengan keterlanjuran menilai orang Melayu yang satu lagi. Saya benar-benar meminta teman saya itu, melunaskan tanggungjawabnnya itu dengan baik dan sempurna dan menepati masa, sebagaimana yang dijanjikan.

Hampir seminggu lamanya, saya tidak mendengar sebarang berita dari teman 'toke Melayu' saya tadi. Saya kira, mungkin dia begitu sebok dengan urusan percetakannya. Saya cuba menghubunginya kerana terasa ingin melawat kilangnya dan menyaksikan sendiri proses pembikinan dan percetakan buku. Namun,usaha saya kerapkali hampa.

Suatu hari, ditakdirkan Tuhan, saya berpapasan dengan sebuah kereta jenama ' Honda' yang baru menjengah pasaran tempatan ketika itu. Mahu terkejut saya, apabila pemandu kereta baru itu adalah 'teman toke' saya itu. Pelbagai fikiran mula menjengah kepala. Bagaimanapun, dengan hasrat tidak mahu berburuk sangka, fikiran itu saya siahkan jauh-jauh. Dalam era hampir 20 tahun DEB, masakan orang Melayu tidak mampu berkereta sehebat orang Cina dan orang India. Lagipun, dia toke kedai cetak.

Esoknya, saya tanpa sengaja bertemunya di pejabat isterinya yang bertugas di sebuah jabatan kampus UM. Kelihatan dia agak terkejut dengan kehadiran saya. Dia mengatakan proses percetakan berjalan lancar dan menjelang akhir bulan boleh siap. Semua urusan membuat filem, plet, kertas sudah diselesaikan. Kini dalam proses masuk cetak.

Perkabaran mengenai perkara itu membuat hati saya begitu gembira kerana sekurang-kurangnya amanah orang sudah mula saya lunasi. Saya meminta darinya untuk melakukan kunjungan ke kedai cetaknya, bagaimanapun, dia menolak dengan andaian tiada masa dan terlalu sebok.

Hampir dua minggu kemudian saya menerima telefon dari toke Melayu itu. Dia memaklumkan cetakan telah siap. Terasa benar gembira hati apabila diberitahu sebegitu. Sekaligus, saya menolak andaian yang mengatakan Melayu tidak boleh buat kerja. Ketika itu juga terbetik di hati, saya mahu belajar dari 'toke Melayu' ini, ilmu baru dalam bidang percetakan.

Kami bertemu tidak lama kemudian.

Bagaimanapun, pertemuan yang sepatutnya ceria, bertukar menjadi satu suasana yang amat mengelirukan. Teman saya, hanya membawa dua set bungkusan buku untuk buku 1 dan buku 2.

" Buku 3, 4, 5 dan 6 mana, bang?" tanya saya kewalahan.
" Ini yang abang nak cakap pada kau ni. Semua dalam cetak. Tapi abang tak cukup modal. Kau pergi jumpa orang tu dan minta tambah deposit," jawabnya dengan mula membebankan tugasan baru.
" Selalunya deposit 50 % itu dapat bereskan semua. Kan baik abang selesaikan semua dan ambil bakinya bila serahkan yang lain," balas saya.
" Macam mana abang nak selesaikan kerja ni, bila abang tak ada duit," pangkahnya pantas. Ada nada marah dalam suaranya.

Mahu tidak mahu, dan dengan rasa yang berat dan malu, saya menemui teman projek itu dan menyerahkan bungkusan dua buah buku yang telah disiapkan. Seperti biasa teman saya yang satu ini, tidak memperlihatkan riaksi apa-apa. Dia menyuakan cek sebanyak RM 5000 kepada saya dan meminta saya menyelesaikan tugasan dengan segera kerana akhir tahun seminggu lagi akan menjelang tiba.

Cek RM 5000 itu saya serahkan kepada 'toke Melayu' itu. Sekali lagi harapan teman projek itu saya zahirkan kepadanya. Dia berjanji, akan menyelesaikan semua tugasan menjelang akhir bulan dan buku dapat diserahkan kepada murid pada awal sesi persekolahan.

Menjelang akhir tahun, saya masih tidak menerima sebarang perkabaran dari toke ini. Ketakutan dan kegemparan mula melumuri hati saya. Akhirnya, dengan latar sebagai bekas wartawan, saya melakukan satu penyiasatan. Saya bertanya teman-teman toke di mana letak kilang atau kedainya.

" Kilang? Dia mana ada kilang. Kelentong besar dia tu. Dia hantar kat India di Brickfield. Cuba kaucari di sana. Petang-prtang adalah dia tu," lahir seorang kawannya yang juga bekas kakitangan saya di UM dulu.

Dengan fikiran yang berbolak-balik dan keraguan yang amat sangat, saya cuba menjejaki 'toke' ini di Brickfield. Memang takdir menentukan, kerana saya terserempak dengan dirinya di sebuah kilang cetak di saa. Toke itu, ternyata terkejut dengan kehadiran saya di situ. Dia berbolak-balik sambil menunjukkan bahan yang sedang dicetak.

" Ini buku ke berapa bang?" tanya saya.
" Buku 3 dan 4," jawabnya.
" Buku 5 dan 6?"
" Belum buat. Belum beli kertas. Tapi plet dan filem dah buat."

Menggeleng-geleng benar saya apabila diberitahu sebegitu. Saya merayu sakan agar dia segera membereskan kerjanya. Sekali lagi dia berjanji akan selesaikan tugasnya.

Seminggu selepas sesi persekolahan bermula, buku 3 dan 4 berjaya disiapkan. Saya diminta mengambil buku-buku di kilang India itu. Tanpa membuang masa, saya bersegera untuk mengutip buku-buku untuk diserahkan kepada teman projek saya.

" Tuan, itu buku 5 sama 6 bila boleh siap?"
" Bila-bila boleh siap. Tapi itu awak punya kawan tak da bayar 3 sama 4. Macam mana mahu jalan," jawabnya.
" Siap semua, berapa lagi baki hutang dia?"
" Kurang lebih empat ribu," jawab pekilang itu.

Ternyata buku 3 dan 4 tidak dapat saya ambil kerana masalah pembayaran dati teman 'toke' saya ini. Wang sebanyak RM 15,000 dirasakan lebih dari cukup untuk membereskan semua kerja. Teringat saya kembali dengan selera besar kawan saya yang bergaya dengan kereta baru. Sepatutnya, teman toke saya ini membereskan semua kerja dari wang yang diberikan. Baki darinya adalah untung. Dengan untung itulah, belilah apa saja, termasuk kereta jika mahu bergaya.

Saya cuba menjejaki teman toke ini, tetapi kelibatnya hilang entah ke mana. Dalam masa yang sama, teman projek mula mendesak agar saya cepat menyerahkan baki buku-buku itu. Akhirnya mahu tidak mahu, tanpa pengetahuan Riswati, saya mengeluarkan wang simpanan sebanyak empat ribu ringgit dan menyerahkan kepada toke kilang untuk membolehkannya menyelesaikan segala urusan percetakan. buku 3 dan 4 saya kutip dan serahkan kepada teman projek saya.

Sejak itulah, saya mula bersahabat dengan toke kilang. Hampir setiap hari saya berada di kilangnya untuk memastikan tugasan mencetak buku dibereskan segera. Manusia ini, secara tidak langsung mengajar saya mengenai ilmu bidang percetakan. Saya ditunjukkan di mana membeli kertas, di mana membuat filem dan plet. Di mana membuat binding dan creasing dan di mana membuat UV.

Buku 5 dan 6 akhirnya berjaya dibereskan pada pertengahan bulan Februari dan saya sendiri terpaksa menghantar buku-buku itu hampir ke semua sekolah agama JAWI seluruh Kuala Lumpur. Kejayaan menghasilkan dan menyerahkan buku itu memberi kepuasan kepada diri saya, walaupun tidak memberi untung malahan rugi.

Kini, saya sudah memahiri satu ilmu baru dalam urutan perjalanan hidup saya. Ilmu dalam bidang percetakan.

Sebagaimana diduga, itulah projek pertama dan terakhir saya dengan teman projek saya tadi. Dia memahami masalah saya walaupun kecewa. Dia menasihati saya, supaya menyiasat dulu, kawan yang kononnya hebat dan jangan terjebak dengan ketrampilan orang lain.

" Don't judge a book by its cover," nasihatnya sambil menyerahkan baki wang anggaran RM 4000 lagi kepada saya. " Sekurang-kurangnya, kau sudah memahami realiti manusia di luar kepompong kehidupan,"
tambahnya lagi.

Saya melentok bodoh dan merasa malu yang amat sangat. Fikiran menerawang jauh dan sejauh hilangnya untung beribu-ribu dalam tempoh 10 tahun. Teringat kembali kata-kata Ahmad Nisfu dalam Tiga Abdul. Kaya...kaya...kaya... ops kayap...kayap...kayap.

Bodohnya Melayu...!?

Akan datang:

TUAN EKSPETRIAT, TUAN









Monday, March 29, 2010

Bermulanya "Jack Of Many Trade, Master Of Some"



Riswati tahu sifat kerjaya saya di TV3. Mungkin pada saat awal, dia agak musykil kerana acapkali ditinggal-tinggalkan. Bagi memperlihatkan, betapa teruk dan getirnya sifat kerjaya saya, sering juga saya bawanya ke studio ketika editing on-line. Akhirnya, Riswati dengan sendiri membiarkan urutan kerjaya saya bergerak sendiri, tanpa sekelumitpun meragui kejujuran dan kesetiaan saya.

Justeru tidak hairanlah, dia tidak memperlihatkan sebarang riaksi dalam tempoh sebulan saya 'membebaskan' diri dari TV3. Saya masih berkelaku yang sama. Keluar dari rumah dan balik bila bulan sudah mula membengkakkan cahaya.

Tapi orang seperti saya, tidak pandai menyembunyikan rasa. Apa yang terpancar di wajah begitulah yang tersurat di hati. Saya tidak faham istilah berpura-pura. Saya tidak pernah belajar bagaimana cara untuk bermuka-muka. Satu tidak tahu bagaimana menjadi seorang hipokrat.

Tidak seperti Riswati. Dia seorang yang mampu menyembunyikan apa yang tersirat dalam hatinya. Wajahnya setiasa tenang dan ceria, walaupun jauh di sudut hati ada satu beban berat yang perlu diladeninya. Itulah kelebihan teman baik saya ini.

" Abang ada masalah di tempat kerja?" satu hari Riswati bertanya. Mungkin dia melihat saya sudah tidak seceria dulu. Atau mungkin, (tak pernah saya bertanya), dia mendengar saya mengigau ketika tidur tengah malam.
" Masalah...?" zahir saya yang terasa terperangkap. " Tak ada apa. Cuma abang boring jadi reporter TV."

Riswati mengangguk dan seperti biasa menyediakan sarapan saya kerana saya akan 'pergi bertugas' seperti biasa. Wajahnya masih juga bersahaja dan selamba. Anak kecil kami Wani yang baru berumur empat bulan dikeleknya.

Pagi itu, saya bersarapan dengan agak gopoh. Saya memberi alasan ada banyak tugas yang perlu dibereskan. Yang jelas, saya sebenarnya mengelak untuk bersama Riswati, kerana kuatir 'pembohongan' saya akan terbongkar akhirnya.

Allah saja yang tahu betapa berkecamuknya fikiran saya ketika itu apabila menjawat jawatan baru sebagai "Penganggur". Sepanjang hidup saya, inilah pertama kali, saya tidak bekerja atau makan gaji. Sebaik tamat persekolahan, saya menjadi guru sandaran di SMK Seri Tanjung. Kemudian pelatih guru di Maktab Perguruan Bahasa sebelum dihantar bertugas di beberapa sekolah di Melaka seperti SMKDD, SMKR dan SMKGB. Sebaik tamat pengajian ijazah pertama, dihantar bertugas di MCKK dan beralih arah sebagai Penolong Pendaftar di UM sebelum dijemput TV3.

Kekusutan fikiran itu, semakin membengkam setiap hari. Apatah lagi, saya ketika itu bukan orang bujang. Saya adalah suami orang dan punya seorang anak kecil yang memerlukan susu dan belaian setiap hari. Saya sudah mempunyai satu tanggungjawab besar sebagai ketua keluarga.

Untuk kembali menjadi guru adalah tidak mungkin kecuali guru sekolah swasta. Tapi ketika itu, mana ada kolej IPTS seperti sekarang ini. Untuk bertugas dalam bidang media elektronik, juga tidak mungkin kerana ketika itu, tidak ada stesen TV swasta mahupun syarikat-syarikat produksi rancangan TV kerana konsep penswastaan masih belum terfikirkan lagi oleh Pak Menteri.

Tanpa pengetahuan Riswati, sepanjang tempoh 'pengangguran' itu, saya banyak naik turun pejabat untuk mencari kerja. Malangnya, ketika itu, sudah bermulanya zaman kegawatan ekonomi dan permohonan saya ditolak. Alasan lain, termasuk juga faktor usia, faktor gaji dan faktor bahasa Inggeris saya yang sedikit caca-marba.

Pernah juga saya berhasrat untuk bertugas dengan RTM. Saya buatkan satu kertas kerja lengkap serta cadangkan satu konsep rancangan ala Majalah 3 dan 60 minutes dengan judul DIMENSI. Tidak lama kemudian, saya dipanggil orang RTM untuk menjelaskan konsep saya. Ketika itu, harapan saya begitu berbunga-bunga untuk kembali bertugas dalam bidang penerbitan dokumentari TV.

Malangnya, harapan tinggal harapan. Tidak lama kemudian, pihak RTM menggunakan konsep saya dan menerbitkan sebuah rancangan TV berjudul DIMENSI. Saya diketepikan langsung dari sebarang pembabitan dalam rancangan baru ini. Malah kredit sebagai pencetus idea juga tidak dicatatkan. Ternyata, Dimensi, adalah sebuah program TV yang gagal kerana kecenderungan meniru Majalah 3. Tambahan pula, walaupun bentuknya ada, tetapi sajian bahan tidak langsung menunjukkan suatu kematangan dan wibawa. Isu dan bahan terlalu remeh dan tidak langsung memperlihatkan keintelektuan. Kebanyakannya syok sendiri.

Sekali lagi realiti hidup mengajar saya, betapa kehidupan jika berlandaskan penggantungan kepada takdir dan nasib yang ditentukan orang lain, kerapkali berakhir dengan kekecewaan. Orang akan menggunakan dan memerah keringat dan idea kita semahunya untuk memprojek imej baik diri mereka atau meningkat diri dalam karier. Sedangkan kita, akan kekal sebegitu dan terus-terusan menjadi hamba-abdi kepada orang yang mempunyai upaya dan mempunyai kuasa.

Dan kita, tidak mungkin dapat sedar, dengan segala kebolehan dan kemampuan kita, serta nilai diri kita yang sebenarnya.

Suatu hari saya terbaca sebuah iklan yang mahukan seorang penterjemah. Saya menemui pemilik syarikat itu. Seorang wanita Cina. Dalam pertemuan itu, saya diberikan setengah muka surat bertulis Inggeris untuk diterjemahkan. Esoknya, terjemahan itu saya serahkan kepadanya.

" Wah.. so fast haa..'" zahirnya apabila terjemahan itu saya suakan kepadanya. Dia mengambil terjemahan itu dan membacanya.
" Good...good," zahirnya gembira sambil tersenyum manis kepada saya. Saya senang bila dia berkata begitu. " How much should I pay you..?' tanyanya pula.
Saya tergamam bila ditanyakan sebegitu. Saya sebenarnya tidak tahu bagaimana mahu meletakkan harga. Tugasan itu terlalu mudah. Mungkin kebolehan berbahasa Melayu yang baik banyak membantu saya.
" I don't know. Ups to you, " jawab saya akhirnya. Dalam benak saya memikirkan anggaran RM 20.00 sahaja. Paling tinggipun RM 50.00. Itupun sudah masuk 'cekik darah'.

Wanita itu, mengambil ceknya dan menulis sesuatu. Cek itu diserahkan kepada saya. Hampir tergamam saya melihat jumlah wang yang diberikan untuk tugasan yang tak sampai 20 minit. RM 200.00.

" Is it enough for you..? tanyanya.
" More than enough,' zahir saya malu alah.
" It's okey. I pay for your creativity, not for your work,' tambahnya lagi.

Saya mendapat beberapa projek terjemahan lagi darinya selepas itu termasuk menterjemah buku novel kanak-kanak karya Enid Blyton.

Kejujuran wanita itu menghargai kebolehan saya, ternyata menyedarkan diri akan kebolehan dan kemampuan saya serta realiti kehidupan. Ternyata saya mula membandingkan kehidupan sebagai karyawan di TV3. Andaian mudah. Untuk tugasan 'sedepa' , saya dibayar 'sejengkal' tapi untuk syarikat ini, bagi tugasan 'sejengkal' saya dibayar 'sedepa'.
Realiti kehidupan inilah kemudiannya menjadi tunjang kebangkitan saya semula. Tekad dan keazaman, saya bina satu persatu dengan mengeksploit semua bakat , kreativiti, kebolehan dan kontek yang saya ada, untuk diri dan keluarga saya sendiri dan bukan untuk orang lain.

Bermula dari itulah, saya menghambat dan 'mencuri' pelbagai ilmu dan pengetahuan tentang pelbagai bidang. Saya mahu menjadi 'Jack Of Many Trade', kerana dengan memahami atau mengetahui banyak 'trade' mampu menjana pendapatan kepada hidup saya dan keluarga saya tanpa terlalu bergantung kepada 'ihsan' orang lain.

Saya mula menghubungi kawan-kawan lama termasuk Don yang sedang mengendalikan sebuah majalah humor untuk menjadi penulis sambilan. Malah saya juga menemui Sdr. Nashaei adik Zahid Hamidi, pengurus unit novel di Creative Enterprise, untuk menjadi penyunting novel-novelnya. Di Creative Enterprise saya berjaya menghasilkan sebuah novel remaja "Badai Di Lautan Biru'. Saya juga turut menemui Baharuddin Zainal (Baha Zain) serta berkenalan dengan ramai penerbit-penerbit buku lainnya seperti Sdr. Kamal Al-Hidayah.

Akirnya, hampir sebulan kemudian, dengan berat hati, masalah saya telah berhenti kerja dengan TV3, saya beritahu juga kepada Riswati. Riswati ternyata menerimanya dengan bersahaja. Menurutnya, dia telah tahu soal ini, agak lama juga, ketika dia menelefon ke BES TV3 kerana sesuatu hal. Hanya dia berdiam diri tidak mahu mengeruhkan suasana dan tidak mahu mengusutkan fikiran saya.

Cuma harapannya, saya terus berusaha agar kehidupan keluarga khususnya anak kecil kami Wani, tidak terjejas.Saya berterima kasih akan pengertiannya itu. Saya bertawakal kepada Allah kerana Dia yang akan menentukan perjalanan hidup saya seterusnya.


AKAN DATANG: PROJEK PERTAMA RM 19 RIBU : "BODOHNYA MELAYU ?"