Iklan

Tuesday, November 16, 2010

TEMUBUAL EKSKLUSIF DENGAN USTAZ ASHAARI

Pendahuluan.

Maaf. Agak lama juga tidak update kolom ini. Bukan apa-apa, hanya kerana masalah tugasan harian yang mendesak, khususnya pada hari-hari akhir sesi persekolahan ( akan saya nyatakan nanti apa yang sedang saya lakukan kini) hingga tidak memungkinkan saya memberikan tumpuan untuk mengisi kolom ini.

Sebagaimana yang dijanjikan, berikut adalah petikan temubual bekas wartawan saya Zulkefli Bakar dan Mokhtar Rozaidi dengan Ustaz Ashaari di Singapura. Semoga, anda dapat menghayati sebahagian dari falsafah perjuangan beliau khususnya dalam ehwal membangunkan sistem sosio-ekonomi masyarakat Islam khususnya orang Melayu di Malaysia.

Mana tahu, satu hari nanti ada sekelompok manusia Melayu yang akan mengikuti jejak beliau, cuma tanpa sesuatu yang berkaitan dengan akidah Islamiah. Amin.

Saya sendiri akan menjadi 'gate keeper' untuk penulisan ini dan yang akan dipaparkan hanyalah yang ada kaitannya dengan hal-ehwal sosio-ekonomi saja dan sedikit tentang politik jika berkaitan.

Berikut adalah temubual tersebut yang disiarkan dalam Majalah Eksklusif Bilangan 2 (Nov. 1989) dan 3 (Dis. 1989)


Soalan(S): Mengenai ke mana menghilang.

Jawapan (J) : Sebagai orang Islam, kita tentu faham, Islam adalah agama sejagat dan agama antarabangsa. Islam bukan saja agama orang Melayu saja tetapi agama kepada semua manusia di muka bumi Tuhan ini. Untuk makluman saudara, saya bersama rakan-rakan dalam Darul Arqam dengan izin Allah telah berjuang hampir setahun di luar negara untuk mengembangkan Islam. Alhamdulillah, dengan penumpuan jitu yang telah kami berikan, kami telah berjaya menubuhkan beberapa buah markas di luar negara. Antaranya di Pakistan, Mesir, New Zealand, Australia, Perancis, Amerika Syarikat, Thailand dan juga beberapa daerah di Indonesia.

Melalui perjuangan dan usaha ini, kami sedikit banyak telah berjaya menceburi pelbagai bidang sama ada pendidikan, ekonomi, pertanian dan lain-lain. Melalui bidang pendidikan, kami setakat ini telah berjaya melahirkan tidak kurang dari 300 mubaligh. Apabila bidang pendidikan kami wujudkan pada tahun 1975, pelajar-pelajar kami hanya 12 orang iaitu 6 lelaki dan 6 perempuan. Tapi kini dengan kerjasama para pejuang serta dengan simpati orang ramai, sekolah kami hampir wujud di setiap kampung. Pelajarnya pula tidak kurang daripada 3000 orang manakala bilangan guru pula seramai 700 orang.

S : Mengenai warisan kepimpinan.

J : Sebenarnya, bila-bila masa saja saya boleh kembali ke Malaysia. Cuma saya ingin menunjukkan kepada jemaah Darul Arqam, tanpa saya, kawan-kawan di Darul Arqam boleh bergerak sendiri. Saya tidak mahu seperti mana yang pernah berlaku dalam jemaah-jemaah Islam lain di Malaysia atau di mana-mana negara lainnya. Apabila pemimpin tidak ada, perjuangan mereka mati. Apabila pemimpin tidak ada, maka pemimpin yang lain tidak boleh bergerak.

Keadaan ini terbukti kini. Saya misalnya telah lebih setahun tidak berada di tanah air tapi pergerakan Darul Arqam semakin mendapat simpati dari orang ramai. Ahli-ahli Darul Arqam semakin meningkat. Pelbagai bidang yang diceburi memperlihatkan peningkatan yang memuaskan. Inilah cara kami mendidik masyarakat Islam dalam sistem pendidikan kami sendiri.

Jika jemaah kita tidak dididik, tidak diberikan kefahaman yang cukup, maka matilah perjuangan itu sebagaimana yang pernah berlaku kepada sebuah jemaah yang lain. Tidak perlulah saya sebutkan jemaah yang mana kerana sekarang ni zaman sensitif (ketawa).

S: Mengenai tafsiran istilah politik.

J: Sebenarnya politik adalah perkataan dari bahasa Latin. Kata ini bukan kata Arab. Kalau bahasa Islam ia bermaksud Siasah. Siasah dalam kamus maknanya Ilmu Pentadbiran. Oleh itu apa saja yang kita tadbir itu politiklah... Kalau ada kambing, ayam yang kita tadbir kemudian ia berkembang atau membiak itu politiklah (ketawa)... Kalau kita ada sekolah dan kita tadbir dan kemudian sekolah itu berkembang, itu juga dinamakan politik. Begitu juga dengan kampung, daerah, dan kemungkinan negara.

Kalau tidak ada satupun nak ditadbir, tapi masih mengaku dia orang politik, itu bukanlah orang politik namanya. Katakan sebuah kampung tidak ada, ekonomi tidak ada, hospital tidak ada, pertanian tidak ada. Jadi hendak tadbir apa walaupun ia mengaku dia orang politik dan berjuang dalam bidang politik. Itu bukan politik namanya.

Darul Arqam ini contohnya sedang sibuk berkecimpung dalam bidang politik kerana kami ada kambing, ada ayam, ada sekolah, ada kampung hampir 40 buah. Kalau tidak ditadbir tidak boleh hidup. Itulah fahaman saya mengenai maksud politik yang sebenarnya.

Kebanyakan kesilapan orang politik, yang paling besar, selama ini mereka tidak mendidik dan menanam rasa keimanan di dada anggota-anggotanya. Soal iman dan soal akhirat tidak langsung diambilkira. Ini bermakna pengikut-pengikutnya tidak dididik. Ertinya mental insan-insan ini tidak dibangunkan dengan fahaman Islam. Jiwanya tidak dibangunkan dengan iman. Apabila seseorang insan itu tidak dibangunkan dengan dengan iman dan mental Islam, itu bererti ia berjuang tanpa pedoman apa-apa kecuali bermain akal dan teori.

Inilah punca krisis yang menimbulkan penyakit masyarakat. Ini bukan saja dalam bidang politik tetapi juga dalam bidang ekonomi dan lain-lain. Kalau mahu dipulihkan semula, mestilah kembali kepada Allah dan Rasulnya. Ertinya dididik semula manusia ini atau dalam kata lain, iman dan mentalnya dibangunkan semula. Insan yang sudah dibangunkan ini diajak untuk bergiat dalam bidang material seperti membangunkan negara, ekonomi dan lain-lain. Barulah ia akan selamat.

Jika insan ini tidak dibangunkan, ini mungkin akan menimbulkan masalah. Insan inilah yang diharap untuk membangunkan negara dan ekonomi, tetapi dia yang akhirnya membolot kesemuanya. Segala-galanya kerana dia memandang pangkat itu lebih besar daripadanya. Inilah yang terjadi.

S: Mengenai tafsiran istilah Demokrasi ala Malaysia.

J: Demokrasi yang wujud di dunia hari ini khususnya di Malaysia adalah demokrasi barat. Bukan demokrasi yang dilahirkan oleh Islam. Dalam Islam memang ada demokrasi tetapi demokrasi terpimpin. Buktinya selepas Rasullullah, sesiapa yang menjadi pemimpin atau khalifah yang pertama tidak ditunjuk. Yang menunjuk ialah sahabat-sahabat besar. Sahabat yang terpenting iaitu sepuluh orang. Saidina Omar, Saidina Osman dan lain-lain lagi telah menerima Saidina Abu Bakar. Perlantikan itu tidak mendapat tentangan daripada rakyat jelata.

Dalam demokrasi barat, tidak. Semua orang secara tidak langsung melantik seorang pemimpin. Sama ada dia faham atau tidak apa itu demokrasi, apa itu kepimpinan dan apa itu pencalonan tidak timbul. Jika saudara 'melobi' menyuruh dia pangkah calon tertentu, dia akan pangkah walaupun dia sendiri tidak kenal siapa pemimpin itu. Dalam Islam tidaklah orang tetentu saja yang boleh jadi pemimpin. Contohnya, jika seseorang itu ada ilmu dan faham serta menjadi tempat rujukan orang ramai, orang itulah yang memilih. Rakyat jelata hanya mengikut saja.

Ini bermakna, pemilihan tidak melibatkan semua peringkat masyarakat. Jika semua sekali dilibat, ini bererti termasuklah juga orang yang tidak faham dan jahil. Kalau orang yang jahil dan tidak faham bersama-sama memikirkan soal negara, maka soal pemimpin ini akan rosak. Dalam Islam, yang mencalonkan pemimpin ini adalah orang-orang yang selama ini dihormati oleh masyarakat.

S: Mengenai kenapa Darul Arqam tidak berdaftar sebagai sebuah parti politik.

J: Kalau Darul Arqam didaftarkan sebagai sebuah parti siasah, ertinya kami samalah seperti parti siasah yang lain yang lebih condong mengikut ke barat. Ini juga bermakna, kami juga terpaksa mengorbankan prinsip. Justeru itu, selagi kami tidak dipaksa, selagi itu kami tidak akan mendaftar sebagai sebuah parti politik. Walau bagaimanapun, jika saudara kaji kesemua aktiviti yang kami jalankan adalah didaftarkan. Contohnya, kalau kami membuka kedai, kami ada lesen. Jika kami membuka klinik, kami ada lesen. Sebabnya, jemaah kami adalah jemaah pengajian samalah seperti jemaah pengajian di surau atau di masjid.

Barangkali yang bedanya, jemaah masjid tidak menjalankan aktiviti tetapi kami menghasilkan aktiviti lanjutan dari pengajian kami. Atas alasan itulah, kami rasa kami tidak perlu mendaftar sebagai parti politik. Kami sebenarnya tidak ingin terbabit dalam sistem politik barat yang jelas bukan sistem ajaran Islam. Kita sendiri sudah lihat, bagaimana politik barat ini semakin membawa orang kepada pergaduhan.

Melalui sistem politik ini, tak usah kata mahu tegakkan negara Islam, di dalam parti itu juga tidak wujud suasana Islam. Kalau wujudpun, itu adalah kehendak individu bukan hasil didikan dari jemaah. Ada orang yang baik sesama jemaah, tetapi apabila kami bertanya, siapakah yang mendidik dirinya, jawabnya adalah hasil dari usaha sendiri dan bukan hasil daripada didikan jemaah.

S: Berkenaan Negara Islam PAS.

J: Kita menghendaki bukan saja Malaysia menjadi negara Islam tetapi juga dunia ini menjadi Islam. Kita hendak menunjukkan Islam itu bertaraf sejagat tetapi Islam sejagat itu tidak akan wujud jika tiada negara contoh. Katakan kita semua warganegara Malaysia, orang-orang Islam dan bercita-cita Islam. Kita cuba wujudkan negara Islam dahulu. Jika negara Malaysia Islam ini bagus, sudah tentu ada negara yang ingin mencontohinya.

Kami di Darul Arqam sedang berjuang ke arah itu demi untuk menegakkan sebuah negara Islam cara kami iaitu menanam iman melalui individu, rumahtangga, jemaah kami dan masyarakat umum. Atas alasan itulah kami mempraktikkan dua cara. Orang yang datang kepada kami, kami didik. Yang belum datang kami dakwah. Bila yang didakwah itu datang, kami didik. Insan yang kami didik inilah, yang kami ajak mereka membangunkan dan menanam material di dalam jemaah.

Mungkin jika perkembangan pesat ini berlaku dalam pembangunan kita, kemajuan kita, maka tamadun kita berjemaah ini nanti mungkin akan jadi ikutan kepada jemaah yang lain. Keadaan ini sebenarnya sudahpun bermula. Setidak-tidaknya perubahan individu sudah berlaku kepada masyarakat kita di Malaysia. Dari yang tidak pakai tudung, sudah pakai tudung. Dari yang tidak meramaikan masjid, sudah meramaikan masjid. Daripada yang tidak menutup aurat, sudah menutup Aurat. Malah mereka mungkin lebih banyak daripada jemaah Arqam kerana jemaah Arqam bukan banyak 6000 sahaja di seluruh dunia (senyum). Yang ramainya simpati (ketawa).

S: Mengenai menyertai parti politi lain.

J: Saya dah dapat sekarang apa yang saya perjuangkan. Oleh itu buat apa saya masuk parti dia orang (ketawa). Sekarang ni, kami kalaupun belum berjaya sampai kepada peringkat negara, sekurang-kurangnya telah menyainginya. Kita sudah ada sistem ekonomi, kegiatan pertanian, klinik, hospital, majalah dan buku. Dalam jemaah lain tidak wujud semua ini. Bagaimana kita hendak memasuki jemaah itu, jika dalam jemaah itu tidak wujud apa-apa. Rugilah (ketawa). Kalau dia ikut kita, itu okey...(ketawa).

S: Mengenai jemputan berbincang mengenai sesuatu masalah.

J: Itu biasa kami buat. Setiap hari, setiap malam, anggota jemaah Arqam sentiasa menziarah. Cuma masyarakat umum tidak tahu. Kita jumpa menteri, ahli-ahli politik, orang awam, orang ekonomi, bintang filem dan semua peringkat secara individu ke rumah mereka. Kegiatan ini lebih aktif daripada kita membuat dakwah, tetapi orang tak nampak. Saya di Singapura ni pun terpaksa buat jadual. Bukan saja setakat jemaah Darul Arqam ini saja berjumpa saya, tetapi juga menteri dari Malaysia yang tidak perlu saya sebutkan namanya.

Ahli parlimen juga ada mengunjungi saya bukan saja dari parti pembangkang juga dari pihak kerajaan. Mungkin kedatangan saudara berdua juga orang tidak tahu, kerana ia tidak didedahkan. Kita sentiasa ziarah menziarahi antara satu dengan lain untuk berbincang mengenai semua aspek termasuklah sasterawan dari Singapura dan Malaysia.

S: Mengenai konsep pendekatan Islamiah Darul Arqam.

J: Pada kami semua orang duduk di tempat masing-masing. Tok Penghulu duduklah di kerusinya. Wakil rakyat duduklah di kerusinya. Begitu juga dengan menteri dan sultan. Kami datang berdakwah dengan bertemu semua golongan termasuk menteri bukan nak ambil kerusi tetapi nak ambil hatinya kerana apabila hatinya sudah beriman dan akalnya sudah menerima Islam. dia akan berubah sendiri.

Bukannya bererti negara Islam, saya yang menjadi menteri dan orang Arqam memerintah. Tidak..! Kalau orang Arqam sendiri tidak bersedia dan beriman, walaupun dia ada cita-cita Islam, tidak akan wujud negara Islam. Kami bukan nak tawan kerusi, tapi nak tawan hati orang.

Rasullullah SAW dulupun bukan nak tawan kerusi orang tapi nak tawan hati. Khalid Al Walid satu lagi contohnya. Sahabat-sahabat menawan hati Khalid bukan menawan kedudukannya sebagai panglima perang kaum jahiliah. Menteri jadilah menteri. Yang penting jiwanya berubah. Seorang pendakwah hanya menyampaikan ajaran Islam sebab kami fikir hendak menegakkan negara Islam bukan ajaran Islam kerana menegakkan negara Islam itu fardhu Kifayah bukan melibatkan individu sahaja.

Dalam soal negara Islam, bukan semua orang terlibat. Seorang saja memerintah sudah cukup. Tetapi kalau orang yang memerintah itu mempunyai cita-cita Islam, tetapi tidak beriman tak boleh sebab kami dah lihat. Sebuah badan Islam yang bercorak siasah bertanding dalam pilihanraya. Apabila menang kerusi, jadi taukey-taukey. Kalau dulu serban ada ekor di belakang, tapi sekarang ekor sudah ada di depan (tali leher) (ketawa kecil). Dulu nampak 'moyok' saja, tapi sekarang ni dah pakai 'bush jacket'. Dapat lima kerusi dah mengeluh soal dunia. Rumah sewa dah ada beberapa buah. Kalau orang macam itu menguasai negara, sudah tentu wang masuk poket.

Kami di Darul Arqam, tidak akan mengambil dan memerintah negara. Ahli kami bukan semuanya alim. Bukan semuanya pandai. Dalam 6000 ahli, saya ingat nak cari lima orang menteri pun tak ada (ketawa). Maksud kami, menteri yang faham Islam. Yang ada iman. Kalau sekadar menteri-menteri yang ada di dunia sekarang ni, bolehlah. Kami mahukan seorang menteri yang menjalankan pentadbiran kementerian secara Islam.

Kalau jadi pemerintah pula, kami terpaksa berhubung dengan dunia luar sama ada negara Islam dan bukan Islam. Setidak-tidaknya kami hendak melantik 50 orang duta. Tapi dalam Arqam nak cari lima dutapun tak boleh dari segi pentadbiran secara Islam. Takut-takut nanti hantar ke Jepun sebagai Duta Malaysia, dia jadi orang Jepun. Hantar ke Amerika, dia jadi orang Amerika. Sudah berapa banyak duta-duta negara Islam yang jadi macam tu..(ketawa)

Ini bukan soal kedudukan atau cakap. Soalnya, sudah bersediakah orang kita. Sudah wujudkah individu-individu yang boleh memegang tampuk pemerintahan negara, sama ada wakil rakyat, hakim, menteri ataupun duta..

S: Mengenai masalah kepimpinan dan ekonomi di negara Islam.

J: Di mana-mana negara Islam, khususnya dari segi ekonomi, kerosakan masyarakat dan didik akhlak adalah sama saja. Yang berbedanya antara parah atau tidak. Dari segi ekonomi, amalan kebanyakannya tidak mengikut syarak, walaupun negara Islam yang menolak ekonomi kapitalis, tidak dapat mengelakkan benda-benda yang haram.

Sifat-sifat akhlak seperti bakhil, pemarah, gila kuasa, di mana-manapun wujud. Perpecahan di mana-manapun wujud. Ini berlaku kerana iman dan Islam itu tidak dijadikan amalan hidup dari segi zahir dan bathin.

S: Mengenai alternatif kepada sistem ekonomi sekarang.

J: Pada kita, alternatif bukan cakap! Kami laksanakan dulu kalau kami tidak suka dengan sistem ekonomi yang wujud di negara ini, kami wujudkan sistem ekonomi dalam jemaah sendiri. Walaupun pada peringkat awal belum pesat di dalam jemaah kita, setidak-tidaknya jemaah kita selamat daripada soal-soal yang bertentangan dengan ajaran Islam di dalam sistem ekonomi.

Namun kami yakin, dalam jangka masa panjang, setelah sistem ekonomi Islam kami bergerak dengan lancar dan agak menonjol, kami rasa tidak mustahil kalau jemaah lain dan masyarakat umum akan meniru. Pada kami bukan teori, bukan cakap, bukan saranan tapi kami laksanakan dulu.

Namun setakat ini kami tidak mengharapkan masyarakat umum mengikut sistem kami kerana belum cukup kuat atau menonjol. Kalau 10 tahun atau 20 tahun, ia telah berkembang pesat, tidak perlulah kami sarankan lagi. Orang ramai tentu hendak yang baik. Mereka akan ikut kami.

Buktinya, sewaktu kami memperjuangkan pakaian serban, jubah, purdah, bukan saja orang perseorangan tetapi juga ahli politik menganggapnya soal itu soal kecil dan tidak perlu difikirkan. Mereka mahukan Islam internasional dan membangunkan umat yang bertaraf sejagat.

Sekarang, berapa ramai orang yang pakai serban dan menutup aurat..kenapa? Kerana kami laksanakan. Bila orang nampak baik, orang ikut. Tak perlu kami sarankan ia menjadi pakaian alternatif yang bukan berdasarkan laungan saja, tetapi perlaksanaan.

S: Mengenai jawatan Perdana Menteri.

J: Kita sebagai orang Islam harus melaksanakan kewajipan kepada Allah. Kami hanya berjuang. Akan jadi pemimpin atau tidak bukan soalnya. Apa yang penting, kami hendak beribadat kepada Allah. Selepas beribadah, Allah nak tonjolkan kami jadi pemimpin, kami tak tolak. Kami minta minta sangat tidak. Macam orang politik sekarang, melobi-lobi menaikkan dirinya untuk jadi pemimpin. Ini kami tidak mahu. Itu tidak ada rahmat.

Perdana Menteri ...(ketawa). Cita-cita sebutir zarahpun tak ada. Cita-cita saya ialah hendak menjadi orang yang soleh. Kalau Allah bagi dan kami dah cukup syarat, kami tidak akan tolak. Dengar tu.... Kami tidak akan tolak...Saya sebut-sebut banyak kali tu (ketawa..)


Catatan:

Pada saya visi Ustaz Ashaari begitu istimewa dan sewajarnya menjadi contoh kepada semua orang yang bercita-cita besar membangunkan satu masyarakat Melayu Islam khususnya dalam bidang ekonomi. Mungkin ada sesuatu kebaikan yang boleh dicontohi dari usaha dan pejuangannya ini dan semoga kita tidak mencampuradukkan visnya ekonominya dengan aqidahnya. Semoga Allah SWT mengampunkan segala dosa-dosanya dan menempatkan rohnya di kalangan orang-orang Soleh dan dikasihiNya. Amin.Al-fatehah.


AKAN DATANG:
MENAMATKAN PENGAJIAN MA

No comments:

Post a Comment