Iklan

Monday, February 22, 2010

Belakang Tabir di Belakang Tabir Kembara Seniman Jalanan

" Nasib baik kau buat program tu. Kalau tidak malu kita semua," zahir Sharkawi Jirim Pengurus dan Ketua Unit Sukan tv3 kepada saya ketika bertembung di kantin kecil TV3, beberapa hari selepas hari Raya Aidil Adha 1985.

Beliau maksudkan program untuk slot Majalah 3, Belakang Tabir Kembara Seniman Jalanan (BTKSJ).

" Kenapa pulak bos? " tanya saya.
" Kau tahu, kita semua terlupa pasal Hari Raya. Terlupa langsung nak buat program khas," tambah Sharkawi lagi. " Nasib baik ada Kembara Seniman Jalanan."
" Banyak kali ulang siar tahu. Konon atas permintaan ramai orang yang tidak sempat menonton,' zahir teman Sharkawi yang duduk di sebelahnya.

Terasa bangga juga dikatakan begitu. Namun sebenarnya, saya tidak tahu akan letak semua perkara kerana saya balik JB rumah mentua sempena raya. JB tiada siaran TV3 ketika itu. Tambahan pula, BTKSJ dibuat, sekadar memenuhi slot semasa Majalah 3 bersama dua bahan lagi untuk sebelum dan selepas cuti hari raya, bagi membolehkan kami cuti agak panjang sedikit.

Idea menzahirkan program BTKSJ tercetus lanjutan dari perbualan saya dengan teman saya Rohana, salah seorang karyawan teknikal di unit konti TV3. Rohana isteri Nasir Jani. Menurut Rohana, Nasir sedang mengarahkan sebuah filem berjudul Kembara Seniman Jalanan (KSJ) dengan pelaku utama, artis sedang meningkat naik ketika itu M. Nasir, dR Sam Rasputin dan Amy Search.

Dengan keinginan membuat eksperimen dan bantuan Rohana, saya menemui Nasir Jani. Melalui Nasir Jani, rakaman eksklusif temubual dengan artis-artis itu berjaya dilakukan. Kami turut merakam aktiviti pengarahan dan penerbitan filem KSJ. Rohana bersama Azali dan Borhan Ahmad (Penolong Penerbit baru), membantu memilih 'footages' yang sesuai untuk dimuatkan dalam dokumentari ini.

(Kami kurang pasti, sama ada konsep dokumentari 'belakang tabir' ini adalah yang pertama atau tidak di Malaysia ketika itu).

Kemuncak dari filem KSJ adalah konsert besar-besaran di Taman Tasik Perdana. Kami meminta Azam Ketua Jurukamera BES, menghimpun lima kumpulan crew penggambaran untuk bersedia pada malamnya di Taman Tasik Perdana. Tiga kumpulan berada di belakang, kiri dan kanan untuk merakam establish shot, long shots dan medium shots dan dua krew berada berhampiran pentas untuk close-up. Mereka benar-benar bertugas hingga santak subuh hari.

Rasanya, inilah satu-satunya projek kecil yang tiba-tiba menjadi besar yang membabitkan Majalah 3. Kalau ukuran zahir, umum merasakan kami menggunakan peralatan canggih seperti Out Bound Van (OB Van), tetapi apa yang sebenarnya berlaku adalah, satu kesungguhan, komitmen dan sikap bekerjasama yang jitu, antara kalangan tenaga kreatif dan teknikal dengan menggunakan peralatan single kamera bagi setiap krew.

Memandangkan Salleh ketika itu sedang bercuti selama dua minggu dan saya sebagai kakitangan yang paling kanan, maka urusan penerbitan penuh diambilalih oleh saya sendiri. Hasil pandangan banyak pihak, dan sebagaimana kelazimannya, maka saya meletakkan nama saya sebagai 'Penerbit' dan Salleh sebagai Penerbit Penyelaras untuk ketiga-tiga episod Majalah 3 itu.

Mungkin saya tersilap tafsir, namun jauh dalam hati , saya sebenarnya berhasrat mengambil peluang ketiadaan Salleh untuk memperlihatkan kemampuan saya yang sebenar, dengan harapan pihak pengurusan dapat mempertimbangkan semula gaji asas yang diberikan kepada saya.

Ternyata harapan itu menjadi kenyataan tidak lama kemudian apabila saya mendapat penyelarasan gaji dengan kenaikan sebanyak tujuh peratus , satu jumlah yang masih rendah dari gaji saya ketika di Universiti Malaya dulu. Lebih menarik lagi pihak penerbit termasuk Salleh pula diberikan pelarasan gaji melebihi 40 peratus.

Tidak lama kemudiannya kesemua Penerbit telah dinaikkan pangkat sebagai Penerbit Kanan. Gaji mereka dinaikkan sekali lagi. Anehnya, jawatan Penerbit yang dikosongkan oleh mereka tidak langsung diisikan sehingga lebih setahun kemudian khususnya selepas saya meninggalkan TV3.

(Suka juga saya tanya kenapa ya?).

Ternyata, 'dosa besar saya' kerana meletakkan nama sebagai Penerbit, memberi satu implikasi buruk terhadap masa hadapan dan karier saya di unit Ehwal Semasa Tv3. Hubungan saya dengan Salleh, sudah semakin dingin dan saya kerap mendengar pandangan sinis dari banyak pihak yang 'bersimpati' dengan Salleh, seolah-olah saya sudah gila kuasa dan mahu merampas jawatan itu dari Salleh.

Bagi slot Majalah 3 seterusnya, Salleh meletakkan kembali namanya sebagai Penerbit, sementara saya lucunya tidak dikembalikan kepada jawatan lama Penolong Penerbit, tetapi diletakkan sebagai Penerbit Penyelaras. Selepas empat eposid kemudian, barulah Salleh menyedari kesilapan yang dilakukannya (mungkin atas teguran banyak pihak) kerana jawatan Penerbit Eksekutif atau Penerbit Penyelaras adalah lebih kanan daripada jawatan Penerbit itu sendiri.

Nama saya kembali diletakkan sebagai Penerbit, dan Salleh kembali dengan Penerbit Eksekutif atau Penerbit Penyelarasnya.

Ternyata, keadaan itu tidak bertahan lama. Tidak lama kemudian, saya dipanggil Haji Subohi, Pengurus BES untuk mengadapnya. Salleh turut berada di sebelahnya.

Haji Subohi memaklumkan kepada saya, mulai hari itu, tenaga saya tidak lagi diperlukan di Majalah 3 dan saya dipindahkan ke unit wartawan dan memegang peranan sebagai reporter Berita TV3. Saya difahamkan kemudian, Salleh telah menemui seorang pengganti saya yang lebih hebat, orang Filem Negara dan berpengalaman luas dalam penerbitan filem dokumentari. Haji Hashim namanya.

Tiada alasan yang diberikan terhadap perpindahan itu dan secara ukuran zahir, walaupun gaji tidak berubah saya sudah diturunkan pangkat, mungkin atas satu 'dosa besar' saya pernah saya lakukan yang mencemar kredibiliti pihak BES umumnya dan Salleh khasnya di Majalah 3.

Tengku Mahmud kelihatan gembira dengan kehadiran saya ke unit berita kerana saya dapat membantu menyediakan bahan-bahan berunsur human interest dalam sajian kandungan bahan beritanya. Tetapi bagi saya, sejak perpindahan itu, saya mula menghitung hari dan menilai diri, sama ada akan terus kekal di TV3 atau mencari peluang lain yang lebih abadi.

Tetapi, stesen TV swasta manakah selain RTM yang ada ketika itu yang boleh saya tawarkan diri bagi meneruskan keghairahan untuk berkarya dan menghasilkan dokumentari TV?

Hampir setahun lamanya saya di unit berita. Akhirnya dengan perasaan yang terlalu mencengkam serta fikiran yang semakin berkecamuk, saya akhirnya mengambil keputusan mengundurkan diri dan meninggalkan satu bidang kerjaya yang amat saya senangi.

Prestasi Majalah 3, khabarnya selepas ketiadaan saya, semakin merundum dengan amat teruk sekali. Kehadiran Wan Zaleha Radzi pada tahun 1987 berjaya memulihkan jasadnya. Tapi Majalah 3 di bawah Wan Zaleha, bukan seperti Majalah 3 yang lebih berteraskan Dokumentari TV. Majalah 3 baru, lebih memberikan pendekatan laporan pemberitaan dari perspektif kewartawan TV serta bertepatan dengan konsep Majalah TV yang sebenarnya.

Jumpa lagi.

akan datang: 12 BULAN MENGHAMBAT REZEKI

Sunday, February 7, 2010

Pak Samad : Aku Bukan Komunis !!!.

(SATU 'TRIBUTE' UNTUK PAK SAMAD)

Azali menggamit saya, sebaik saja saya tiba pagi itu di bilik kecil 14 x 10. Saya baru balik dari membuat rakaman tiga bahan di Johor termasuk kisah Pak Omar Badhan 100 Tahun - Saja je..."

" Ada cerita panas,' zahir Azali dalam nada yang separuh lucu.


" Panas? Apa yang panas tu?" tanya saya sedikit seronok ingin tahu kerana sebagai karyawan yang sentiasa berada di lapangan, saya tidak banyak berpeluang mengetahui sebarang perkembangan terbaru di bilik berita atau TV3 termasuk sebarang gosip baru jika ada.


Azali menggereng saya ke bilik sebelah iaitu bilik berita. Dia meminta saya 'mengamati' jika ada kelainan di sana. Saya seperti orang bodoh cuba memerhati dan mencari, tetapi masih tidak dapat menangkap butir maksud kata-kata Azali. Cuma suasana bilik berita yang umumnya kecoh dengan bunyi ketak-ketik mesin taip Pak Samad dan bunyi bising mulutnya mengarah dan 'mencaruti' anak-anak didiknya, sudah tidak kedengaran di mana-mana.

Suasana ketika itu amat berlainan dan seolah-olah bilik berita, baru saja meratapi suatu kematian
.


Ketiadaan Pak Samad di bilik berita ketika itu, bukanlah sesuatu yang aneh. Beliau kerap juga berbuat begitu, sekiranya ada tugasan lain yang perlu dilakukannya seperti menghadiri mesyuarat dan sebagainya.
" Tak mungkin, Azali maksudkan Pak Samad," bisik hati saya.

" Tak nampak apa bedanya Zali, Apa yang hot ni? ' tanya saya tidak sabar lagi.

" Jom, abang belanja saya breakfast. Nanti saya ceritakan," jawab Azali yang isterinya orang kampung saya sendiri iaitu Solok Duku, Masjid Tanah.

Kami beriringan keluar untuk sarapan pagi. Ketika bersarapan itulah, Azali memberitahu beberapa hari lalu, Pak Samad mengamuk sakan. Telefon di mejanya dihempaskan ke lantai dan beliau terus menyepaknya dengan geram. Pak Samad kemudian terus meninggalkan bilik berita dan sehingga ketika itu kelibatnya tidak kelihatan di mana-mana.

Perkara ini berlaku, pada akhir Februari atau awal Mac tahun 1985.


" Kenapa Pak Samad tinggalkan kita begitu saja. Kitakan masih belajar dengan dia?" tanya saya penuh aneh dengan sikap dan tindakan Pak Samad itu.
Azali hanya menggeleng-gelengkan kepala kerana masih belum faham letak semua perkara. Namun, dari apa yang saya dengari kemudiannya, Pak Samad dikatakan sudah mula menyerapkan ideologi 'komunis' di kalangan anak-anak didiknya.

Hampir mahu ketawa saya melihat lelucon yang sedang merayapi kamar Berita dan Ehwal Semasa TV3 dan stesen TV3 itu sendiri mengenai Pak Samad dan 'ideologi komunis'nya sebagaimana yang dinyatakan oleh beberapa orang hebat di unit BESTV3.


Saya juga tahu Pak Samad pernah dipenjarakan sebanyak tiga kali dan kali terakhir pada zaman Tun Hussien Onn sebagai Perdana Menteri dan Tun Ghazali Shafie Menteri Dalam Negeri kerana ' dipercayai' masih menganuti ideologi komunis yang amat membahayakan.

Mungkinkah begitu? Jadi kenapa Che Det Perdana Menteri baru , membebaskannya sebelum habis edahnya dalam penjara dulu?

Semasa di bangku sekolah lagi, buku-buku cereka Pak Samad seperti Patah Sayap Terbang Juga, Tembok Tidak Tinggi, Kalau Kail Panjang Sejengkal ada dalam perpustakaan sekolah dan telah habis saya baca. Jadi, ideologi yang ada unsur-unsur komunisme, pastinya sudah lama terserap di kalangan anak-anak sekolah seperti saya, begitu? Justeru, kenapa buku-buku itu tidak dibakar saja?

Memang tidak saya nafikan, ada bahan-bahan berita yang disajikan Pak Samad dalam Berita TV3, boleh ditafsirkan 'membuka pekung di dada pemerintah'. Berita-berita yang sedikit sensasi ini, mungkin ditafsir oleh orang-orang bijak pandai dan berkepentingan sebagai 'anti-establishment' dan tidak pro-pemerintah. Justeru, kewujudan Pak Samad sebagai penasihat berita dan ehwal semasa TV3 adalah sesuatu yang 'amat membahayakan' kepentingan pemerintah waktu itu.


Tetapi, bukankah begitu seharusnya perilaku seseorang yang berjiwa wartawan tulen?


Apatah lagi, TV3 ketika itu, diwar-warkan sebagai sebuah stesen TV yang bebas dan berkecuali. Dan bukankah, dengan adanya TV3 dan berita TV3 ketika itu, berupaya ' mencelikkan' mata semua YB-YB atau ahli-ahli korporat, yang selama itu, lanjutan dari dasar DEB menjadi kaya-raya dengan sekelip mata, hingga mengetepikan anak-anak bangsanya yang berusaha menumpang secubit rezeki dari kejayaan dan kehebatan mereka?


Bukankah dengan adanya TV3 dan Berita TV3, setiap kelompok yang disentuh, sepatutnya akan mula kembali untuk mengmuhasabah diri dan melihat akan semua kesilapan dan cuba memperbaiki dan memperbetulkan diri sendiri, sebelum rakyat yang sejak sekian lama diajar menjadi 'pengangguk nombor satu', bangkit membuat calitan pangkah pada saingannya dan bukan pada nama tokoh-tokoh yang berhormat yang kononnya 'paling dihormati'?

Sejarah pilihanraya 2008 bukankah satu daripada buktinya?

Tentu saja, tidak wajar, bagi kalangan yang dikatakan sebagai 'anti-establishment' atau yang suka mempersoalkan atau mempertikaikan sesuatu perkara yang ada kaitan dengan pemerintah dan orang yang berkuasa, dianggap kelompok yang 'membahayakan' dan membawa kemudharatan.

Tentu saja, seseorang yang berfikiran kritis dan tidak mengiyakan pandangan satu pihak, tidak adil dianggap sebagai pro pihak yang satu lagi. Bukankah, falsafah wartawan tulen itu berlandaskan hukum Allah, iaitu yang benar itu benar dan yang salah itu salah, tidak kira di pihak kerajaan atau pembangkang.

Bukankah demikian seharusnya sikap dan peranan orang seperti kami ? Bukankah ada banyak akta-akta yang boleh mengheret kami ke muka pengadilan, jika kami melebihi daripada apa yang sewajarnya dilaporkan?


Rasanya pasti ada faktor lain.

TV3 dan unit berita dan ehwal semasa TV3 ketika itu, boleh diibaratkan sebagai seorang anak dara sunti yang amat cantik dan sangat menggiurkan. Setiap orang pasti mahu memiliknya walau dengan apa cara sekalipun. Menguasai anak dara sunti itu pasti mengundang cemburu dan rasa keangkuhan. Atau tepatnya, menguasai TV3 bererti menguasai minda khalayak audien dan masyarakat Malaysia keseluruhannya.

Mungkin itulah dosa besar Pak Samad di TV3 lanjutan dari kegerunan bayangannya dalam episod silam.
Kehadirannya, ternyata mula membina satu kelompok wartawan muda yang semakin berani menentang sifat kewartawan 'arus perdana'. Justeru, orang sebegini begitu berbahaya dan perlu disekat sebelum menjadi wabak yang pastinya akan menghancurkan 'negara' atau tepatnya 'menghancurkan mereka yang sedang berkuasa'.


Soalnya, bukankah dengan pendekatan-pendekatan baru beliau dalam berita TV3, dengan sekelip mata, telah menjadikan pemegang saham TV3 kaya-raya dan menjadi media yang amat berpengaruh di sekitar Lembah Kelang ketika itu?


Soalnya, bukankah sewajarnya begitu yang harus dilakukan oleh setiap stesen media baru yang mula mencari tapak dalam saingan pasaran media dan perlumbaan mencari pengaruh dan pengiklanan, bagi memastikan survivalnya. Lihat saja apa yang berlaku dengan TV4 (atau TV8), TV 7 dan TV9, sebelum diambilalih oleh Media Prima. Mungkinkah, kalau ada orang seperti Pak Samad, TV4, TV7 dan TV9 mampu berdiri di kaki sendiri dan tidak 'terhegeh-hegeh' memohon kesihan belas dari TV3?


Tidak hairan juga, apabila Pak Samad 'disingkirkan' dari TV3, Berita Tv3 sudah mula menjadi wadah media yang baik dan bersopan-santun belaka malah lebih santun dan berbudi bahasa dari RTM. Cara pengupasannya sudah mula berhati-hati kerana sebarang kesilapan dan 'melanggari etika kewartawan' sebagaimana digariskan 'pemilik'nya bukan 'akta', pasti mengundang celaka.

Dan, jika ada yang berani, bersiap-sedialah untuk 'di-coolstorage'kan oleh mereka yang menjadi ' wakil khas' dari para pemegang sahamnya.


Sebenarnya, 'penyingkiran' Pak Samad menjadi 'tuah yang datang bergolek' di kalangan peneraju Bilik Berita dan Ehwal Semasa ketika itu. Selama kehadiran Pak Samad, yang menjadi Penasihat Editorial' dan sekaligus 'Assignment Editor', pihak pengurusan dari Pengurus dan Penerbit tidak berani berkutik apa-apa. Segala pemilihan bahan, dan penyajian bahan dan persembahan bahan ditentukan oleh Pak Samad sendiri.

Tidak hairan, kalau kalangan wartawan atau reporter sama ada di Bilik Berita atau Ehwal Semasa, boleh ditafsirkan sebagai 'anak didik' Pak Samad dan tergolong sebagai ' pucuk-pucuk' yang amat membahayakan masa hadapan 'negara' kononnya, (atau masa hadapan pemegang sahamnya).


Ternyata, pada tahap itu, bermulalah 'budaya menjejak bangkai' di TV3 dan budaya buruk itu kemudian terus kelihatan apabila berlaku perubahan 'pemegang saham' yang membabitkan NST dan team Pak Sheik pada tahun berikutnya. Lanjutan dari itu, mulalah tercerna bibit-bibit budaya 'Team A, Team B dan Team C (team berkecuali) yang ada kaitannya dengan masalah UMNO ketika itu.

Budaya buruk itu kemudiannya terus melumuri budaya dan dunia 'kewartawan' kita sehingga ke hari ini.


Demikianlah, apabila suatu hari anggaran beberapa minggu kemudian, ( bilik berita dan ehwal semasa telah berpindah ke bangunan baru di bilik bersebelahan), saya dan Azali bertembung dengan Pak Samad yang baru tiba dengan kereta BMW hijaunya. Pak Samad mempunyai bilik di bangunan sama iaitu berhampiran dengan pejabat Berita Harian Publishing di tingkat atas.

Kami menyambut dan bersalaman dengan Pak Samad. Wajah yang ' tidak murah senyum' itu menyambutnya dengan biasa.


" Mana kaupergi. Lama tak nampak,' zahir orang tua itu. Dua minggu, sebelum 'penyingkiran'nya, Pak Samad menghantar saya membuat satu dokumentari ' Pusat Pemulihan Dadah Sungai Mercong', di Bukit Ibam Pahang. Sehari sebelum TX, ramai pegawai KDN, hadir menonton video bahan itu di stesen TV3, sebelum diluluskan untuk siaran pada hari berikutnya.


" Macam biasalah Pak Samad. 'Kena buang daerah'. Cari bahan. Ni baru balik dari Melaka,' jawab saya.

" Bukan kau saja-saja lari dari aku? Aku kan komunis...!!!!" sinis Pak Samad.

Kami berdua agak terkejut dengan kata-katanya itu.
" Kenapa pulak kami nak kata begitu. Kami tak tahu menahu, apa yang terjadi dan kenapa Pak Samad tiada lagi di bilik berita." luah saya dengan rasa yang sedikit sedih.

Beliau lalu mengajak saya dan Azali ke biliknya. Anehnya, perbualan kami, tidak banyak berkisar kepada masalah dirinya dicop sebagai komunis. Pak Samad lebih banyak berbual tentang pengalamannya dan banyak menasihati kami tentang hidup dalam dunia kewartawan. Pada akhir pertemuan itu Pak Samad berkata dan kekal jadi ingatan saya hingga ke hari ini.

" Aku bukan komunis tahu. Aku bukan komunis...!!!!" lahirnya agak geram campur sedih.

Itulah kali terakhir, saya berguru dengan Pak Samad. Sesekali, saya temuinya di Jabatan Pengajian Media Universiti Malaya, beberapa tahun kemudian, (beliau menjadi pensyarah jemputan) ketika saya menyambung pelajaran MA di sana. Kali terakhir saya bertemu beliau, ketika Wani, anak saya membuat folio sejarah Tingkatan 2, mengenai seorang tokoh iaitu Pak Samad di bangunan NST Jalan Riong, Bangsar anggaran tahun 2000.

Ketika itu, ingatannya sudah semakin luntur dan Pak Samad sudah semakin uzur.


Pada ruangan ini, ingin saya rakamkan ribuan terima kasih tidak terhingga kepada keluarga Pak Samad, bagi pihak arwah Pak Samad kerana memberikan kesempatan walau sedetik cuma berguru dengannya. Ternyata dengan didikannya, saya mampu survive dan terus 'hidup' selepas meninggalkan TV3.


Semoga, Allah memberkati Pak Samad dan menempati rohnya di kalangan orang-orang yang dikasihinya. Amin.


Catatan:

Seorang pelajar meminta nasihat profesornya, bidang kerjaya apakah yang paling pasti seseorang itu masuk syurga. Setelah berfikir sejenak, profesor itu menjawab, bidang kewartawan, sebab karyawan bidang ini amat diperlukan untuk melapor berita dari satu kawasan syurga ke kawasan syurga lain.

Lalu bertanyalah pelajar itu," Tapi, siapa pula yang akan menjadi pelapor untuk kawasan atau daerah satu neraka ke neraka lain?" Profesor itu pantas menjawab," Wartawan dan reporterlah juga gamaknya." Wallahualam bisawab
.


Akan datang : BELAKANG TABIR DI BELAKANG TABIR KEMBARA SENIMAN JALANAN