Iklan

Tuesday, December 28, 2010

AKBAR MEDIA MALAYSIA SEMANGAT 46


Saya menerima satu panggilan telefon dari Dr. Hamidah Abdul Hamid, penyelia saya untuk ijazah MA di Universiti Malaya. Kami berbual agak panjang juga mengenai program ijazah MA saya yang sudah terbengkalai lebih satu setengah tahun. Beliau menasihati saya, untuk meneruskan semula penulisan tesis saya atas judul " Kesan dan Pengaruh TV terhadap Remaja Melayu Malaysia."

Kajian saya ketika itu sudah memasuki peringkat 75 peratus. Kajian lapangan dan analisa kajian telah saya lakukan. Yang tinggal hanya untuk menjadikan dan menyelesaikan bahan kajian saya dalam bentuk tulisan secara ilmiah atau tesis.

" Sayang kalau Sudirman tak habiskan. Tinggal sedikit lagi kan..," nasihat beliau.

Perbualan itu, benar-benar menyedarkan saya akan matalamat dan cita-cita saya. Saya semakin sedar, betapa ada sesuatu matalamat hidup dan pencapaian peribadi yang perlu saya ladeni iaitu mendapat pengiktirafan sebagai 'orang pandai' secara rasmi. Ternyata kehidupan dalam mengejar materi hampir saja menghapuskan cita-cita dan harapan saya dan juga harapan isteri saya, Riswati.

Seketika saya mencongak dalam diri. Sudah hampir satu setengah tahun saya bersama Karangkraf. Ini bermakna sudah lebih satu tahun setengah saya memerapkan segala bahan kajian saya begitu saja dan masa untuk menyelesaikan kajian saya terbuang secara sia-sia.

Saya kembali mengamati pencapaian saya dalam bidang kewartawan media cetak melalui Majalah Eksklusif. Ternyata, konsep baru yang cuba diterapkan untuk bacaan massa, kurang diterima masyarakat. Kajian saya mendapati, kebanyakan massa begitu keliru dengan saiznya yang berbentuk tabloid. Umumnya, majalah-majalah bersifat sebegini adalah majalah populis dan majalah yang ditafsirkan sebagai majalah picisan dan hiburan.

Tidak hairan, apabila majalah ini berada di pasaran, masyarakat akademik tidak mahu mengusiknya kerana mengandaikannya sebagai majalah hiburan. Begitu juga keadaannya bagi kalangan masyarakat 'pop'. Apabila mereka membacanya dan mendapati kandungannya begitu serius dan bukan berunsur picisan dan gosip artis, mereka akan meletakkannya semula.

Inilah dilemma Majalah Eksklusif ini.

Bagaimanapun, satu yang pasti, majalah ini memang ada dibaca orang khususnya orang-orang pandai dan yang terbabit dalam bidang kewartawanan dan media. Keadaan ini terbukti apabila beberapa istilah yang mula kami paparkan dalam Majalah Eksklusif seperti " Gimik Politik", "Canggih", "Anggun" mula menjadi perkataan yang digunapakai di media-massa lain. Begitu juga dengan format penulisan laporan penyiasatan yang menggunakan mukadimah pendulu dari pengarang, serta format kronologi peristiwa dalam sesuatu laporan penyiasatan.

Saya akhirnya, mengambil keputusan drastik menamatkan perkhidmatan saya sebagai pengarang dan menyambung kembali pengajian serta memberi tumpuan untuk menghabiskan penulisan tesis untuk ijazah sarjana MA.

Saya mengharapkan, salah seorang dari wartawan saya akan meneruskan penerbitan majalah yang mengandungi bahan serius dan spara akademik itu. Malangnya, majalah itu tidak diteruskan penerbitannya, mungkin atas pelbagai sebab termasuk masalah pasaran.

Bagaimanapun, satu perkara yang menarik adalah, hampir kesemua wartawan Majalah Eksklusif, yang terdidik dalam pendekatan 'investigative reporting' dilamar oleh media cetak arus perdana. Zulkefli Bakar, Sunarti Kibat, Ali Mahmood ke Utusan Malaysia, Zulkifli Ali, Rahmat Othman, Abdul Rahman Embong ke Berita Harian, Amiruddin Mohammad menjadi pengarang di Unit Penerbitan ABIM, Zailani Ahmad ke The Star. Malah Ali Mahmood yang kini bertugas di Utusan Malaysia Pahang, pernah menerima anugerah kewartawan suatu masa lalu melalui Majalah Massa.

Selamat maju jaya untuk sahabat-sahabat saya.

Bagaimanapun, kehidupan sendiri selepas era wartawan media cetak, tidaklah sesulit sebagaimana kehidupan ketika meninggalkan TV3 dahulu. Ini kerana Riswati, ketika itu telah meneruskan kerjayanya sebagai jururawat di Subang Jaya Medical Centre sementara saya pula (sudah cerdik) kembali meneruskan kerja-kerja sambilan sebagai penyunting bahan media cetak dan melakukan tugas-tugas percetakan. Pada waktu malamnya, saya mendisiplinkan diri untuk menyelesaikan penulisan bahan ilmiah untuk thesis saya, serta seminggu sekali menghantarkannya untuk penilaian Puan Hamidah.

Suatu hari, saya tanpa sengaja bertemu dengan Sdr. Yahya Ismail, di sebuah kompleks membeli-belah. Yahya Ismail, adalah seorang penulis bebas terkenal ketika itu yang banyak menghasilkan tulisan-tulisan yang berbaur politik semasa. Beliau juga antara kolumnis saya dalam Majalah Eksklusif.

" Buat apa la ni Man," tanya beliau.
" Sambung habiskan tesis dan banyak buat kerja-kerja freelancing," jawab saya.
" Kalau macam tu, kau boleh tolong aku.." katanya. " Ada tugasan berkaitan penulisan."

Macam orang mengantuk disorongkan bantal. Saya, yang sudah lama mengenali Sdr. Yahya Ismail terus bersetuju, kerana ada tugasan bererti ada duit saku dan tambahan belanja. Dalam kata lain, jika ada sesuatu kerja yang boleh menjana pendapatan, saya pasti tidak akan menolaknya.

Sebelum berpisah, kami bertukar-tukar nombor telefon.

Beberapa hari kemudian, Yahya Ismail memanggil saya ke pejabatnya di Jalan Pantai Baru.
Kami berbual dan berbincang mengenai projek barunya itu. Ia mengenai penghasilan mini akbar untuk sebuah parti politik. Jawatan saya adalah sebagai pengarangnya. Mendengar itu, hati saya berkeriau. Saya menjadi serba-salah kerana selama ini saya sering merasakan diri saya akan sentiasa berkecuali dalam sebarang percaturan politik negara.

Kerja sebagai pengarang ini memerlukan komitmen termasuk dalam sudut merencanakan dan penyusunan bahan, pemilihan bahan dan penyuntingan. Tambahan pula, saya tidak mempunyai staf sokongan dan segalanya terpaksa buat sendiri. Keadaan ini mungkin akan mengganggu kelancaran urusan menamatkan pengajian peringkat MA saya.

Yahya Ismail meyakinkan saya, bahawa akbar mini ini, akan memberikan kebebasan kepada saya untuk berkarya dan meluahkan apa saja yang terbuku dalam hati dan tidak semestinya pro kepada parti yang menaja akbar mini itu. Saya juga diyakinkan boleh mengkritik mana-mana pihak termasuk parti yang menaja penerbitan akbar mini itu.

Selain itu, menurutnya, bahan-bahan akan lebih banyak berkaitan dengan penulisan rencana dari kalangan penulis pilihan. Kalau adapun, yang agak berat adalah berkaitan wawancara tokoh-tokoh utama. Selebihnya, banyak berkaitan dengan suntingan agar tidak melanggar etika kewartawan dan akta-akta kerajaan.

Saya akhirnya bersetuju untuk menjadi pengarang akbar mini Media Malaysia, akbar mini rasmi Parti Melayu Semangat 46.

Tidak lama kemudian, Yahya Ismail yang bertindak sebagai Ketua Pengarang, membawa saya kesebuah rumah gudang di Jalan Uthant, Off Jalan Tun Razak untuk berjumpa dengan Tengku Razaleigh Hamzah, Presiden Parti 46. Di sana, terdapat juga Datuk Rais Yatim, Timbalan Presiden, Ahmad Saberi Chik, Setiausaha Agong dan Datuk Zainal Abidin, Naib Presiden.

Pada awalnya, saya menjangkakan pertemuan itu akan berlangsung secara formal. Ternyata yang berlaku adalah sebaliknya. Tengku Razaleigh, sebagai tuan rumah menjamu kami makan tengahari dan dalam masa yang sama perbincangan bersama tokoh-tokoh besar itu berlangsung secara santai. Dalam pertemuan itu juga, kami memutuskan penerbitan akbar mini Media Malaysia akan dimulakan dalam tempoh sebulan.

Saya menemui Tengku Razaleigh beberapa kali kemudian. Salah satu darinya adalah untuk melakukan wawancara dengan beliau untuk bahan akbar mini Media Malaysia edisi pertama. Saya juga turut menemui tokoh-tokoh lain seperti Datuk Rais Yatim di pejabatnya di Jalan Tunku Abdul Rahman, berhampiran Globe Silk Store.

Kedua-dua tokoh itu, kelihatan begitu relaks dan bersahaja dan mudah untuk berbualbicara, jauh dari persepsi orang yang mereka kelihatan sebagai kalangan bangsawan yang amat susah untuk didekati. Saya amat senang dengan kedua-dua tokoh itu.

Satu perkara menarik sebelum masuk ke bilik Datuk Rais Yatim adalah di pintunya ada tertulis satu ungkapan yang berbunyi," THE BOSS IS ALWAYS RIGHT. IF THE BOSS IS WRONG, CHECK THE ABOVE CLAUSE", atau anggaran lebih kurang begitu bunyinya. Kerap juga saya tersenyum membaca pepatah itu dan hingga hari ini, pepatah itu kekal terpahat dalam hati.

Saya tidak lama bersama dengan Media Malaysia. Selepas tiga siri, saya menarik diri dan saya tidak tahu siapa yang mengambilalih tugasan itu kemudiannya. Ada dua faktor yang mungkin mendorong saya berbuat demikian. Pertamanya ada kaitan dengan gangguan kepada kelancaran saya mencapai matalamat untuk menghabiskan tesis saya dan keduanya, saya mula terasa, pembabitan diri saya dalam wadah yang ada kaitannya dengan sebuah parti politik, akan pastinya menggugat sifat berkecuali saya, khususnya sesuatu yang membabitkan organisasi politik orang Melayu.

Saya kemudiannya meneruskan lagi, tugasan lama saya sebagai freelancer .

Menjelang akhir tahun 1991, saya berjaya menghantar tesis saya untuk penilaian pemeriksa. Tiga bulan kemudian, saya menerima surat mengatakan, tesis saya diluluskan dengan bersyarat. Saya mesti membetulkan beberapa kesilapan kecil fakta dan ungkapan dan perlu menyerahkan tesis yang telah siap dibaiki, untuk membolehkan saya menerima ijazah Sarjana pada bulan Ogos 1992.

Mungkin, kerana kesibukan mencari rezeki, saya agak terabai untuk membuat pembetulan tesis. Suatu hari seorang sahabat saya Hashim Ghani seorang Penolong Pendaftar Kanan, di unit peperiksaan Universiti Malaya (ketika saya di UM dulu, jawatannya hanya sebagai seorang Kerani), menelefon saya mengenai perkara itu.

" Kau nak konvo tak tahun ni?" tanya Hashim.
" Konvo? Eh tentulah nak Shim,"
" Kalau nak, kenapa tak hantar tesis balik. Aku sekarang ni tengah nak cetak nama buku konvo. Nanti nama kau tak ada."
" Eh ya ke... Okey masukkan nama aku dalam buku. Aku hantar balik tesis dalam dua minggu."
" Betul..betul ni Man. Kau hantar tahu.."
" Okey..aku janji dengan nama Allah.."
" Kau kena hantar, tak boleh tidak tahu. Tempoh lima tahun, masa ambil MA kau berakhir bulan Jun. Kau lewat hantar, tak konvo tahu...Man."

Akhirnya tesis itu saya hantar menjelang hari terakhir tempoh pengajian lima tahun saya di Universiti Malaya.

Satu hari seorang sahabat lama saya Nik Zulkifli Nik Mohamad, yang abangnya bekas seorang Timbalan Pendaftar Universiti Malaya, menemui saya dan mengusulkan saya kembali terbabit dalam sesuatu yang berkaitan dengan bidang videografi. Menurutnya, dia mempunyai konteks dengan ramai syarikat tempatan dan bercadang untuk menerbit video korporat untuk mereka.

Saya bersetuju dengan saranannya itu serta membantunya untuk menghasilkan video-video korporat untuk syarikatnya dalam kapasiti perunding media dan bukan bekerja langsung untuk syarikatnya. Projek pertama saya dengannya adalah menerbitkan Video Koporat untuk syarikat M-System.

Pembabitan saya dalam penghasilan Video Korporat ini, ternyata menjadi katalis kebangkitan saya semula. Untuk kesekian kali, saya mula bergaul dengan ramai tenaga teknikal di luar stesen TV yang ada kaitannya dengan bidang videografi. Kalangan inilah yang kemudiannya, banyak membantu dalam pengukuhan kemahiran saya dalam satu bidang baru, penerbitan video korporat.


Akan datang:

Bermulanya era Perunding Media dan Video Korporat.





Tuesday, November 16, 2010

TEMUBUAL EKSKLUSIF DENGAN USTAZ ASHAARI

Pendahuluan.

Maaf. Agak lama juga tidak update kolom ini. Bukan apa-apa, hanya kerana masalah tugasan harian yang mendesak, khususnya pada hari-hari akhir sesi persekolahan ( akan saya nyatakan nanti apa yang sedang saya lakukan kini) hingga tidak memungkinkan saya memberikan tumpuan untuk mengisi kolom ini.

Sebagaimana yang dijanjikan, berikut adalah petikan temubual bekas wartawan saya Zulkefli Bakar dan Mokhtar Rozaidi dengan Ustaz Ashaari di Singapura. Semoga, anda dapat menghayati sebahagian dari falsafah perjuangan beliau khususnya dalam ehwal membangunkan sistem sosio-ekonomi masyarakat Islam khususnya orang Melayu di Malaysia.

Mana tahu, satu hari nanti ada sekelompok manusia Melayu yang akan mengikuti jejak beliau, cuma tanpa sesuatu yang berkaitan dengan akidah Islamiah. Amin.

Saya sendiri akan menjadi 'gate keeper' untuk penulisan ini dan yang akan dipaparkan hanyalah yang ada kaitannya dengan hal-ehwal sosio-ekonomi saja dan sedikit tentang politik jika berkaitan.

Berikut adalah temubual tersebut yang disiarkan dalam Majalah Eksklusif Bilangan 2 (Nov. 1989) dan 3 (Dis. 1989)


Soalan(S): Mengenai ke mana menghilang.

Jawapan (J) : Sebagai orang Islam, kita tentu faham, Islam adalah agama sejagat dan agama antarabangsa. Islam bukan saja agama orang Melayu saja tetapi agama kepada semua manusia di muka bumi Tuhan ini. Untuk makluman saudara, saya bersama rakan-rakan dalam Darul Arqam dengan izin Allah telah berjuang hampir setahun di luar negara untuk mengembangkan Islam. Alhamdulillah, dengan penumpuan jitu yang telah kami berikan, kami telah berjaya menubuhkan beberapa buah markas di luar negara. Antaranya di Pakistan, Mesir, New Zealand, Australia, Perancis, Amerika Syarikat, Thailand dan juga beberapa daerah di Indonesia.

Melalui perjuangan dan usaha ini, kami sedikit banyak telah berjaya menceburi pelbagai bidang sama ada pendidikan, ekonomi, pertanian dan lain-lain. Melalui bidang pendidikan, kami setakat ini telah berjaya melahirkan tidak kurang dari 300 mubaligh. Apabila bidang pendidikan kami wujudkan pada tahun 1975, pelajar-pelajar kami hanya 12 orang iaitu 6 lelaki dan 6 perempuan. Tapi kini dengan kerjasama para pejuang serta dengan simpati orang ramai, sekolah kami hampir wujud di setiap kampung. Pelajarnya pula tidak kurang daripada 3000 orang manakala bilangan guru pula seramai 700 orang.

S : Mengenai warisan kepimpinan.

J : Sebenarnya, bila-bila masa saja saya boleh kembali ke Malaysia. Cuma saya ingin menunjukkan kepada jemaah Darul Arqam, tanpa saya, kawan-kawan di Darul Arqam boleh bergerak sendiri. Saya tidak mahu seperti mana yang pernah berlaku dalam jemaah-jemaah Islam lain di Malaysia atau di mana-mana negara lainnya. Apabila pemimpin tidak ada, perjuangan mereka mati. Apabila pemimpin tidak ada, maka pemimpin yang lain tidak boleh bergerak.

Keadaan ini terbukti kini. Saya misalnya telah lebih setahun tidak berada di tanah air tapi pergerakan Darul Arqam semakin mendapat simpati dari orang ramai. Ahli-ahli Darul Arqam semakin meningkat. Pelbagai bidang yang diceburi memperlihatkan peningkatan yang memuaskan. Inilah cara kami mendidik masyarakat Islam dalam sistem pendidikan kami sendiri.

Jika jemaah kita tidak dididik, tidak diberikan kefahaman yang cukup, maka matilah perjuangan itu sebagaimana yang pernah berlaku kepada sebuah jemaah yang lain. Tidak perlulah saya sebutkan jemaah yang mana kerana sekarang ni zaman sensitif (ketawa).

S: Mengenai tafsiran istilah politik.

J: Sebenarnya politik adalah perkataan dari bahasa Latin. Kata ini bukan kata Arab. Kalau bahasa Islam ia bermaksud Siasah. Siasah dalam kamus maknanya Ilmu Pentadbiran. Oleh itu apa saja yang kita tadbir itu politiklah... Kalau ada kambing, ayam yang kita tadbir kemudian ia berkembang atau membiak itu politiklah (ketawa)... Kalau kita ada sekolah dan kita tadbir dan kemudian sekolah itu berkembang, itu juga dinamakan politik. Begitu juga dengan kampung, daerah, dan kemungkinan negara.

Kalau tidak ada satupun nak ditadbir, tapi masih mengaku dia orang politik, itu bukanlah orang politik namanya. Katakan sebuah kampung tidak ada, ekonomi tidak ada, hospital tidak ada, pertanian tidak ada. Jadi hendak tadbir apa walaupun ia mengaku dia orang politik dan berjuang dalam bidang politik. Itu bukan politik namanya.

Darul Arqam ini contohnya sedang sibuk berkecimpung dalam bidang politik kerana kami ada kambing, ada ayam, ada sekolah, ada kampung hampir 40 buah. Kalau tidak ditadbir tidak boleh hidup. Itulah fahaman saya mengenai maksud politik yang sebenarnya.

Kebanyakan kesilapan orang politik, yang paling besar, selama ini mereka tidak mendidik dan menanam rasa keimanan di dada anggota-anggotanya. Soal iman dan soal akhirat tidak langsung diambilkira. Ini bermakna pengikut-pengikutnya tidak dididik. Ertinya mental insan-insan ini tidak dibangunkan dengan fahaman Islam. Jiwanya tidak dibangunkan dengan iman. Apabila seseorang insan itu tidak dibangunkan dengan dengan iman dan mental Islam, itu bererti ia berjuang tanpa pedoman apa-apa kecuali bermain akal dan teori.

Inilah punca krisis yang menimbulkan penyakit masyarakat. Ini bukan saja dalam bidang politik tetapi juga dalam bidang ekonomi dan lain-lain. Kalau mahu dipulihkan semula, mestilah kembali kepada Allah dan Rasulnya. Ertinya dididik semula manusia ini atau dalam kata lain, iman dan mentalnya dibangunkan semula. Insan yang sudah dibangunkan ini diajak untuk bergiat dalam bidang material seperti membangunkan negara, ekonomi dan lain-lain. Barulah ia akan selamat.

Jika insan ini tidak dibangunkan, ini mungkin akan menimbulkan masalah. Insan inilah yang diharap untuk membangunkan negara dan ekonomi, tetapi dia yang akhirnya membolot kesemuanya. Segala-galanya kerana dia memandang pangkat itu lebih besar daripadanya. Inilah yang terjadi.

S: Mengenai tafsiran istilah Demokrasi ala Malaysia.

J: Demokrasi yang wujud di dunia hari ini khususnya di Malaysia adalah demokrasi barat. Bukan demokrasi yang dilahirkan oleh Islam. Dalam Islam memang ada demokrasi tetapi demokrasi terpimpin. Buktinya selepas Rasullullah, sesiapa yang menjadi pemimpin atau khalifah yang pertama tidak ditunjuk. Yang menunjuk ialah sahabat-sahabat besar. Sahabat yang terpenting iaitu sepuluh orang. Saidina Omar, Saidina Osman dan lain-lain lagi telah menerima Saidina Abu Bakar. Perlantikan itu tidak mendapat tentangan daripada rakyat jelata.

Dalam demokrasi barat, tidak. Semua orang secara tidak langsung melantik seorang pemimpin. Sama ada dia faham atau tidak apa itu demokrasi, apa itu kepimpinan dan apa itu pencalonan tidak timbul. Jika saudara 'melobi' menyuruh dia pangkah calon tertentu, dia akan pangkah walaupun dia sendiri tidak kenal siapa pemimpin itu. Dalam Islam tidaklah orang tetentu saja yang boleh jadi pemimpin. Contohnya, jika seseorang itu ada ilmu dan faham serta menjadi tempat rujukan orang ramai, orang itulah yang memilih. Rakyat jelata hanya mengikut saja.

Ini bermakna, pemilihan tidak melibatkan semua peringkat masyarakat. Jika semua sekali dilibat, ini bererti termasuklah juga orang yang tidak faham dan jahil. Kalau orang yang jahil dan tidak faham bersama-sama memikirkan soal negara, maka soal pemimpin ini akan rosak. Dalam Islam, yang mencalonkan pemimpin ini adalah orang-orang yang selama ini dihormati oleh masyarakat.

S: Mengenai kenapa Darul Arqam tidak berdaftar sebagai sebuah parti politik.

J: Kalau Darul Arqam didaftarkan sebagai sebuah parti siasah, ertinya kami samalah seperti parti siasah yang lain yang lebih condong mengikut ke barat. Ini juga bermakna, kami juga terpaksa mengorbankan prinsip. Justeru itu, selagi kami tidak dipaksa, selagi itu kami tidak akan mendaftar sebagai sebuah parti politik. Walau bagaimanapun, jika saudara kaji kesemua aktiviti yang kami jalankan adalah didaftarkan. Contohnya, kalau kami membuka kedai, kami ada lesen. Jika kami membuka klinik, kami ada lesen. Sebabnya, jemaah kami adalah jemaah pengajian samalah seperti jemaah pengajian di surau atau di masjid.

Barangkali yang bedanya, jemaah masjid tidak menjalankan aktiviti tetapi kami menghasilkan aktiviti lanjutan dari pengajian kami. Atas alasan itulah, kami rasa kami tidak perlu mendaftar sebagai parti politik. Kami sebenarnya tidak ingin terbabit dalam sistem politik barat yang jelas bukan sistem ajaran Islam. Kita sendiri sudah lihat, bagaimana politik barat ini semakin membawa orang kepada pergaduhan.

Melalui sistem politik ini, tak usah kata mahu tegakkan negara Islam, di dalam parti itu juga tidak wujud suasana Islam. Kalau wujudpun, itu adalah kehendak individu bukan hasil didikan dari jemaah. Ada orang yang baik sesama jemaah, tetapi apabila kami bertanya, siapakah yang mendidik dirinya, jawabnya adalah hasil dari usaha sendiri dan bukan hasil daripada didikan jemaah.

S: Berkenaan Negara Islam PAS.

J: Kita menghendaki bukan saja Malaysia menjadi negara Islam tetapi juga dunia ini menjadi Islam. Kita hendak menunjukkan Islam itu bertaraf sejagat tetapi Islam sejagat itu tidak akan wujud jika tiada negara contoh. Katakan kita semua warganegara Malaysia, orang-orang Islam dan bercita-cita Islam. Kita cuba wujudkan negara Islam dahulu. Jika negara Malaysia Islam ini bagus, sudah tentu ada negara yang ingin mencontohinya.

Kami di Darul Arqam sedang berjuang ke arah itu demi untuk menegakkan sebuah negara Islam cara kami iaitu menanam iman melalui individu, rumahtangga, jemaah kami dan masyarakat umum. Atas alasan itulah kami mempraktikkan dua cara. Orang yang datang kepada kami, kami didik. Yang belum datang kami dakwah. Bila yang didakwah itu datang, kami didik. Insan yang kami didik inilah, yang kami ajak mereka membangunkan dan menanam material di dalam jemaah.

Mungkin jika perkembangan pesat ini berlaku dalam pembangunan kita, kemajuan kita, maka tamadun kita berjemaah ini nanti mungkin akan jadi ikutan kepada jemaah yang lain. Keadaan ini sebenarnya sudahpun bermula. Setidak-tidaknya perubahan individu sudah berlaku kepada masyarakat kita di Malaysia. Dari yang tidak pakai tudung, sudah pakai tudung. Dari yang tidak meramaikan masjid, sudah meramaikan masjid. Daripada yang tidak menutup aurat, sudah menutup Aurat. Malah mereka mungkin lebih banyak daripada jemaah Arqam kerana jemaah Arqam bukan banyak 6000 sahaja di seluruh dunia (senyum). Yang ramainya simpati (ketawa).

S: Mengenai menyertai parti politi lain.

J: Saya dah dapat sekarang apa yang saya perjuangkan. Oleh itu buat apa saya masuk parti dia orang (ketawa). Sekarang ni, kami kalaupun belum berjaya sampai kepada peringkat negara, sekurang-kurangnya telah menyainginya. Kita sudah ada sistem ekonomi, kegiatan pertanian, klinik, hospital, majalah dan buku. Dalam jemaah lain tidak wujud semua ini. Bagaimana kita hendak memasuki jemaah itu, jika dalam jemaah itu tidak wujud apa-apa. Rugilah (ketawa). Kalau dia ikut kita, itu okey...(ketawa).

S: Mengenai jemputan berbincang mengenai sesuatu masalah.

J: Itu biasa kami buat. Setiap hari, setiap malam, anggota jemaah Arqam sentiasa menziarah. Cuma masyarakat umum tidak tahu. Kita jumpa menteri, ahli-ahli politik, orang awam, orang ekonomi, bintang filem dan semua peringkat secara individu ke rumah mereka. Kegiatan ini lebih aktif daripada kita membuat dakwah, tetapi orang tak nampak. Saya di Singapura ni pun terpaksa buat jadual. Bukan saja setakat jemaah Darul Arqam ini saja berjumpa saya, tetapi juga menteri dari Malaysia yang tidak perlu saya sebutkan namanya.

Ahli parlimen juga ada mengunjungi saya bukan saja dari parti pembangkang juga dari pihak kerajaan. Mungkin kedatangan saudara berdua juga orang tidak tahu, kerana ia tidak didedahkan. Kita sentiasa ziarah menziarahi antara satu dengan lain untuk berbincang mengenai semua aspek termasuklah sasterawan dari Singapura dan Malaysia.

S: Mengenai konsep pendekatan Islamiah Darul Arqam.

J: Pada kami semua orang duduk di tempat masing-masing. Tok Penghulu duduklah di kerusinya. Wakil rakyat duduklah di kerusinya. Begitu juga dengan menteri dan sultan. Kami datang berdakwah dengan bertemu semua golongan termasuk menteri bukan nak ambil kerusi tetapi nak ambil hatinya kerana apabila hatinya sudah beriman dan akalnya sudah menerima Islam. dia akan berubah sendiri.

Bukannya bererti negara Islam, saya yang menjadi menteri dan orang Arqam memerintah. Tidak..! Kalau orang Arqam sendiri tidak bersedia dan beriman, walaupun dia ada cita-cita Islam, tidak akan wujud negara Islam. Kami bukan nak tawan kerusi, tapi nak tawan hati orang.

Rasullullah SAW dulupun bukan nak tawan kerusi orang tapi nak tawan hati. Khalid Al Walid satu lagi contohnya. Sahabat-sahabat menawan hati Khalid bukan menawan kedudukannya sebagai panglima perang kaum jahiliah. Menteri jadilah menteri. Yang penting jiwanya berubah. Seorang pendakwah hanya menyampaikan ajaran Islam sebab kami fikir hendak menegakkan negara Islam bukan ajaran Islam kerana menegakkan negara Islam itu fardhu Kifayah bukan melibatkan individu sahaja.

Dalam soal negara Islam, bukan semua orang terlibat. Seorang saja memerintah sudah cukup. Tetapi kalau orang yang memerintah itu mempunyai cita-cita Islam, tetapi tidak beriman tak boleh sebab kami dah lihat. Sebuah badan Islam yang bercorak siasah bertanding dalam pilihanraya. Apabila menang kerusi, jadi taukey-taukey. Kalau dulu serban ada ekor di belakang, tapi sekarang ekor sudah ada di depan (tali leher) (ketawa kecil). Dulu nampak 'moyok' saja, tapi sekarang ni dah pakai 'bush jacket'. Dapat lima kerusi dah mengeluh soal dunia. Rumah sewa dah ada beberapa buah. Kalau orang macam itu menguasai negara, sudah tentu wang masuk poket.

Kami di Darul Arqam, tidak akan mengambil dan memerintah negara. Ahli kami bukan semuanya alim. Bukan semuanya pandai. Dalam 6000 ahli, saya ingat nak cari lima orang menteri pun tak ada (ketawa). Maksud kami, menteri yang faham Islam. Yang ada iman. Kalau sekadar menteri-menteri yang ada di dunia sekarang ni, bolehlah. Kami mahukan seorang menteri yang menjalankan pentadbiran kementerian secara Islam.

Kalau jadi pemerintah pula, kami terpaksa berhubung dengan dunia luar sama ada negara Islam dan bukan Islam. Setidak-tidaknya kami hendak melantik 50 orang duta. Tapi dalam Arqam nak cari lima dutapun tak boleh dari segi pentadbiran secara Islam. Takut-takut nanti hantar ke Jepun sebagai Duta Malaysia, dia jadi orang Jepun. Hantar ke Amerika, dia jadi orang Amerika. Sudah berapa banyak duta-duta negara Islam yang jadi macam tu..(ketawa)

Ini bukan soal kedudukan atau cakap. Soalnya, sudah bersediakah orang kita. Sudah wujudkah individu-individu yang boleh memegang tampuk pemerintahan negara, sama ada wakil rakyat, hakim, menteri ataupun duta..

S: Mengenai masalah kepimpinan dan ekonomi di negara Islam.

J: Di mana-mana negara Islam, khususnya dari segi ekonomi, kerosakan masyarakat dan didik akhlak adalah sama saja. Yang berbedanya antara parah atau tidak. Dari segi ekonomi, amalan kebanyakannya tidak mengikut syarak, walaupun negara Islam yang menolak ekonomi kapitalis, tidak dapat mengelakkan benda-benda yang haram.

Sifat-sifat akhlak seperti bakhil, pemarah, gila kuasa, di mana-manapun wujud. Perpecahan di mana-manapun wujud. Ini berlaku kerana iman dan Islam itu tidak dijadikan amalan hidup dari segi zahir dan bathin.

S: Mengenai alternatif kepada sistem ekonomi sekarang.

J: Pada kita, alternatif bukan cakap! Kami laksanakan dulu kalau kami tidak suka dengan sistem ekonomi yang wujud di negara ini, kami wujudkan sistem ekonomi dalam jemaah sendiri. Walaupun pada peringkat awal belum pesat di dalam jemaah kita, setidak-tidaknya jemaah kita selamat daripada soal-soal yang bertentangan dengan ajaran Islam di dalam sistem ekonomi.

Namun kami yakin, dalam jangka masa panjang, setelah sistem ekonomi Islam kami bergerak dengan lancar dan agak menonjol, kami rasa tidak mustahil kalau jemaah lain dan masyarakat umum akan meniru. Pada kami bukan teori, bukan cakap, bukan saranan tapi kami laksanakan dulu.

Namun setakat ini kami tidak mengharapkan masyarakat umum mengikut sistem kami kerana belum cukup kuat atau menonjol. Kalau 10 tahun atau 20 tahun, ia telah berkembang pesat, tidak perlulah kami sarankan lagi. Orang ramai tentu hendak yang baik. Mereka akan ikut kami.

Buktinya, sewaktu kami memperjuangkan pakaian serban, jubah, purdah, bukan saja orang perseorangan tetapi juga ahli politik menganggapnya soal itu soal kecil dan tidak perlu difikirkan. Mereka mahukan Islam internasional dan membangunkan umat yang bertaraf sejagat.

Sekarang, berapa ramai orang yang pakai serban dan menutup aurat..kenapa? Kerana kami laksanakan. Bila orang nampak baik, orang ikut. Tak perlu kami sarankan ia menjadi pakaian alternatif yang bukan berdasarkan laungan saja, tetapi perlaksanaan.

S: Mengenai jawatan Perdana Menteri.

J: Kita sebagai orang Islam harus melaksanakan kewajipan kepada Allah. Kami hanya berjuang. Akan jadi pemimpin atau tidak bukan soalnya. Apa yang penting, kami hendak beribadat kepada Allah. Selepas beribadah, Allah nak tonjolkan kami jadi pemimpin, kami tak tolak. Kami minta minta sangat tidak. Macam orang politik sekarang, melobi-lobi menaikkan dirinya untuk jadi pemimpin. Ini kami tidak mahu. Itu tidak ada rahmat.

Perdana Menteri ...(ketawa). Cita-cita sebutir zarahpun tak ada. Cita-cita saya ialah hendak menjadi orang yang soleh. Kalau Allah bagi dan kami dah cukup syarat, kami tidak akan tolak. Dengar tu.... Kami tidak akan tolak...Saya sebut-sebut banyak kali tu (ketawa..)


Catatan:

Pada saya visi Ustaz Ashaari begitu istimewa dan sewajarnya menjadi contoh kepada semua orang yang bercita-cita besar membangunkan satu masyarakat Melayu Islam khususnya dalam bidang ekonomi. Mungkin ada sesuatu kebaikan yang boleh dicontohi dari usaha dan pejuangannya ini dan semoga kita tidak mencampuradukkan visnya ekonominya dengan aqidahnya. Semoga Allah SWT mengampunkan segala dosa-dosanya dan menempatkan rohnya di kalangan orang-orang Soleh dan dikasihiNya. Amin.Al-fatehah.


AKAN DATANG:
MENAMATKAN PENGAJIAN MA

Wednesday, September 15, 2010

MENJEJAK SYEIKUL AL ARQAM


Lelaki itu kerap saya lihat di premis kumpulan Karangkraf di Taman Tun Dr Ismail bersama beberapa orang sahabatnya. Dia kerap berserban besar dan pakaian jubah kadangkala hijau atau hitam. Setiap kali kali berpapasan, yang termampu saya lakukan adalah senyum dan mengangguk senang.

Orangnya agak peramah dan kelihatan ia kenal baik dengan ramai karyawan di Karangkraf. Dari makluman yang saya terima, ramai kenalannya karyawan Karangkraf tinggal sekampung dengannya di Sungai Pencala, iaitu sebuah perkampungan Melayu bersebelahan dengan pejabat Karangkraf di Taman Tun Doktor Ismail

Saya difahami juga kemudiannya, lelaki itu adalah salah seorang anggota penting satu jemaah yang dikenali sebagai Kumpulan Al-Arqam yang tinggal di sebuah perkampungan Al-Arqam di Sungai Pencala itu. Sayangnya, saya terlupa namanya.

Pada era-era akhir 90-an, kumpulan Jemaah Al-Arqam, sudahpun menjadi satu organisasi yang agak mantap. Kumpulan ini mempunyai hampir 40 buah perkampungan Arqam di seluruh Malaysia serta rangkaian cawangan organisasi di banyak negara termasuk Singapura, Thailand, Indonesia, beberapa negara lain di Asia dan Eropah.

Kewujudan kumpulan Al Arqam dimulakan dengan usaha yang dilakukan oleh Ustaz Ashaari yang memimpin anak-anak muda di Dato Keramat Kuala Lumpur dengan mengadakan usrah, tarbiah, dakwah dan mewujudkan gerakan persaudaraan ataupun gerakan ikhwan. Ia turut membina kekuatan rohani melalui amalan Aurad Muhammadiah.

Bermula dari tahun 1968, Ustaz Ashaari mengorak langkah dan mengemaskan lagi pimpinannya. Hasilnya pada tahun 1972, Ustaz Ashaari dan beberapa orang ikhwan telah berjaya membeli sebidang tanah di Kampung Sungai Pencala dan membina sebuah perkampungan Islam sebagai contoh kepada masyarakat Islam lainnya.

Pada tahun 1974, Ustaz Ashaari mula mengatur kursus-kursus kesedaran Islam. Pada mulanya hanya tidak lebih 20 orang yang hadir. Kemudian kursus-kursus seperti ini semakin mendapat sambutan masyarakat hinggakan pada akhir penggal persekolahan di tahun-tahun 80-an, lebih dari 3000 orang membanjiri perkampungan Darul Arqam Sungai Pencala yang seluas lima ekar itu.

Begitu juga dengan gerakan dakwah Darul Arqam. Ia dipertingkatkan dan diperluaskan dari peringkat kampung hinggalah ke universiti-universiti meliputi dari golongan buruh hinggalah kepada golongan diraja.

Pada tahun 1975, Darul Arqam telah membuka sekolah untuk anak-anak ahli diikuti pada tahun 1977, kumpulan ini mula melebarkan sayapnya dengan meneroka bidang ekonomi dan perniagaan dengan banyak membuka kilang-kilang makanan halal berteraskan Islam, membuka kedai-kedai perniagaan serta mula terbabit dalam industri media cetak dan media elektronik. Kumpulan ini kmudiannya menerbitkan akhbar Al Arqam edisi Jawi.

Pada tahun 1978, kumpulan ini mula meneroka bidang perubatan dengan membuka klinik dan mengembangkan sayap dengan membuka cawangannya di Melaka dan di Kedah. Pada tahun 1980, kumpulan ini menjadi semakin kukuh apabila mula mengembangkan sayap dakwahnya ke luar negara bermula di sekitar Asia Tenggara dan berkembang hingga ke Eropah. Pada zaman kemuncaknya Kumpulan Al-Arqam mempunyai 24 markas di serata dunia.

Di Indonesia misalnya, organisasi ini menjadi begitu kukuh dan mantap apabila mereka berupaya mewujudkan puluhan kilang-kilang memproses makanan halal di Jakata hingga ke Acheh di samping mewujudkan peluang-peluang perniagaan dan pekerjaan kepada kalangan jemaahnya.

Pengaruh Al-Arqam yang semakin kukuh dan melebar di serata negara dan dunia, telah menarik ramai pemuka negara untuk mendampingi organisasi ini. Bagaimanapun, organisasi Islam ini, akhirnya mula dicurigai oleh banyak pihak. Mulalah Al Arqam, dilihat sebagai satu ancaman kepada kalangan yang berkuasa.

Ketika itulah mulalah timbul isu fahaman Aurat Muhammadiah yang menyeleweng dari aqidah Islam yang sebenarnya. Syeikul Arqam ketika itu dikatakan sudah cenderung ke arah mainan politik dan mempunyai hasrat untuk mewujudkan sebuah negara Islam mengikut acuan dan pendekatan Al Arqam serta bercita-cita besar menjadi Perdana Menteri Malaysia.

Pada awal tahun-tahun 90-an itulah, banyak kisah mengaitkan kegiatan Al-Arqam. Al Arqam dikatakan sudah menjadi satu pertubuhan haram dan para pemimpinnya sudah mula mendapat perhatian dari KDN dan kemungkinan Ustaz Ashaari akan ditahan di bawah ISA. Masyarakat umum sudah mula bertanya-tanya ke mana menghilangnya Ustaz Ashaari kerana kelibatnya sudah lama tidak kelihatan dalam negeri.

Demikianlah suatu hari, saya saja-saja mengambil kesempatan untuk berbual dengan kenalan baru saya dari kumpulan Al Arqam itu apabila dia kelihatannya mula mesra dengan saya. Saya cuba mengorek tentang organisasi serta perkembangan organisasi yang dikatakan semakin menjurus kepada pertubuhan haram itu.

" Di mana Ustaz Ashaari sekarang..?'' tanya saya. " Dengar tak ada dalam negara kan..?' tanya saya bersahaja.
'Ada. Tetapi sekarang ni banyak kat luar negara. Cawangan kita kan banyak serata dunia. Jadi ustaz sekejap ke sini, sekejap ke sana. Sekejap ke Thailang, sekejap ke Eropah...' lahirnya bersahaja juga dan sedikit mesra.
' Betul ke ustaz dalam perhatian ISA..?' saya menjolok lagi.
' Siapa cakap...tak adalah. Ustaz macam biasa ... sibuk...banyak urusannya...nanti ustaz balik ke Malaysia tu...., 'zahirnya sambil ketawa kecil.
" Boleh saya interview Ustaz Ashaari...' akhirnya saya zahirkan apa yang sejak begitu lama terbuku dalam hati saya.

Lelaki itu tiba-tiba terdiam dan memandang tajam kepada mata saya, Dia seperti tidak percaya apa yang saya tuturkan. Agak lama dia begitu.

' Betul ke nak interview ustaz..?' tanyanya agak ragu-ragu.
' Kenapa tidak. Tolong aturkan pertemuan dengan ustaz di mana-mana kalau beliau ada di KL ni...,' balas saya.
Lelaki itu kemudiannya tersenyum senang. Dia berjanji akan datang semula dan akan memberikan jawapannya beberapa hari kemudian.

Sebenarnya, keinginan saya menemubual ustaz, tidaklah kepada masalah organisasi itu yang dikatakan menjurus kepada organisasi haram serta mengamalkan aqidah Islam yang terpesong iaitu Aurat Muhammadiah. Saya ketika itu, lebih tertarik kepada struktur organisasinya yang berjaya mewujudkan satu addin atau satu cara hidup Islam yang sebenarnya tanpa banyak menagih simpati dari orang lain.

Saya melihat, bagaimana melalui kepimpinan Ustaz Ashaari, dapat menzahirkan banyak aktiviti-aktiviti ekonomi di samping banyak mewujudkan perniagaan-perniagaan teras termasuk media serta mula mampu menyaingi usahawan-usahawan bangsa asing di Malaysia hingga melangkaui serata dunia.

Pada era kepimpinan Ustaz Ashaari, banyak kilang-kilang dan kedai-kedai Islam Melayu yang diwujudkan. Begitu juga sifatnya dengan kewujudan banyak kumpulan-kumpulan seni alternatif walaupun genre muziknya berunsur nasyid seperti kumpulan Rabbani. Saya juga melihat wujudnya banyak klinik-klinik perubatan dan sekolah-sekolah rendah dan menengah Islam.

Segalanya bertolak dari aspek kekuatan ukhwan dan kerjasama dan saling bantu membantu antara sesama ahli jemaah dan dalam aspek ini adalah kumpulan Al Arqam.

(Saya berharap kalangan anda yang membaca tulisan ini, tidaklah melihat tulisan ini, sebagai satu usaha untuk kembali mendewa-dewakan UstazAshaari. Apa yang saya cuba perlihatkan adalah, pernah suatu masa lalu wujud satu organisasi Islam, yang berjaya membina satu pendekatan dalam memajukan dan meningkatkan taraf hidup serta membantu mewujudkan ramai pengusaha Islam Melayu melalui satu konsep atau pendekatan yang berteraskan Ukhuwah Islamiah.

Justeru, janganlah jika berlaku kesilapan dalam pemafahaman aqidah islamiyahnya, kita terus menutup hati untuk tidak memperakukan betapa Ustaz Ashaari adalah seorang visionary yang berjaya membentuk satu kelompok masyarakat usahawan Islam Melayu. Lanjutan dari visionnya inilah, kita dapat melihat kini ramai usahawan-usahawan Melayu Islam yang berjaya menyaingi kalangan masyarakat perdagangan dari kaum lain.

Mungkin juga, jika adalah satu organisasi Islam/ Melayu dalam pendekatan ekonomi sebagaimana yang dipelopori Ustaz Ashaari, kini, usaha saya untuk mewujudkan satu rangkaian masyarakat Melayu Islam yang membabitkan diri dalam perniagaan yang amat berpotensi besar iaitu membuat piala dan cenderamata sukan dan produk premium, mungkin akan menjadi kenyataan.)

Beberapa hari kemudian, lelaki itu datang menemui saya semula. Wajahnya girang dan bibirnya sentiasa merekah senyuman.

' Bagaimana..?' tanya saya tidak sabar. 'Ustaz setuju?' tambah saya lagi.
' Kami dah bincang dengan Ustaz. Dia setuju. Tapi bukan di KL tapi di luar negeri. Ustaz ada di luar negeri....Apa kata tiga hari lagi..?'
' Luar negeri? Tiga hari lagi..? Baiklah. Kami juga setuju,' zahir saya lagi. ' Nanti ustaz hubungi saya balik.'

Persetujuan itu benar-benar menggembirakan saya. Bagaimanapun, saya ketika itu menghadapai dua masalah. Pertama, saya perlu ada di pejabat kerana urusan penerbitan majalah Eksklusif untuk akhir bulan itu dan keduanya saya tidak mempunyai pasport antarabangsa.

Akhirnya, setelah berbincang dengan wartawan-wartawan saya, maka saya memutuskan untuk menghantar Zulkefli Bakar dan Moktar Rozaidi untuk menemui Ustaz Ashaari. Sebelumnya, kami berbincang akan beberapa aspek yang perlu ditekankan dalam temubual eksklusif itu. Kedua-dua wartawan saya itu kelihatannya sudah bersiap-sedia.

Tiga hari kemudian, kami menerima telefon dari lelaki itu. Dia memaklumkan temubual itu akan diadakan di suatu tempat di Singapura. Pihak kami diminta untuk berada di Johor Bharu pada tempat dan masa yang ditentukan. Kedua-dua wartawan saya segera bertolak ke Johor Bharu pada hari itu juga.

Sebaik tiba di Johor Bharu, sebuah van dengan beberapa orang yang memakai jubah telah sedia menunggu. Tanpa berlengah lagi, mereka terus dibawa mememasuki bumi Singapura. Bagaimanapun, saya difahamkan kemudian, sebaik masuk ke Singapura, mereka dibawa berlegar-legar beberapa jam dan ditutupi mata dan hanya dibuka setelah tiba di perkarangan premis di mana Ustaz Ashaari menginap.


AKAN DATANG

Petikan dari temubual eksklusif dengan Ustaz Ashaari.

Tuesday, August 31, 2010

TEORI POLITIK BINATANG MAGING DAN MAUN


Siri ketiga dan mungkin terakhir tentang delimma orang Melayu ini, biar saya sentuh mengenai hubungan 'silaturrahim' antara tiga parti politik tempatan iaitu PAS, PKR dan DAP. Ketiga-tiga organisasi politik ini, pastinya mempunyai falsafah perjuangan yang begitu berbeda walaupun matalamatnya adalah sama iaitu untuk mengambilalih pemerintahan dari kerajaan Barisan Nasional.

Dalam istilah mudah, ketiga-tiga organisasi ini walaupun tidur satu bantal, tetapi mempunyai mimpi yang berlainan.

Paparan mengenai TEORI BINATANG MAGING dan MAUN pernah dibangkitkan secara bersama dengan bekas wartawan saya, yang kini menjadi menjadi wartawan kanan di Utusan Malaysia, Zulkefli Bakar, dalam majalah Eksklusif keluaran pertama 1990. Cuma bedanya, ketika itu, peranan PKR adalah milik Parti Melayu Semangat 46 (S46) di bawah pimpinan Tengku Razaleigh Hamzah (Ku Li).

Saya paparkan petikan dari tulisan 20 tahun lalu itu untuk renungan kita bersama dan cubalah kaitkan dengan senario politik kita hari ini. Pada hemat saya, sifat dan perkembangannya tidak jauh berbeda. Cuma peranan S46 dulu diambilalih oleh PKR serta paparan kemungkinan parti-parti politik PAS, DAP memerintah di negeri -negeri telah menjadi kenyataan.

Bagaimanapun, persoalan pokok tentang sifat kerjasama gabungan parti-parti ini ternyata masih sama dan tidak berubah. Saya dengan rendah hati menyerahkan untuk bahan fikir dan pertimbangan anda semua khususnya orang Melayu.


TEORI BINATANG MAGING DAN MAUN

........ Naib Pengerusi DAP, Encik Ahmad Nor pernah berkata, DAP sedia menyerahkan teraju pemerintahan negara kepada Semangat 46, jika gabungan mereka berjaya di dalam pilihanraya nanti. Kini persoalan mula timbul, apakah benar DAP akan menyerahkan teraju pemerintahan negara kepada Semangat 46 atau kenyataan ini hanyalah satu sandiwara politik sahaja?

Atau apakah mungkin sandiwara itu hanya satu adegan kecil drama sebabak percaturan politik negara, di mana kesimpulan dan akhirannya, amat susah untuk diramal.

Masyarakat umum sebenarnya terlalu ingin tahu, bagaimanakah nanti sifat kerjasama yang telah ditentukan oleh S46, PAS dan DAP. Kaum Melayu sama ada dari UMNO, PAS atau MAP (Melayu Atas Pagar), selama ini sentiasa menaruh perasaan curiga akan tindak tanduk DAP yang keterlaluan memperjuangkan konsep Malaysian-Malaysianya.

Walaupun DAP telah memberi jaminan akan menyerahkan kepada S46 untuk memerintah negara ini, ia tidaklah mudah untuk meyakinkan mereka. Di dalam percaturan politik, apa saja boleh berlaku. Tambahan pula masyarakat umum sedar, S46, PAS dan DAP mempunyai aliran falsafah perjuangan yang amat berbeda. Perbedaan antara mereka begitu ketara sekali, hingga tidak memungkinkan antara satu sama lain bersatu dalam mewujudkan satu konsep falsafah organisasi yang serupa.

Andaian hubungan ketiga-tiga parti ini boleh disamakan dengan kisah binatang MAGING (makan daging) dan MAUN (Makan Daun)

Secara teori dan praktikalnya, adalah tidak mungkin binatang Maging boleh tinggal sekandang dengan binatang Maun. Adalah satu hakikat, binatang Maun akan seringkali merasa curiga akan kehadiran binatang Maging ini, kerana pada bila-bila masa dan jika terlalai, tengkoknya pasti akan dikerobek oleh binatang itu.

Tidak hairan juga, jika binatang Maging ini kerapkali jarang ingin bersama binatang maging yang lain, kerana sifat mereka saling bertentangan dan saling berebutan mangsa serta kerap ingin mendominasi sesuatu kawasan.

Keadaan tidak sama dengan binatang Maun. Mereka lebih mampu untuk tinggal sekandang walaupun mempunyai sifat tubuh yang pelbagai-bagai, kerana mereka jarang risau jika terlalai sekalipun, tengkuk mereka tidak akan dibaham oleh binatang maun yang lain.

Kedua-dua analogi ini, amat menarik jika diandaikan hubungan dan pertalian di antara S46, DAP dan PAS yang masing-masing mempunyai sifat maging dan maun tadi. Namun tidak juga dinafikan, kedua-dua jenis binatang ini masih mampu atau berupaya untuk tinggal sekandang dalam zoo atau sarkis sebagai binatang peliharaan yang telah dijinakkan.

Soalnya kini, apakah S46, PAS dan DAP , sudah menjadi atau sudah terlatih menjadi binatang zoo atau sarkis yang sudah dijinakkan serta sudah bersedia untuk bersatu hati dengan tujuan dan matalamat perjuangan yang serupa?

Dan kalau ada, siapakah jurulatihnya yang sentiasa memegang tongkat dan cemetinya?

Kemungkinan yang lebih tepat, kewujudan persefahaman ini lebih berunsurkan konsep pemerintahan 'pecah dan perintah'. Mereka hanya akan bersatu, dalam soal-soal yang melibatkan kepentingan bersama. Dalam kata lain, mereka hanya mampu bersekutu, dengan setiap parti gabungan mempunyai otonomi masing-masing dalam menjalankan dasar pemerintahan di kawasan atau negeri yang dimenangi oleh mereka.

Mungkin corak pemerintahan gabungan Angkatan boleh diandaikan seperti ini. S46 memegang tampuk pemerintahan negara kerana mempunyai majoriti di Parlimen, sementara PAS dan DAP memerintah di negeri-negeri di mana mereka mempunyai kekuatan atau kelebihan kerusi.

Sebagai satu syarat kerjasama, S46 mungkin memperuntukkan sekurang-kurangnya taraf Menteri Kanan kepada kerabatnya, kalau tidak jawatan Timbalan Perdana Menteri . Sebagai balasan atas kerjasama itu, anggota parti gabungan yang berjaya memerintah negeri-negeri akan memberikan kerusi Timbalan MB atau KM kalau tidak Exco Kanan anggota kerabatnya.

Soalnya, apakah kemungkinan begini sifat perjanjian yang telah diputuskan oleh kerabat Angkatan? Jika hakikat ini benar, bagaimana mungkin Ku Li, Lim Kit Siang dan Dr Fadhil Noor menjelaskan kepada umum pelbagai usaha dan kenyataan akhbar yang mlibatkan hubungan antara sesama mereka.

DAP misalnya dilaporkan enggan bekerjasama dengan PAS sekiranya PAS masih kekal dengan ideologi negara Islamnya, sementara PAS pula terang-terangan menolak untuk bekerjasama dengan DAP yang dikatakan begitu bersifat perkauman.

Apakah Ku Li sudah bersedia mengatakan bahawa kedua-dua parti umpama binatang Maging dan Maun ini, kini sudah bersedia memotong kuku, taring, belalai atau tanduk dan seterusnya sudi tinggal sekandang bagi mempraktikkan satu ideologi perjuangan yang sama?

Adakah kedua-dua organisasi politik ini sudah agak jinak kini dan tidak mempunyai kecenderungan untuk cuba pengaruh mempengaruhi atau mempergunakan antara satu sama lain bagi kepentingan peribadi dan parti untuk masa akan datang.

Inilah persoalan pokok yang perlu dijelaskan oleh Ku Li. Sekadar mengatakan Angkatan berupaya memenangi lebih 90 kerusi dan bakal mengambilalih tampuk pemerintahan negara dari BN adalah tidak cukup untuk meyakinkan pengundi khususnya orang Melayu.

Angkatan perlu menerangkan dengan jelas kepada mereka adakah DAP bersedia meneruskan amalan DEB? Mereka juga ingin tahu, jika DAP memerintah di sesetengah negeri, adakah nasib mereka adalah lebih baik dari nasib orang Melayu di Singapura?

Mereka juga wajar diyakinkan dengan keupayaan PAS memerintah jika berjaya menguasai sesetengah negeri. Adakah mungkin PAS tidak akan mengulangi sejarah pahit pemerintahan mereka di Kelantan yang dikatakan tidak begitu mahir mentadbir dengan cekap.

Begitu juga dengan S46 sendiri yang dikatakan sebagai serpihan UMNO yang mempunyai falsafah pejuangan kebangsaan atau assabiyah mengikut tafsiran PAS dulu. Adakah jika mereka berjaya memerintah kerajaan pusat, mereka akan mengamalkan sistem pemerintahan pusat atau disentralisasi? Adakah mereka hanya akan menumpukan perhatian kepada soal-soal dalam dan luar negara serta membiarkan setiap anggota parti gabungan yang berupaya memerintah negeri metadbir dengan sewenang-wenangnya?

Demikian pelbagai persoalan yang perlu dijawab oleh Angkatan khususnya Ku Li, jika beliau benar-benar ingin memastikan Angkatan memenangi pilihanraya umum akan datang. Hanya dengan penjelasan yang konkrit dan matang serta tidak merugikan mana-mana pihak terutama orang Melayu, Ku Li mampu mengubah arah dan corak pengundian rakyat Malaysia.

Ku Li harus bertindak dengan matang dalam membuat percaturan politik kerana jika tersilap langkah buruk padahnya kepada survival dan nasib orang Melayu. Apatah lagi jika percaturan itu membabitkan mereka yang bijak melakonkan watak 'wayang kulit'.

Sekadar bergantung kepada hujah-hujah yang provokatif atau sekadar mengharapkan kekuatan retorik semata-mata, Ku Li pasti akan kecewa dan hanya akan jadi bagai Pak Kaduk yang menang sorak, tapi kampung tergadai.......



Catatan Penulis :

Pada tahun 1981, wujud pertelingkahan kecil antara puak Melayu Surau (MS) dan puak Melayu Bukan Surau (MBS) bagi merebut tampuk Majlis Bersama Asrama (MBA) Kolej Kelima UM. Kedua-dua pihak berhasrat bertanding antara satu sama lain.

Sebagai pelajar yang agak berumur dan Melayu prihatin, saya menemui kedua-dua pihak serta memperlihatkan kerugian yang akan dialami oleh Melayu jika saingan ini dilakukan serta kemungkinan tampuk kuasa MBA dikuasai oleh kelompok Melayu ketiga iaitu Bukan Melayu.

Syukurnya mereka cepat insaf dan mula berkompromi. Lantas diputuskan empat jawatan utama, iaitu Presiden diberikan kepada MBS, T.Presiden MS, Setiausaha Agung MS dan exco kanan sukan MBS. Bagi jawatan-jawatan lain dan AJK tingkat dilakukan secara perbincangan kompromi antara kedua-dua puak dan dibahagikan sama rata.

Kesannya, pada tahun itu, tiada pertandingan dilakukan kerana semula calon Melayu menang tanpa bertanding.

MELAYU.. BERSATULAH..


AKAN DATANG: MENJEJAK SYEIKUL AL ARQAM