Iklan

Saturday, May 26, 2012

'MENCURI' ILMU BARU

" Tan. saya ada buka kedai baru di kampung saya,' zahir saya kepada Tan, jiran sebelah kedai saya di Plaza Metro Kajang. Tan berniaga menjual, memasang dan membuat barangan cenderahati, pakaian  dan piala sukan.


 ' Jadi, apa kata kalau saya jadi ejen awak di sana?'


Sebenarnya idea untuk mengembangkan  lagi sifat bisnes  ini sudah agak lama tercerna dalam kepala khususnya sejak saya mula membuka cawangan perniagaan di Masjid Tanah. Dalam pengamatan saya, sifat niaga ini amat berpotensi sekali kerana permintaan untuk barangan dan produk ini sentiasa ada dan berterusan, Apatah lagi saya berniaga di kampung saya sendiri di mana saya dilahirkan dan dibesarkan. Malah saya pernah bertugas sebagai pendidik di tempat itu.


Lebih menarik lagi, Masjid Tanah ketika itu, bukan sebagaimana keadaannya ketika saya tinggalkan untuk pergi merantau pada tahun 1979. Sekolah-sekolah rendah dan menengah bercambah dengan banyaknya. Begitu juga dengan kewujudan institusi pengajian tinggi, akademik dan institusi kerajaan lainnya seperti IKBN, UiTM, Kolej Islam, Kolej Matrikulasi, Akademi Laut Malaysia, Kem Masjid Tanah, Pusat Latihan Rela, Kolej Risda dan sebagainya.


 Langkah pertama, yang saya lakukan untuk memulakan sifat perniagaan perkhidmatan ini adalah dengan melabur dan membeli mesin membuat cop atau rubber stamp.Ternyata, permintaan untuk cop ini semakin meningkat setiap hari. 


Tan ternyata bersetuju dengan permintaan saya. Dia kemudiannya membekalkan saya dengan pelbagai jenis contoh piala, trofi dan medal sukan untuk saya pamerkan dalam kedai pada satu harga dasar dan memberitahu saya harga pasaran semasa untuk setiap barangan itu.


" Kenapa harganya mahal sangat?" suatu hari saya ditegur oleh seorang pelanggan kerana medal kalung biasa yang saya tawarkan ketika itu berharga RM4.50. " Ada kedai kat sana jual RM4.00 saja." tambah orang itu.


Saya tergamam seketika, apabila diberitahu yang pelanggan ini boleh mendapatkan barangan serupa pada harga sama yang diberikan Tan kepada diri saya. Justeru, dalam fikiran saya, modal barangan ini paling tinggi RM3,50 kalau segalanya dibuat oleh Tan dan modalnya lebih murah lagi jika saya boleh memasangnya sendiri.


Terasa benar Tan mempermainkan saya dan cuba mengambil kesempatan terhadap diri saya. Keadaan ini benar-benar mencabar ego saya, kerana sejak asalnya, saya  memang mahu menjadi agen kepada Tan dan tidak pernah berhasrat untuk mendalami ilmu sifat niaga sebegini.


Memandangkan permintaan terhadap medal sukan semakin berkembang di pasaran Masjid Tanah, serta lanjutan dari  sikap tidak jujur Tan, saya akhirnya terpaksa mencari alternatif baru dan mendapatkan pembekal baru. Beberapa pembekal Cina dan India di Kuala Lumpur dan Penang, ternyata memberikan harga barangan yang jauh lebih murah dari apa yang diberikan oleh Tan. Keadaan ini membolehkan saya menyaingi beberapa buah pekedai yang turut menawarkan perkhidmatan yang serupa.


Perniagaan menjual piala dan cenderamata sukan ini ternyata berjaya mewujudkan satu minat dan matalamat baru dalam hidup saya apatah lagi ketika itu, tiada lagi projek penerbitan video dokumentari.  Sebagaimana keinginan saya untuk mendalami ilmu penerbitan buku dan percetakan, saya mula banyak berfikir tentang sifat niaga ini.


" Minta tolong sangat-sangat. Saya perlukan medal sukan untuk johan hingga tempat keempat, untuk petang ni," mohon seorang pelanggan kepada saya. Wajahnya panik sungguh kerana dia tidak sempat melakukan tanggungjawabnya, kerana ada masalah keluarga di Alor Setar. Majlis penyampaian hadiah akan berlangsung pada petang itu.


Malangnya, permintaannya itu terpaksa saya tolak kerana kedai saya tidak menyediakan khidmat membuat tetapi sekadar menjual atau membekal. Saya tidak tahu apa yang berlaku kepada pelanggan saya yang keluar dari kedai saya dengan wajah panik dan hampa. Tetapi, perkara ini menimbulkan satu kesedaran akan kelemahan saya.


 Saya tahu, untuk terus kekal dalam industri ini, saya mesti mempunyai kebolehan untuk bukan saja membekal tetapi membuat atau memasang produk itu. Kesedaran inilah kemudiannya mewujudkan ' curiousity'  dan menjadi katalis bagi saya untuk mencuri ilmu serta berusaha gigih untuk mendalami ilmu ini.


Sejak hari itulah, saya banyak membaca dan mengkaji serta banyak bertanya kepada siapa saja. Maklumat asas yang saya perolehi, kemudian saya kembangkan sendiri dengan melakukan pelbagai eksperimen. Hasilnya, ternyata amat menggembirakan saya kerana akhir dari usaha itu, saya  dapat menghasilkan sesuatu produk yang hampir serupa walaupun melalui pendekatan yang berbeda. Dalam kata lain, saya berjaya menghasilkan teknik saya sendiri ketika menghasilkan sesuatu produk.


Keseronokan melakukan eksperimen ini, kemudiannya saya kembangkan kepada penghasilan produk lain seperti membuat tag nama. Selain itu, saya mula mengumpul modal dan membeli mesin-mesin manual membuat pindah imej secara iron on atas baju T, Topi, mesin membuat button badge, mesin membuat kad ID, mesin membuat tag nama secara engraving dan mesin membuat cop secara segera dan siap dalam tempoh 15 minit. 


Malah bagi mengukuhkan lagi perniagaan ini, saya turut belajar ilmu membuat saring sutera (Silk Screen) dengan sahabat saya Azmie T-Shirt  dan berpeluang mendalami ilmu membuat banner dan banting serta sulaman berkomputer dengan sahabat yang lain.


Saya yakin, dengan kepelbagaian ilmu ini dan peralatan, Anugerah Ilmu berkemampuan menghasilkan pelbagai produk media dengan segera atau MEDIA X-PRESS. 


Malah saya juga yakin, Anugerah Ilmu kini sedang memasuki fasa baru dalam strategi perancangan perkembangan perniagaannya untuk  menjadi mentor bagi projek  SATU X-PRESS MEDIA, SATU KOTA, SATU USAHAWAN MELAYU MUDA.


Insyaallah.













Thursday, February 16, 2012

PERCATURAN YANG SILAP 1 - HARAPKAN PAGAR, PAGAR MAKAN PADI.

Sepasang suami-isteri muda kelihatan berada di luar kedai saya di Plaza Metro Kajang. Mereka kelihatannya semacam serba-salah. Lama mereka berlegar-legar di luar kedai itu.

Saya tidak berapa kenal dengan kedua-duanya sebelum ini. Hanya beberapa hari lalu, pembantu rumah saya memberitahu, mereka berkongsi rumah dengannya. Mereka juga mempunyai seorang anak lelaki yang baru berumur dua tahun.

Pasangan suami isteri itu, dengan rasa amat keberatan akhirnya mara ke arah saya dan berdiri di hadapan meja saya. Saya menghulurkan salam dan mempelawa mereka duduk.

" Mamat kan (bukan nama sebenar)?" tanya saya.

Dia mengangguk sambil memandang kepada isterinya Ija (bukan nama sebenar).

" Apa cerita Mat? Ada apa-apa masalah ke?" tanya saya lagi.

Pasangan suami isteri itu kelihatan begitu serba-salah. Ija akhirnya menyeluk sesuatu dari seluarnya dan mengeluarkan seutas rantai emas. Perlakuan itu, membuat saya terkejut dan kehairanan. Isteri saya yang baru selesai melayan seorang pelanggan, turut menyertai kami.

" Apa hal ni Ija?" tanya isteri saya kepada isteri Mamat.

"Begini kak..," jawab Ija teragak-agak. " Kami ada masalah nak bayar sewa rumah. Tuan rumah beri tempoh hingga malam ini. Kalau kami tak bayar sewa, kami kena keluar rumah malam ni juga.." lanjut Ija.

" Jadi?" tanya isteri saya lagi.

" Jadi, kami ...... jadi, saya nak jual emas ini kalau akak mahu.." terusnya lagi.

Hampir terperangah saya dan isteri dibuatnya.

Untuk seketika, fikiran saya menerawang jauh. Saya terkenangkan keadaan diri saya beberapa tahun lalu. Apa yang berlaku pada Mamat dan isterinya kini adalah sesuatu yang pernah berlaku kepada kami suatu masa lalu.

Perasaan simpati saya mula membuak. Saya terasa amat kesihan dengan kehidupan yang mereka alami. Terbetik secubit perasaan untuk membantu mereka sekadar ada dan termampu.

" Berapa nak pakai? " tanya saya.

" 300.00," jawab Ija. Mamat kelihatan berdiam diri. Wajahnya mula merah. Malu.

Saya memandang ke muka isteri meminta persetujuan. Ris mengangguk. Akhirnya saya mengambil jumlah wang yang diminta dan menyerahkannya pada Ija.

" Ambillah. Tak payah gadai atau jual rantai tu. Nanti, jika ada duit, pulangkanlah.." zahir saya.

Ija mengambil wang itu, dengan wajah yang pilu. Mereka berulang-ulang kali mengucapkan terima kasih.

"Mat buat kerja apa sekarang?" tanya saya apabila Mamat meminta izin untuk melangkah pergi.
" Tak buat apa. Sesekali ikut lori angkat tong gas. Masa lain, ikut orang tukang rumah," jawabnya.

Saya mengangguk. Tiba-tiba satu ilham terbetik dalam kepala. Mungkin, manusia yang malang ini boleh saya pimpin dan latih dalam ilmu niaga yang sedang saya ceburi kini khususnya aktiviti menjual buku kaki lima di mana-mana IPT. Mungkin hidupnya boleh berubah menjadi lebih baik.

Mungkin juga bantuan ini, boleh saya andaikan sebagai 'ucapan terima kasih' atau membalas budi kepada Ilahi, kerana mendorong ramai orang untuk membantu memulihkan kehidupan saya dan keluarga sebelumnya, sehingga saya mampu berdikari dan menjadi sebagaimana hari ini.

" Selesaikan masalah kamu dulu. Esok, kalau Mamat free, datanglah jumpa abang. Boleh kita bincang pasal kerja."

Demikianlah, dari sejak hari itu, Mamat mula saya latih untuk membantu saya menjalankan perniagaan niaga barangan muslim dan niaga buku dari satu lokasi ke satu lokasi. Kelihatan benar Mamat berusaha bersungguh-sungguh untuk mengubah nasib diri dan keluarganya.

Setahun awal, Mamat memperlihatkan kesungguhan dan kejujurannya dalam berniaga. Sebagai balasan, kami sekeluarga menganggap keluarga Mamat sebagai sebahagian dari keluarga kami juga. Anaknya juga, ber'datuk' dan ber'nenek'kan 'kami. Malah acapkali, apabila anak lelakinya sakit, akan kami bawa balik ke rumah dan kami jaga hingga dia kebah dari sakit dan demamnya.

Malah pernah juga, apabila Ija selepas bersalinkan anak kedua di Hospital Kajang, kami bawanya ke rumah kami . Suaminya ketika itu sedang berjualan ke luar daerah sementara bapa saudaranya semacam tidak ambil kisah. Ris sebagai bekas jururawat turut memberikan perhatian dan bantuan, termasuk mendapatkan bidan atau tukang urut serta membeli pelbagai barangan keperluan anak dan barangan selepas bersalin.

Ketika itu, kamilah yang menjadi ibu dan bapanya sebagai galang ganti untuk ibubapanya yang tinggal jauh di Kelantan.

Pada tahun kedua, tiga tahun setelah saya membuka cawangan niaga di Masjid Tanah, saya melantik Mamat untuk menguruskan cawangan syarikat saya itu, apabila pengurus pertama meletakkan jawatan. Ketika itu, setelah lebih setahun menilai sikap dan perangai Mamat, saya benar-benar yakin Mamat adalah pilihan terbaik. Apatah lagi, Mamat dan keluarga ketika itu, bukan lagi seorang pekerja, tetapi kami anggap seperti anak kami sendiri.

Bagi membolehkan dia menguruskan perniagaan dengan baik, saya dapatkan sebuah kenderaan syarikat (van) untuknya.

Ternyata, pada peringkat awal Mamat menguruskan perniagaan dengan baik. Malah, lebih menyeronokkan lagi, keluarganya di Kedah dan keluarga isterinya di Kelantan, kerap datang ke Masjid Tanah, untuk menumpang 'tuie' Mamat yang sekarang sudah jadi 'orang' berbanding dahulu yang kerjanya tidak lain ' menyusahkan' orang atau keluarganya sendiri. Mereka berulang-ulang kali mengucapkan terima kasih kepada kami, kerana mengubah nasib Mamat menjadi orang lebih baik.

Malah, Mamat ketika itu sudah mampu menyewa rumah teres serta melengkapkan rumahnya dengan barangan rumah yang seharusnya ada untuk taraf orang berkeluarga.

Kepercayaan saya kepada Mamat ketika itu amat tinggi. Saya benar-benar yakin, Mamat tidak lama lagi, akan mampu berdikari. Saya juga telah membayangkan kepada Mamat, betapa apabila tiba masanya, Mamat pastinya akan saya bantu di mana termampu untuk menjadi seorang usahawan juga seperti saya.

Ketika itu juga, produk perniagaan saya khususnya di kedai Masjid Tanah, sudah semakin saya kembangkan dan pelbagaikan. Bidang niaga baru meliputi penjualan dan pembuatan barangan keperluan sukan seperti membuat trofi, piala dan medal dan cenderamata (premium) juga barangan keperluan pejabat seperti membuat 'rubberstamp', tag nama termasuk Kad ID dan saring sutera (Silk Screen).

Pastinya Mamat, orang yang bertuah menerima didikan ilmu dari saya, walaupun pada dasarnya dia hanya belajar hingga ke tahap sekolah dasar tahun 6 dan tidak pernah menjejakkan kaki ke peringkat sekolah menengah.

Saya tidak pernah meragukan kesetiaan dan kejujuranMamat. Atas alasan itulah, saya dari selang sehari datang untuk lawatan kerja ke cawangan kedai di Masjid Tanah, Melaka, sudah mula menjadikannya seminggu sekali.

Malangnya, orang bernama Mamat ini, ternyata seorang yang tidak pernah belajar dari kesilapan lampau dan orang yang tidak sedar dek untung. Kemewahan hidupnya ketika bersama saya, mula membuatkan dia terlupa akan asal-usulnya.

Dia mula berkawan dengan orang-orang yang silap. Dia sudah mula menakal dengan perempuan lain dari isterinya serta mula memperlihatkan sikap-sikap yang merugikan dirinya dan syarikat. Kejujurannya dalam menguruskan perniagaan yang diamanahkan kepadanya sudah semakin longgar. Dia sudah mula menyelewang.

Suatu hari, pada malam menjelang hari raya puasa, Mamat tiba di rumah saya di Kajang, dalam perjalanan pulang ke rumah isterinya di Kelantan. Dia menyerahkan wang jualan untuk tempoh empat hari terakhir bulan Ramadhan. Selain itu, dia menyerahkan juga catatan buku jualan.

" Berapa jumlahnya Mamat?" tanya saya.
" Lapan Ribu."
" Cukup semuanya lapan ribu?"
" Cukup lapan ribu. Yang lain dah serahkan dahulu," jawabnya.

Memandangkan, Mamat sedang bergegas untuk kembali ke Kelantan, maka saya menarik dari jumlah itu wang sebanyak RM2000 dan memberikan kepadanya. Wang itu adalah sebagai gaji bulanannya serta sebahagian bonus untuk tempoh niaga sepanjang bulan puasa.

Setelah Mamat meneruskan perjalanan, saya mula mengira baki wang yang ada yang sepatutnya RM6000. Anehnya, jumlah wang yang ada, masih juga berbaki RM 8000.00. Ini bermakna, wang yang diserahkan kepada saya sebelumnya adalah RM10,000 dan bukan RM8,000 sebagaimana sepatutnya.

Anehnya juga, Mamat yang selalunya mengambil cuti rihat selama seuluh hari setiap hari raya, untuk ke Kelantan dan kemudian ke Kedah, tiba-tiba muncul tiga hari kemudian di Kajang dan meminta buku catatan jualan terdahulu. Menurutnya, dia sengaja memendekkan cuti, kerana tidak sabar untuk memulakan perniagaan semula.

Terkilas ikan di air, saya terperasan akan jantan atau betinanya.

Peristiwa ini ternyata membuka minda dan kesedaran saya. Pelbagai kemungkinan mula menyesak fikiran saya. Dan kesimpulannya, saya mula tersedar, pagar yang selama ini, saya harapkan, ternyata pagar itu pula mula memakan padi yang saya tanam itu.

Sejak hari itu, saya mula menjalankan penyiasatan secara diam-diam, takut kalau-kalau saya tersilap percaturan dan menuduh orang yang selama ini begitu setia dengan diri saya. Saya melakukan audit sendiri di premis niaga di Masjid Tanah. Saya menggunakan beberapa sahabat untuk mengintip dan menyiasat perilaku dan perangai Mamat.

Hasil yang saya temui begitu menakutkan. Penyelewengan Mamat sudah mencapai paras bahaya. Lebih buruk, dia mula bersekongkol dan bersubahat dengan ramai 'musuh niaga' atau saingan niaga saya dan mendedahkan pelbagai maklumat dan rahsia perniagaan saya daripada soal pembekal produk bahan mentah, strategi pemasaran saya serta teknik dan cara saya menghasilkan sesuatu produk.

Selain itu, Mamat sudah mula pandai mengambil produk niaga dari orang lain atau tepatnya saingan niaga saya dan menjual atas dasar komisyen, tanpa pengetahuan saya. Siasatan saya juga mendapati, barangan kedai saya telah diambil dan diniagakan secara wewenang tanpa sebarang catatan dan rekod.

Lebih buruk lagi, Mamat didapati sudah mendaftarkan sebuah syarikat sendiri yang mirip dengan nama syarikat saya Anugerah Ilmu Enterprise, iaitu " Anugerah Niaga Enterprise". Alamatnya juga sama menggunakan alamat kedai saya.

Hampir 3 bulan lamanya, saya mengambil masa untuk mengintip sikap laku Mamat. Akhirnya, suatu hari, saya memanggil Mamat dan berbincang dengannya mengenai segala apa yang dilakukan serta hasrat saya untuk membebaskannya bagi membolehkannya memulakan perniagaannya sendiri.

Sebagaimana janji saya dahulu untuk membantunya berniaga, maka saya memberikan pinjaman berupa barangan niaga dalam lingkungan RM10,000 serta meminjamkannya sebuah van yang dikira secara sewa bulanan RM500. Malangnya, van itu terpaksa saya tarik balik empat bulan kemudian, apabila Mamat tidak langsung membayar semula pinjaman barangan dan sewa van sebagaimana yang dijanjikannya. Dan lebih, menarik lagi, setelah itu, Mamat yang membuat pinjaman kenderaan (van baru), terus ghaib dan meninggalkan bumi Masjid Tanah, buat selama-lamanya.

Kali terakhir, anggaran lima tahun lalu, saya bertembung dengan Mamat tanpa sengaja di Kajang. Mamat sudah tidak lagi sehebat ketika dia bekerja dengan saya. Dia sudah kembali kepada keadaan asalnya, menjadi kelindan lori, dan memikul tong gas. Malah, anak sulungnya juga, yang pernah kami pelihara, tidak begitu menjadi dalam pelajaran dan masih tidak boleh membaca walaupun sudah hampir memasuki sekolah menengah.

Hingga hari ini saya tidak pernah berjumpa dirinya lagi. Mungkin Mamat sudah bangkit semula. Namun jauh di hati kecil saya, orang yang tidak pernah berterima kasih dengan peluang yang disedekahkan tuhan kepadanya, pastinya tidak mungkin akan sampai ke mana-mana. Wallah hualam bissawab.

RM10,000 saya lesap begitu saja. Begitu juga wang sewa van dan pinjaman RM300 pada tahap awal perkenalannya dengan saya.

Entahlah. Inilah sifat manusia. Inilah sifat Melayu, yang tidak sabar mahu segera menjadi kaya.