Iklan

Saturday, July 30, 2011

MEMBANGUN ANUGERAH ILMU


Mungkin kerana baru dan lokasi perniagaan agak kurang strategik, walaupun berhampiran pasar Kajang, perniagaan Ris agak mengambil masa untuk berkembang. Pukul rata pendapatan harian tidak sampai RM 50 sehari. Sebulan, anggaran RM1500.

Setelah ditolak sewa RM 500, air api RM 100, tinggal RM 900. Baki RM 900 pula belum ditolak modal barangan dan hal-hal lain.

" Macam mana ni bang?," zahir Riswati setelah hampir setahun menjalankan perniagaan di premis yang dipaparkan terdahulu. Keyakinannya untuk berniaga agak tergugat dengan hasil jualan harian yang sebegitu.

" Bersabarlah. Segala macam perniagaan mengambil masa untuk berkembang. Paling kurang tiga tahun untuk 'break even'," pujuk saya.

" Lagipun abang yakin, pemilihan bidang niaga ini tepat untuk kawasan sekitar Kajang ni. Pertama, dari pemerhatian abang, tidak ramai orang yang jual barangan ibadah masyarakat muslim khususnya songkok. Kedua, Ris adalah pewaris sah penjual songkok untuk daerah Kajang, kerana kesemua saudara-mara kita pembuat songkok di sekitar Kajang sudah meninggal dunia, sama ada di Semenyih, di Hulu Langat atau di Bangi," zahir saya menasihat sambil mengusiknya.

"Ketiga?" lahirnya sedikit geram.

" Ketiga..." saya berfikir seketika," Ya..ketiga, Ris kan sekarang tauke bukan kuli macam dulu kan.." usik saya lagi. " Dan keempat, inilah satu-satunya perniagaan yang kita tidak perlu bersaing dengan orang Cina dan India."

Ris tersenyum senang kerana dia merasakan, saya tidak resah untuk terus membantunya meneruskan perniagaan ini.

Sesungguhnya, saya tidak pernah sangsi dengan sifat perniagaan ini kerana walaupun kedudukannya agak tersorok ke belakang, kami masih mampu mendapat jualan anggaran RM 50 sehari. Justeru, pada perkiraan saya, bukan bidang niaga yang silap, tetapi lokasi perniagaan itu yang sedikit menyulitkan untuk orang ramai mengunjunginya.

Sebenarnya, saya tidak banyak terlibat dengan bidang niaga ini. Sebagaimana yang saya nyatakan terdahulu, bakat niaga ini agak sudah berkarat. Atas alasan itulah, segala urusan perniagaan saya serahkan bulat-bulat kepada Ris. Ris sendirilah yang akan menentukan kejayaan perniagaan dan saya hanya membantu menyokong dari luar khususnya dari segi kewangan atau tambahan modal.

Ketika itu tumpuan saya lebih untuk tugasan menghasilkan video korporat. Apatah lagi pada tahun 1994 - 1996, tumpuan saya lebih kepada menghasilkan 11 projek video dokumentari untuk Memorial Tunku Abdul Rahman Putra dan lima projek video untuk Memorial Tun Abdul Razak.

Suatu hari, saya terbaca sebuah iklan di akhbar mengenai pembinaan sebuah kompleks membeli-belah pertama di Bandar Kajang iaitu Plaza Metro Kajang di atas tapak Hentian Bas Kajang lama. Memandangkan masalah perniagaan kami lebih berkaitannya dengan lokasi, saya cadangkan agar Ris menyewa salah satu premis di Kompleks itu.

" Sewa bulanannya agak mahal. Tingkat bawah RM 5000 ke atas dan tingkat dua semua RM 3000 ke atas sebulan. Mana kita mampu," jawab Riswati. "Kalau ada pun tingkat 3. Itupun dah RM 1000 lebih," tambah Ris lagi.

" Kalau kita nak berniaga, sewanya jangan kita tengok secara bulan. Tentu nampak mahal. Tapi kalau kira hari, bererti sekadar RM50 sehari. Sekarang ni, dengan lokasi macam nipun, kita dapat RM50. Sewa hariannya agaran RM20 termasuk air api," saya lahirkan pandangan.

" Apa kata, dengan lokasi perniagaan yang baik, kita dapat jualan harian RM 100 sehari. Bererti RM3000 sebulan. Tolak sewa RM1500, masih ada RM1500 lagi. RM1500 kan lebih baik dari RM900 di kedai ini," tambah saya lagi memujuk. " Itu kalau dapatan harian hitung panjang seratus sehari. Apa kata kalau RM200. Bererti RM6000 sebulan. Tolak RM1500 sewa, ada baki RM4500."

Riswati terdiam seketika. Lama dia berfikir tentang falsafah niaga impromto saya, yang zahir secara tiba-tiba.

" Kalau tak dapat RM100 sehari macam mana. Nanti kita rugi lagi kan. Ini niaga kompleks. Orang Melayu tak berani masuk niaga di kompleks" zahirnya kurang yakin.

" Tak apalah kalau tak dapat macam tu. Itu bererti tiada rezeki. Mungkin kita boleh cari tempat lain yang lebih sesuai. Tapi abang yakin, lokasi ini di tengah bandar dan bisnes kita boleh maju. Tambahan lagi, kita tak pakai modal banyak. Barang-barang niaga sekarang kita pindahkan saja ke situ. Modal pokok hanya sewa satu bulan dan cagaran dua bulan. Semuanya anggaran RM4500. Itu kan lebih murah dari sewa mula dan deposit kedai ini. Tentang deposit, kita ambil semula duit kita dari tuan punya kedai ini."

Riswati akhirnya memberikan persetujuan untuk mendapatkan premis perniagaan baru di Plaza Metro Kajang. Esoknya, kami menemui syarikat pembinaan itu dan permohonan kami diterima.

"Apa kata kita jual buku agama dan novel Melayu sekali ?" tanya saya kepada Riswati suatu hari.

" Macam mana nak cari pembekalnya?"

" Abang rasa tak sulit. Kawan abang Hushammudin bos Karangkraf tempat abang kerja dulu, boleh abang minta bekalkan novel Alaf 20. Begitu juga dengan kawan abang Jaafar Taib, bos Creative Enterprise kerana abang ada kerja part time editor novel dulu dengan dia. Tentang buku-buku agama, nanti abang minta Zul (sahabat saya) rekomenkan dengan Kamal toke syarikat buku Al-Hidayah. Dan buku-buku dari Toko Bajrai, kita minta tolong ayah Ris rekomenkan dan jadi penjamin," jawab saya lagi.

Ris akhirnya bersetuju dengan cadangan itu, walaupun ada raut gelisah di wajahnya kerana tambahan produk jualan bererti bertambahnya hutang dalam perniagaan.

" Anggaran berapa ribu ringgit nak buku ni," tanya Pak Jaafar Bajrai suatu hari, ketika Ris dan ayahnya serta saya, menemui beliau di kedainya di Batu Pahat.

" Dua tiga ribu cukup rasanya. Tak berani ambil lebih-lebih," jawab Ris.

" Tak apalah. Saya bagi barang dalam 5 hingga 6 ribu. Bayar mula selepas empat bulan boleh. Tiap-tiap bulan seribu. Boleh?" zahir Pak Jaafar Bajrai.

Agaknya berderau darah Ris waktu itu, kerana saya merasakan dia agak terkejut dengan tawaran Pak Jaafar yang tidak disangka-sangka. Ris memandang saya, memohon persetujuan. Saya mengangguk. Apatah lagi saya yakin, sekiranya berlaku sesuatu, saya masih mampu membantu mencukupkan modal dan membayar hutangnya. Apatah lagi cadangan pemindahan premis niaga ini datangnya dari saya.

Justeru, menjelang Plaza Metro Kajang dibuka secara 'soft opening', kedai Riswati, tidak lagi khusus kepada barangan keperluan masyarakat Muslim, malah turut ditambah dengan pelbagai jenis buku agama dan novel hasil sokongan teman-teman. Kami mengucapkan ribuan terima kasih atas keyakinan mereka terhadap usahawan baru ini.

Menjelang pertengahan akhir tahun 1996, kami telah memulakan perniagaan di premis baru di Plaza Metro Kajang. Di kompleks perniagaan itu, kelihatan tidak ramai orang Melayu yang berani berniaga. Kebanyakannya usahawan kaum Cina. Beberapa kerat orang Melayu, mengambil premis di tingkat bawah milik MPKj yang dikhaskan untuk bumiputra yang mempunyai sewa yang jauh lebih murah dari sewa sepatutnya (sesuatu yang saya tidak sedar akan kewujudannya).

Ternyata telahan saya amat tepat sekali.

Sepanjang hari, khususnya pada hujung-hujung minggu, begitu ramai orang mengunjungi kompleks perniagaan berhawa dingin itu hingga kelihatan kesesakan yang amat sangat. Memandangkan itulah satu-satunya kompleks perniagaan di daerah Kajang ketika itu, tidak hairan sekiranya para pengunjungnya datang dari semua kawasan sejauh Bangi, Semenyih, Hulu Langat dan Jalan Cheras.

Ternyata, limpahan pengunjung itu sedikit banyak membantu meningkatkan jualan harian perniagaan kami. Kebanyakan pelanggan kami melahirkan rasa gembira akan kewujudan konsep perniagaan sebegini iaitu mengkhususkan barangan keperluan orang Islam, kerana sifat perniagaan sebegitu amat jarang ada khususnya di daerah Kajang.

Peningkatan perniagaan yang amat mendadak itu, ternyata melegakan hati Riswati. Kelihatannya, sejak hari itu, dia kerap tersenyum panjang.

Suatu hari, pegawai promosi kompleks, meminta bantuan saya untuk mencadangkan satu aktiviti yang boleh membantu memeriahkan suasana di kompleks itu. Saya rasakan, ini juga satu kesempatan terbaik untuk memantapkan jenama Anugerah Ilmu.

Untuk itu saya cadangkan, agar diadakan satu aktiviti yang saya sebut, "Seminggu Bersama Novelis dan Kartunis". Ternyata cadangan saya dipersetujui dan pihak kompleks bersetuju untuk membiayai aktiviti itu. Sebagai imbalan, saya diberikan peluang untuk menjual buku di kawasan lapang berhampiran dengan pentas.

Aktiviti itu berjalan dengan amat baik sekali. Saya mendapat sokongan dari ramai sahabat-sahabat kartunis saya dari Majalah Gila-Gila dan Batu Api ketika itu. Malah, saya juga mengaturkan aktiviti sejenak bersama Novelis popular termasuk Achdiat Akhasah.

Lebih menarik lagi, saya mendapat satu idea baru untuk mengembangkan perniagaan menjual buku saya. Tidak lama, selepas aktiviti bersama novelis dan kartunis ini, dan kerana hubungan baik saya dengan pihak pengurusan kompleks, saya memohon dan diberikan peluang menjual buku secara terbuka di laluan kaki lima antara tengah-tengah kedai atau premis perniagaan di tingkat dua.

Ternyata, konsep penjualan buku secara terbuka di kaki lima memberikan kesan positif kepada perniagaan saya. Buat pertama kali, saya belajar dan mengkaji sikap dan sifat pembeli. Ternyata sekali, mereka lebih seronok dan bebas untuk membelek atau membeli buku di kaki-kaki lima daripada masuk untuk membeli atau mencari buku dalam premis atau kedai.

Keseronokan dalam membangunkan perniagaan ini, jelas sekali menjadi katalis dalam mencerna semangat untuk terbabit sepenuh masa dalam perniagaan ini. Ternyata, bakat dalam bidang perniagaan runcit yang lama berkarat, kembali pulih sepenuhnya. Apatah lagi, tahun 1997-hingga 1998 merupakan zaman gawat dan tiada banyak projek dokumentari video.

Buat pertama kali, saya bekerjasama penuh dengan Riswati untuk membangun Anugerah Ilmu dan sekaligus mengambilalih peranan kepimpinan dalam syarikat itu. Saya menyerahkan sifat perniagaan secara berkedai kepada Ris, sementara saya mula berjinak-jinak menjadi penjual buku-buku kerohanian Islam dan novel-novel Melayu di kaki-kaki lima.

Suatu langkah dan aktiviti niaga yang tidak pernah saya kesalkan atau malu seumur hidup, walaupun saya ketika itu adalah seorang pemegang Ijazah Sarjana Sastera dari Universiti Malaya.


Akan datang: Elok-elok jadi cikgu, jadi pegawai, kau jadi macam ni Man...