Iklan

Friday, June 25, 2010

PENGARANG MAJALAH EKSKLUSIF KARANGKRAF


Agak lama juga saya berdiri di luar bangunan pejabat Karangkraf. Mata saya menerawang ke bangunan tiga tingkat itu dan tiga pintu bangunan. Hanya satu pintu dibuka untuk laluan masuk dengan pembantu keselamatan duduk di muka pintu.

" Hishamuddin sudah jadi orang hebat," bisik hati saya. " Dalam tempoh sepuluh tahun, Hisham sudah jadi macam ini."

Saya kembali terkenangkan masa anggaran 10 tahun sebelumnya. Ketika itu Hisham (baru selesai pengajian di UKM) bersama sepupunya, Nasir, mengasaskan syarikat penerbitan majalah, Karangkraf. Kalau tak silap, majalah pertama yang diterbitkan dan dijual mereka adalah majalah kanak-kanak Bintang Kecil.

Sebagaimana orang lain, saya juga punya persepsi negatif betapa usaha yang dilakukan oleh kawan saya ini, akan berakhir dengan kegagalan juga. Alasannya mudah. Industri penerbitan media cetak ketika itu dikuasai sepenuhnya oleh kaum India dan Cina. khususnya dari segi percetakan dan pemasaran. Ramai kawan-kawan saya yang terbabit dalam bidang ini terpaksa gulung tikar.

Paling tinggi, seorang Melayu boleh berjaya dalam bidang penerbitan buku adalah menjadi seorang usahawan menjual buku sebagaimana kerjaya bapa Hishamuddin di Kota Baru.

Saya yakin ketika itu, Hisham akan akhirnya terpaksa kembali ke dunia nyata dan mendapatkan kerja sebagai seorang pegawai kerajaan sebagaimana abang-abangnya.

Ternyata, saya tersalah orang.

Hishamuddin atau kini Datuk Hushamuddin, kawan sekelas saya di Maktab Adabi Kota Bharu tahun 1972-1973 ini, bukan calang-calang orang. Dia mempunyai keberanian serta daya keyakinan yang begitu tinggi. Dia seorang pemikir dan strategis yang bijaksana khususnya dalam bidang penerbitan media cetak. Satu sifatnya yang terpuji adalah, beliau bersedia bereksperimen dengan konsep dan idea baru tanpa takut mengalami kerugian.

Mahu tidak mahu, saya akhirnya melangkah masuk ke dalam bangunan itu. Sebagaimana, sifat dan keadaan dengan penerbit media cetak yang lain, kedatangan saya ke Karangkraf hanyalah sekadar mahu menjadi pengarang sambilan dan menambahkan sedikit pendapatan bulanan jika ada. Tidak lebih dari itu. Matalamat utama saya adalah untuk menamatkan pengajian MA saya dengan seberapa segera yang boleh.

Hisham menyambut saya. Kami berbual seketika sambil merungkai kisah-kisah silam ketika masih bersekolah, kawan-kawan satu darjah serta aktiviti dalam tempoh perpisahan selama 15 tahun.

" Kau pernah tengok majalah ini ?" Hisham akhirnya mengalih topik perbualan kepada maksud sebenar kedatangan saya.

Majalah bersaiz tabloid itu, mempunyai susun letak grafik dan foto seperti Majalah URTV. Cuma bedanya, kandungannya lebih serius, berkaitan isu-isu semasa dan banyak bertalian dengan 'human interest' berbanding majalah URTV yang lebih berkaitan dengan isu popular seperti hal-ehwal artis, pelakon, penyanyi dan kisah sensasi semasa. Majalah berbahasa China itu terbitan syarikat China Press.

Saya menggeleng-gelengkan kepala. Malah, saya sendiri tidak perasaan kewujudan sifat majalah sebegitu kerana selalunya majalah bersaiz tabloid adalah majalah bercirikan hiburan popular. Majalah serius selalunya bersaiz F4 atau A4. Seingat saya, selama ini, tidak pernah terdapat mana-mana majalah berbahasa Melayu dengan sifat sebegitu.

" Bagaimana kalau saya tawar you jadi pengarangnya. Saya mahu konsep penerbitan yang sebegitu. Kita boleh bekerjasama dengan China Press. Bos dia kawan saya " zahir Hisham lagi.

Fikiran saya berbolak-balik ketika itu. Saya mula jadi keliru. Kedatangan saya hanya sekadar memohon menjadi pengarang atau penulis sambilan. Tapi, Hishamuddin sebaliknya menawarkan saya satu tanggungjawab untuk mengendalikan sebuah majalah baru yang tidak pernah dibuat oleh penerbit Melayu ketika itu.

Masalahnya, jika saya bersedia menerima tawaran itu sepenuh masa , bererti saya mungkin, tidak dapat menamatkan pengajian MA dengan segera. Keduanya, saya tidak mempunyai banyak pengalaman dalam soal penerbitan media cetak bersifat sebegini, apatah lagi menjadi seorang pengarang dan ketiganya..

" Judul majalah ini EKSKLUSIF," beritahu Hishamuddin.

Dan ketiganya, judul majalah ini adalah begitu mengikat dan tidak fleksibel. Secara mudah, apabila kita menyebut Eksklusif, pemahaman audien adalah, setiap apa yang disajikan, khususnya isi kandungan mestilah sesuatu yang paling baru dan eksklusif atau tidak pernah disentuh oleh wartawan sebelumnya.

Justeru, jika saya menerima tawaran ini, saya akan berhadapan dengan dua kemungkinan. Berjaya atau gagal.

Pada perkiraan saya, sajian bahan untuk majalah sebegini, akan banyak memerlukan wartawan yang berani, kreatif dan mempunyai kecenderungan dalam bidang fotografi atau tepatnya wartawan penyiasatan. Masalahnya, saya tidak ramai kenalan dengan wartawan sebegini dan kalau adapun, kebanyakan mereka kini bertugas dengan agensi media yang mantap seperti Utusan Malaysia, Berita Harian dan The Star. Untuk mendapatkan tenaga mereka pastinya memerlukan asas gaji yang lebih baik daripada syarikat sebelumnya.

" Judulnya tidak boleh ubah ke bos?Judul ini begitu mengikat dan tidak fleksibel," tanya saya.
" Permit penerbitan ini telah diluluskan KDN. Dah lama dah. Saya hanya mencari pengarang yang sesuai. Mungkin you orangnya," jawab Hishamuddin.

Saya semakin serba-salah. Tawaran yang diberikan begitu menarik hati khususnya satu bidang baru yang amat bersesuaian dengan bidang pengajian ijazah pertama di UM dahulu. Mungkin, tawaran ini juga mampu menjadi asas kebangkitan semula saya. Namun, kerisauan saya adalah mengenai pengajian MA saya dan sifat-sifat majalah baru yang akan saya pimpin.

" Eksklusif tidak semestinya berkaitan dengan sajian bahan yang berunsur investigatif. Foto-foto yang menarik juga eksklusif. Interview dengan tokoh-tokoh utama juga eksklusif. Sifat majalah ini yang lain dari yang lain juga eksklusif. Teknik susunatur majalah dan sebagainya boleh dikategorikan sebagai lain dari yang lain juga eksklusif," zahir Hishamuddin.

" Macam-macam perkara boleh dikategorikan sebagai eksklusif seperti cara hidup, cara berpakaian. Kita majalah berita foto yang eksklusif," tambah Hisamuddin lagi.

Saya mula memahami konsep eksklusif yang sudah terbina lama dalam fikiran Hisamuddin. Kefahaman tentang konsep Majalah Eksklusif dan keyakinan, diri mampu menterjemahkan konsep Hishamuddin dalam bentuk media cetak, akhirnya membuatkan saya bersetuju menerima tawaran beliau.

Saya melaporkan diri beberapa hari kemudian.

Pada hari pertama, saya diperkenalkan dengan beberapa wartawan. Hanya Rahmat Othman, wartawan foto yang dikira agak berpengalaman selain Zulkifli Bakar dan Ali Mahmood dari akhbar Bacaria. Yang lain seperti Sunarti Kibat, Zulkifli Ali, Mokhtar, Abd Rahman Embong, dan Arie Tee adalah wartawan muda atau lepasan ITM (kini UiTM).

Menghasilkan sesuatu penerbitan baru semestinya memerlukan perancangan dan kajian yang mendalam. Apatah lagi, konsep yang cuba diutarakan adalah sesuatu yang baru bagi audien Melayu. Selain itu, kesemua tim kami terdiri dari kalangan yang tidak berpengalaman. Kami sekurang-kurang memerlukan masa tiga bulan untuk merancang dan mengumpul bahan serta mencari dan meneliti sebarang kekuatan atau kelemahan. Projek ini tidak boleh dibuat secara terburu-buru.

Ketika itu, tiga peristiwa utama sedang menjadi isu semasa. Pertamanya masalah pergolakan dalam kepimpinan UMNO dan kewujudan Parti Semangat 46 dan keduanya masalah dalam dalam Parti MIC dan ketiganya adalah persidangan Ketua-ketua Negara Komanwel di Kuala Lumpur.

Kami diminta menghasilkan edisi percubaan Majalah Eksklusif dalam tempoh satu bulan. Keadaan ini menjadikan kami agak gusar kerana, kami ketika itu masih belum bersedia dan belum menemui konsep sebenar majalah sebagaimana yang dimahukan oleh penerbit dan sebagaimana yang dimahukan oleh pembaca, kuasa yang akan membeli majalah terbitan syarikat nanti.

Mahu tidak mahu, kami terpaksa meneruskan aktiviti penerbitan itu walaupun dalam keadaan kurang bersedia.

Dalam edisi pertama atau edisi pengenalan, Sunarti Kibat dan beberapa wartawan lain menemui dan menemubual Ku Li sementara Rahmat Othman dan beberapa wartawan lain memberikan fokus dalam berita foto bergambar persidangan Ketua-ketua Negara Komenwel. Zulkifli Bakar memberikan tumpuan kepada masalah MIC.

Datuk Shahril Abdul Samad dan Baharuddin Zainal (Baha Zain) saya jemput menjadi kolumnis majalah ini.

Majalah Eksklusif edisi percubaan akhirnya menemui pasaran tidak lama selepas berakhirnya persidangan Komanwel pada Oktober atau November 1989.


Akan datang: Menjejak Ustaz Ashaari Al Arqam di Singapura

Sunday, June 6, 2010

Menjelang Pengarang di Kumpulan Karangkraf.


Paparan terdahulu mengenai "tuan ekspetriat", adalah peristiwa-peristiwa yang berlaku selepas tahun 1994.
Sebenarnya, paparan ini adalah mendahului beberapa kisah-kisah lain yang berlaku antara tahun 1988 hingga 1993 yang kekal abadi dalam lipatan kenangan saya.

Antara peristiwa-peristiwa itu adalah kelahiran Nisa pada zaman serba payah, menjadi pengarang di kumpulan karangkaraf, mendapat ijazah MA 1992 dan pengarang untuk akhbar Media Malaysia Parti Semangat 46.

Justeru, bagi membolehkan saya menyusunatur memoir diri saya, maka saya nukilan semula peristiwa dari tahun-tahun selepas 1987 hingga 1993 dari paparan kali ini dan beberapa paparan berikutnya.

Antara tempoh masa antara 1987 hingga 1989, saya banyak menumpukan masa untuk melakukan kajian bagi keperluan tesis sarjana dengan Jabatan Pengajian Media dan dengan bantuan elaun RM 700 sebulan melalui skim bantuan siswazah dari UM.

Bagi menampung tambahan pendapatan, saya banyak melakukan tugasan tambahan seperti menjadi pengarang sambilan, penyunting novel, penulis skrip, perunding media cetak dan banyak lagi kerja-kerja remeh yang tidak mungkin berupaya dilakukan oleh kebanyakan orang yang mempunyai kelulusan akademik seperti saya.

Pada saya, apa saja tugasan kasar atau halus yang boleh menjana pendapatan halal, pasti akan saya lakukan demi untuk survival diri dan keluarga. Tidak hairan, kalau saya ketika itu, sanggup memikul kotak-kotak yang penuh buku atau kertas-kertas ke kilang cetak atau menjual buku-buku agama di tepi-tepi jalan atau di pesta-pesta atau membuat kerja-kerja dengan upah beberapa keping ringgit sekalipun.

Kehidupan ketika itu amat payah dan menyulitkan. Malah lebih memedihkan, kereta ford escort saya ketika itu menjadi-jadi dengan ragamnya hingga akhirnya terdampar di bengkel kereta. Kereta itu akhirnya terpaksa dijual dengan harga tiga ribu ringgit saja dan digantikan dengan sebuah vespa buruk. Duit tiga ribu itu, saya gunakan bagi menampung kehidupan untuk bulan-bulan selanjutnya.

Ketika itu juga, Riswati sedang sarat mengandungkan anak kami yang kedua.

Berbanding dengan Wani yang lahir di Pusrawi Kuala Lumpur, Riswati, isteri saya terpaksa saya hantar ke rumah mentua di Johor Baru, menjelang kelahiran anak kedua skami. Nisa dilahirkan di hospital besar Johor Bharu pada 2 Jun 1987 dan ditempatkan di wad 3. Suasana wad itu begitu sesak dan agak kelamkabut. Keadaannya amat jauh berbeda dari wad bayi dan ibu ketika Wani dilahirkan.

Kadangkala terbetik dalam hati, rasa kesal pada diri, kerana terlalu mengikut rasa hati. Jika ketika itu masih bujang, mungkin tidak menjadi masalah. Soalnya, diri ketika itu sudah punya keluarga dan punya dua orang anak. Sebagai seorang ayah, pastinya saya impikan sesuatu yang serba baik untuk anak-anak dan isteri. Saya memang berhasrat mahu Nisa dilahirkan dalam suatu suasana yang amat menyenangkan. Tapi takdir Ilahi yang menentukan segala-galanya.

Lebih memedihkan, Riswati yang melahirkan Nisa secara pembedahan, mengalami komplikasi pada bahagian pembedahan. Kawasan pembedahannya terkoyak, luka dan bernanah.

" Kenapa jadi begini? " tanya saya sedih apabila Riswati tidak dibenarkan pulang kerana terpaksa meneruskan rawatan. Nisa telah dibawa neneknya balik ke rumah.
" Ris minta bantuan nurse untuk bawa ke bilik air. Tapi dia membebel kata kita malas bangun sendiri. Macam mana nak bangun. Sakit...." lahir Riswati.

Mungkin kerana tidak mahu diperleterkan lagi, Riswati bergerak sendiri ke bilik air. Mungkin itulah juga sebabnya kenapa jahitan pembedahan Riswati terkoyak. Peristiwa itu berlaku sehari selepas proses pembedahan itu.

Saya benar-benar kesal dengan kecuaian dan sikap tidak profesional jururawat Malaysia. Pesakit-pesakit yang berhampiran juga turut melahirkan kejengkilan yang sama kerana turut diperlakukan sedemikian. Tambah kesal lagi, isteri saya adalah bekas seorang jururawat terlatih dan mungkin banyak berjasa kepada manusia. Cuma bedanya, beliau adalah lepasan dari kolej jururawat Singapura dan bertugas di negara itu sebelum berkahwin dengan saya.

Kejengkilan saya itu, saya zahirkan kepada ketua jururawat yang bertugas dan memaklumkan kepadanya, isteri saya ini adalah bekas seorang jururawat sepertinya. Sejak hari itu, isteri saya yang petah berbahasa Inggeris, ternyata mendapat perhatian yang baik dari staf di wad tersebut. Malah tidak lama kemudian, beliau ditempatkan di wad yang lebih baik, wad 2.

Kelahiran Nisa benar-benar menyedarkan saya, antara keperluan untuk meneruskan pengajian atau memberi tumpuan mencari rezeki tetap bagi membesarkan Nisa dan kakaknya Wani serta kebahagian keluarga khususnya ibu mereka Riswati.

Saya berbincang panjang dengan Riswati mengenai soal ini tidak lama kemudian dan menyatakan hasrat untuk menarik diri dari pengajian MA saya. Bagaimanapun, Riswati menolak hasrat saya dan mahu saya menyelesaikan pengajian saya itu. Sebagai imbangan untuk itu, Riswati memohon agar dia dibenarkan untuk kembali menjadi seorang jururawat suatu bidang kerjaya yang ditinggalkan sebaik menjadi isteri saya tahun 1984.

Mungkin pengalaman dirawat di hospital itu membangkitkan nostalgianya. Atau mungkin hasratnya lebih untuk membantu meringankan bebanan saya. Pada akhir 1988, Riswati kembali menjadi seorang Jururawat di sebuah hospital swasta di Johor Baru. Mereka tinggal bersama ayah dan ibu mentua di sana sementara saya menyewa sebuah bilik di Bangsar KL dan pulang ke JB setiap hujung minggu.

Kesempatan itu, saya ambil untuk menyelesaikan kajian lapangan bagi tesis saya berjudul Kesan dan Pengaruh TV terhadap Remaja Melayu Malaysia. Saya memecahkan lapangan kajian ke beberapa wilayah seperti utara, tengah dan selatan. Tidak hairan, sepanjang tempoh itu, saya berpergian ke banyak sekolah menengah di negeri Johor, Melaka, Selangor dan Kedah. Penyelia saya Dr Hamidah Abdul Hamid.

Kajian saya hanya tinggal 15 peratus lagi, pada Oktober tahun 1989, apabila saya terdorong menulis surat memohon menjadi pengarang sambilan di Kumpulan Karangkraf. Mungkin, kecenderungan itu timbul kerana keinginan mendalami pengetahuan dalam bidang pengarang media cetak lanjutan pengetahuan yang semakin baik dalam bidang percetakan sebagaimana yang dipaparkan terdahulu.

" En. Sudirman?" saya menerima satu panggilan telefon anggaran tiga hari kemudian dari pejabat bos Kumpulan Karangkraf, Haji Husamuddin Yacob.
" Ya," jawab saya.
" Saya dari pejabat Tuan Haji Husamuddin Karangkraf. Tuan Haji minta encik datang ke pejabat kalau boleh hari ini. "
" Hari ini? Baik . Petang ini jam 2 ptg saya ada di sana," jawab saya dengan gembira.

Jam 2 petang, saya sudah tiba di pejabat Karangkraf yang terletak di Taman Tun Dr. Ismail, ketika itu.


AKAN DATANG: HIDUP SEBAGAI SEORANG PENGARANG