Iklan

Monday, April 12, 2010

PROJEK PERTAMA RM 19 RIBU. BODOHNYA MELAYU..!?


" Projek ini besar tahu Cik Sudir. Merangkum 6 tahun. Kalau Cik Sudir boleh bantu, hidup kita boleh senang," begitu kata seorang kenalan kakitangan UM, ketika saya tidak sengaja bertembungnya di kantin Staf Fakulti Sastera, Universiti Malaya. Tak silap suku akhir tahun 1987.

Sebelumnya, kami berbual tentang kisah-kisah lama ketika saya berkhidmat di institusi itu. Kisah projek ini tercetus, lanjutan dari hasratnya untuk membantu saya setelah menyedari saya ketika itu akan menyambung pelajaran MA dan tidak lagi bertugas dengan TV3.

" Projek apa tu. Hebat bunyinya," tanya saya kembali.
" Projek buku latihan untuk sekolah JAWI. Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan. Tahun ini kita buat 6 buku untuk tahun satu. Tahun depan budak-budak ini naik tahun dua, kita buat buku latihan baru untuk mereka. Dalam masa yang sama buku tahun satu kita cetak semula untuk pelajar tahun satu yang baru. Begitulah seterusnya hingga budak-budak ini sampai darjah enam," lahir teman saya ini.
" Enam tahun akan datang kita akan cetak enam set untuk darjah satu hingga enam. Satu set ada enam buku kali 5000 buah naskah tiap satu. Bererti tahun ini kita cetak 30,00 buah buku. Tiap satu 60 hingga 70 sen . Cuba kira jumlahnya," sambung teman saya lagi.

Saya macam orang bodoh mengikut saja kata-katanya. Tahun ini saja, kalau projek ini dapat 'saya lunaskan' jumlah buku 6 tiap set kali 5000 sama juga 30,000. Kali 60 sen atau 70 sen jumlahnya anggaran kasar RM 19,000. Kalau untung lima sen pun (komisen) tiap satu ada juga RM1,500. Banyak tuuu... Tahun depan 60,000 naskah, dah ada RM 3,000. Enam tahun akan datang ada 180,000 naskah bererti atas anggaran untung 5 sen, ada juga paling kurang RM9000.00. RM 9000 untuk enam tahun kemudian. Wow...

" Kalau ada peluang, buku-buku ini kita jaja kat JAIS, JAIM, JAINS dan sebagainya," tambah teman saya lagi.

Saya jadi al Mat Jenin seketika. Teringat kata-kata Ahmad Nisfu dalam filem Tiga Abdul. Kaya..kaya...kaya.

" Apa yang perlu saya buat?" tanya saya mula seronok.
" Tadi kata ada kawan orang Melayu yang ada kilang cetak. Kau bekerjasama dengan dia, cetak buku itu. Belajar macam mana nak cetak buku dari dia. Lain kali boleh buat sendiri," zahirnya penuh yakin.

Saya kembali teringat kata-kata saya padanya yang saya punya kenalan orang Melayu yang buat bisnes cetak-mencetak ini. Saya pernah berbual dengannya beberapa hari sebelumnya mengenai soal itu.

Dengan berbekalkan 'contoh' enam buku, saya bergegas menemui teman saya yang 'punya bisnes cetak' itu. Saya jelaskan semua kepadanya dan cadangan anggaran kos tiap satu 60 sen hingga 70 sen.

" Melayu ke..?. Betul ke ada duit. Benda ni boleh buat. Tapi abang takut dia tak bayar. Susah saya nanti," zahir 'toke' Melayu ini. " Kau kena minta deposit. Paling kurang RM 10,000. Kalau ada, hari ini kita mula cetak. Dalam satu bulan siap semua. Januari boleh hantar ke sekolah-sekolah."

Kelihatan ada rasa keraguan pada teman 'toke' Melayu itu tadi, tentang orang Melayu, teman saya yang seorang lagi. Otak saya mula mencongak-congak tentang perkara itu.

Kenaifan saya, kerana tidak banyak menyibuk diri mendalami perangai dan sikap Melayu selama ini, Mungkin, saya tidak punya banyak masa atau tepatnya tidak pernah terbabit dalam soal bisnes atau soal dunia korporat dengan orang Melayu. Kehidupan saya sebelum ini lebih menjurus kepada makan gaji dengan kerajaan atau dengan swasta.

Saya berjumpa semula dengan teman 'projek besar' ini. Namanya biarlah saya rahsiakan. Mungkin dia masih marah dengan 'kebodohan' saya. Wallahualam bissawab.

" Kawan saya kata 'no problem'. Kos 60 hingga 70 sen setiap satu buku, okey." zahir saya. " Tapi..."
" Kau mahu deposit ?" pintas teman saya itu.
" Ya... yaa. Deposit. Katanya anggaran separuh. Macam RM 10,000, " zahir saya agak gusar. Seumur hidup, saya tidak berani menyebut jumlah yang sebesar itu. Kalau main seribu dan bawah tu biasalah. Ini sudah masuk puluh ribu.

Teman saya tersenyum. Dia bergegas masuk ke biliknya. Tidak lama kemudian dia keluar kembali membawa sekeping cek yang tertulis RM 10,000. Mahu terperangah saya dibuatnya, kerana saya tidak pernah menemui seorang manusia Melayu yang tidak ragu-ragu mengeluarkan wang sebanyak RM 10,000 semudah itu, sebelum ini.

" Aku percaya dengan kau. Harap kau pastikan dia buat kerja dengan bagus. Mana tahu ini jadi asas kau kembali jadi orang berjaya".

Hati saya tiba-tiba menjadi terlalu takut. Bukan saja takut kerana di tangan saya kini ada wang (cek) bernilai RM 10,000, malah lebih jauh dari itu, orang menaruh keyakinan yang tidak berbelah bagi terhadap kejujuran dan kemampuan saya. Cek itu dengan hati-hati saya masukkan ke dalam poket seluar kanan. Sepanjang perjalanan menemui 'toke Melayu', tangan saya kekal berada dalam poket itu. Saya takut tercicir di mana-mana dan jika itu berlaku 'nahas' masa hadapan dan maruah saya.

Wajah 'toke Melayu' itu kewalahan dan agak malu, apabila saya serahkan cek itu kepadanya. Mungkin dia malu dengan keterlanjuran menilai orang Melayu yang satu lagi. Saya benar-benar meminta teman saya itu, melunaskan tanggungjawabnnya itu dengan baik dan sempurna dan menepati masa, sebagaimana yang dijanjikan.

Hampir seminggu lamanya, saya tidak mendengar sebarang berita dari teman 'toke Melayu' saya tadi. Saya kira, mungkin dia begitu sebok dengan urusan percetakannya. Saya cuba menghubunginya kerana terasa ingin melawat kilangnya dan menyaksikan sendiri proses pembikinan dan percetakan buku. Namun,usaha saya kerapkali hampa.

Suatu hari, ditakdirkan Tuhan, saya berpapasan dengan sebuah kereta jenama ' Honda' yang baru menjengah pasaran tempatan ketika itu. Mahu terkejut saya, apabila pemandu kereta baru itu adalah 'teman toke' saya itu. Pelbagai fikiran mula menjengah kepala. Bagaimanapun, dengan hasrat tidak mahu berburuk sangka, fikiran itu saya siahkan jauh-jauh. Dalam era hampir 20 tahun DEB, masakan orang Melayu tidak mampu berkereta sehebat orang Cina dan orang India. Lagipun, dia toke kedai cetak.

Esoknya, saya tanpa sengaja bertemunya di pejabat isterinya yang bertugas di sebuah jabatan kampus UM. Kelihatan dia agak terkejut dengan kehadiran saya. Dia mengatakan proses percetakan berjalan lancar dan menjelang akhir bulan boleh siap. Semua urusan membuat filem, plet, kertas sudah diselesaikan. Kini dalam proses masuk cetak.

Perkabaran mengenai perkara itu membuat hati saya begitu gembira kerana sekurang-kurangnya amanah orang sudah mula saya lunasi. Saya meminta darinya untuk melakukan kunjungan ke kedai cetaknya, bagaimanapun, dia menolak dengan andaian tiada masa dan terlalu sebok.

Hampir dua minggu kemudian saya menerima telefon dari toke Melayu itu. Dia memaklumkan cetakan telah siap. Terasa benar gembira hati apabila diberitahu sebegitu. Sekaligus, saya menolak andaian yang mengatakan Melayu tidak boleh buat kerja. Ketika itu juga terbetik di hati, saya mahu belajar dari 'toke Melayu' ini, ilmu baru dalam bidang percetakan.

Kami bertemu tidak lama kemudian.

Bagaimanapun, pertemuan yang sepatutnya ceria, bertukar menjadi satu suasana yang amat mengelirukan. Teman saya, hanya membawa dua set bungkusan buku untuk buku 1 dan buku 2.

" Buku 3, 4, 5 dan 6 mana, bang?" tanya saya kewalahan.
" Ini yang abang nak cakap pada kau ni. Semua dalam cetak. Tapi abang tak cukup modal. Kau pergi jumpa orang tu dan minta tambah deposit," jawabnya dengan mula membebankan tugasan baru.
" Selalunya deposit 50 % itu dapat bereskan semua. Kan baik abang selesaikan semua dan ambil bakinya bila serahkan yang lain," balas saya.
" Macam mana abang nak selesaikan kerja ni, bila abang tak ada duit," pangkahnya pantas. Ada nada marah dalam suaranya.

Mahu tidak mahu, dan dengan rasa yang berat dan malu, saya menemui teman projek itu dan menyerahkan bungkusan dua buah buku yang telah disiapkan. Seperti biasa teman saya yang satu ini, tidak memperlihatkan riaksi apa-apa. Dia menyuakan cek sebanyak RM 5000 kepada saya dan meminta saya menyelesaikan tugasan dengan segera kerana akhir tahun seminggu lagi akan menjelang tiba.

Cek RM 5000 itu saya serahkan kepada 'toke Melayu' itu. Sekali lagi harapan teman projek itu saya zahirkan kepadanya. Dia berjanji, akan menyelesaikan semua tugasan menjelang akhir bulan dan buku dapat diserahkan kepada murid pada awal sesi persekolahan.

Menjelang akhir tahun, saya masih tidak menerima sebarang perkabaran dari toke ini. Ketakutan dan kegemparan mula melumuri hati saya. Akhirnya, dengan latar sebagai bekas wartawan, saya melakukan satu penyiasatan. Saya bertanya teman-teman toke di mana letak kilang atau kedainya.

" Kilang? Dia mana ada kilang. Kelentong besar dia tu. Dia hantar kat India di Brickfield. Cuba kaucari di sana. Petang-prtang adalah dia tu," lahir seorang kawannya yang juga bekas kakitangan saya di UM dulu.

Dengan fikiran yang berbolak-balik dan keraguan yang amat sangat, saya cuba menjejaki 'toke' ini di Brickfield. Memang takdir menentukan, kerana saya terserempak dengan dirinya di sebuah kilang cetak di saa. Toke itu, ternyata terkejut dengan kehadiran saya di situ. Dia berbolak-balik sambil menunjukkan bahan yang sedang dicetak.

" Ini buku ke berapa bang?" tanya saya.
" Buku 3 dan 4," jawabnya.
" Buku 5 dan 6?"
" Belum buat. Belum beli kertas. Tapi plet dan filem dah buat."

Menggeleng-geleng benar saya apabila diberitahu sebegitu. Saya merayu sakan agar dia segera membereskan kerjanya. Sekali lagi dia berjanji akan selesaikan tugasnya.

Seminggu selepas sesi persekolahan bermula, buku 3 dan 4 berjaya disiapkan. Saya diminta mengambil buku-buku di kilang India itu. Tanpa membuang masa, saya bersegera untuk mengutip buku-buku untuk diserahkan kepada teman projek saya.

" Tuan, itu buku 5 sama 6 bila boleh siap?"
" Bila-bila boleh siap. Tapi itu awak punya kawan tak da bayar 3 sama 4. Macam mana mahu jalan," jawabnya.
" Siap semua, berapa lagi baki hutang dia?"
" Kurang lebih empat ribu," jawab pekilang itu.

Ternyata buku 3 dan 4 tidak dapat saya ambil kerana masalah pembayaran dati teman 'toke' saya ini. Wang sebanyak RM 15,000 dirasakan lebih dari cukup untuk membereskan semua kerja. Teringat saya kembali dengan selera besar kawan saya yang bergaya dengan kereta baru. Sepatutnya, teman toke saya ini membereskan semua kerja dari wang yang diberikan. Baki darinya adalah untung. Dengan untung itulah, belilah apa saja, termasuk kereta jika mahu bergaya.

Saya cuba menjejaki teman toke ini, tetapi kelibatnya hilang entah ke mana. Dalam masa yang sama, teman projek mula mendesak agar saya cepat menyerahkan baki buku-buku itu. Akhirnya mahu tidak mahu, tanpa pengetahuan Riswati, saya mengeluarkan wang simpanan sebanyak empat ribu ringgit dan menyerahkan kepada toke kilang untuk membolehkannya menyelesaikan segala urusan percetakan. buku 3 dan 4 saya kutip dan serahkan kepada teman projek saya.

Sejak itulah, saya mula bersahabat dengan toke kilang. Hampir setiap hari saya berada di kilangnya untuk memastikan tugasan mencetak buku dibereskan segera. Manusia ini, secara tidak langsung mengajar saya mengenai ilmu bidang percetakan. Saya ditunjukkan di mana membeli kertas, di mana membuat filem dan plet. Di mana membuat binding dan creasing dan di mana membuat UV.

Buku 5 dan 6 akhirnya berjaya dibereskan pada pertengahan bulan Februari dan saya sendiri terpaksa menghantar buku-buku itu hampir ke semua sekolah agama JAWI seluruh Kuala Lumpur. Kejayaan menghasilkan dan menyerahkan buku itu memberi kepuasan kepada diri saya, walaupun tidak memberi untung malahan rugi.

Kini, saya sudah memahiri satu ilmu baru dalam urutan perjalanan hidup saya. Ilmu dalam bidang percetakan.

Sebagaimana diduga, itulah projek pertama dan terakhir saya dengan teman projek saya tadi. Dia memahami masalah saya walaupun kecewa. Dia menasihati saya, supaya menyiasat dulu, kawan yang kononnya hebat dan jangan terjebak dengan ketrampilan orang lain.

" Don't judge a book by its cover," nasihatnya sambil menyerahkan baki wang anggaran RM 4000 lagi kepada saya. " Sekurang-kurangnya, kau sudah memahami realiti manusia di luar kepompong kehidupan,"
tambahnya lagi.

Saya melentok bodoh dan merasa malu yang amat sangat. Fikiran menerawang jauh dan sejauh hilangnya untung beribu-ribu dalam tempoh 10 tahun. Teringat kembali kata-kata Ahmad Nisfu dalam Tiga Abdul. Kaya...kaya...kaya... ops kayap...kayap...kayap.

Bodohnya Melayu...!?

Akan datang:

TUAN EKSPETRIAT, TUAN