Iklan

Wednesday, December 23, 2009

MAJALAH 3 1985 (TV3)


Saya sengaja memilih hari ini 1 Januari 2010 untuk memulakan penulisan dalam blog ini. Pada hari ini 25 tahun lalu, saya memulakan karier dalam penerbitan dokumentari TV di TV3, satu bidang yang terus menjadi karier saya sehingga hari ini.

Melalui blog ini, selain pelbagai komen mengenai isu semasa, saya juga akan mengisahkan pelbagai pengalaman serta peristiwa belakang tabir ketika bertugas di beberapa agensi media termasuk TV3. Pada akhir setiap blog, jika berkesempatan, akan saya paparkan salah sebuah video dokumentari mengenai Sejarah Tanah Melayu yang pernah saya hasilkan.

Semoga ramai pelajar dan anda peminat sejarah akan mendapat manfaat darinya.

Esok adalah hari ulang tahun ke-25 program rancangan Majalah 3. Bahan pertama yang diterbitkan kalau tak silap pada 2 hb Januari 1985 adalah mengenai Bahasa Melayu. Sejak itu, saban minggu kami 'kelam kabut' menyediakan, mencari bahan, serta menerbitkan beberapa tajuk 'Human Interest' lainnya.

Antara judul-judul bahan adalah Khoo Si Raja Lebah, Belakang Tabir Kembara Seniman Jalanan, Nita dan Nisa Si Kembar Siam, Melaka Bersejarah Kebangggan Negara, Labuan- Kelmarin Hari Ini dan Esok, Omar Badhan - Saja Je.., , Dr. M - Sejenak Bersama Orang Melaka, Hell Rider, Seladang + Lembu = Selembu, Sebuah Kota Bernama Labuan, Perkembangan Islam Di Malaysia, Miracle Joe, Kontroversi Makam Hang Tuah, Pusat Pemulihan Dadah Sungai Mercong serta banyak lagi.

Siaran TV3 ketika itu hanya meliputi kawasan sekitar Lembah Kelang dengan penonton anggaran tiga juta orang. Tidak hairan, sekiranya ramai kalangan masyarakat di luar Lembah Kelang tidak sedar akan kewujudannya. Sebagaimana sambutan umum terhadap Majalah 3 kini, pencapaian Majalah 3 dari segi audien ketika itu dirasakan hebat juga. Dalam tempoh tiga bulan, Majalah 3 muncul sebagai rancangan TV tempatan paling popular di Lembah Kelang dengan jumlah penonton 585,000 dari 3 juta orang. Cubalah bandingkan dengan pencapaian 2 juta orang kini dengan audien 25 juta seluruh negara.

Mungkin ramai yang tidak sedar atau terlupa, saya salah seorang dari empat 'pemain' utama atau pengasas rancangan Majalah 3. Selain bos dan bekas pensyarah saya di UM, Salleh Kassim (Penerbit), dua orang yang wajar disebut adalah Azali Abu Hassan kini Pegawai di Jabatan Warisan Negara (Pembantu Penerbitan) dan Allahyarhamah Noraini Ahmad, mantan penerbit (kerani). Pak Samad (Wartawan Negara) bertindak sebagai Penasihat Editorial bagi keseluruhan Unit Berita dan Hal Ehwal Semasa TV3.

Jawatan saya adalah sebagai Penolong Penerbit cum Pengarah, Penyelidik, Penulis Skrip, Wartawan Lapangan, dan macam-macam. Satu 'jawatan' yang amat membebankan, memenatkan dan tidak masuk akal . Kami dibantu oleh tenaga karyawan berpusat terdiri dari beberapa jurukmera seperti Lazam Maidin, Hong Chong Watt, Subki serta beberapa editor video seperti Awal, juruteknik dan krew post produksi serta mendiang Peter Lim di unit audio. Abdul Razak Abdullah dan Fitri Aziz membantu dalam memberikan suara latar.

Pejabat kami ketika itu begitu sempit dan melemaskan anggaran 10 X 14 kaki persegi, di bangunan lama Jalan Liku Bangsar, belakang bangunan NST. Ketika itu peralatan kamera kami (berkongsi dengan Unit Berita) begitu daif dengan hanya 2 kamera Betacam edisi awal yang begitu berat serta selebihnya kamera yang memerlukan dua orang mengendalikannya. Mesin- mesin editingnya bercirikan A B Roll. Lucunya, unit Berita dan Hal Ehwal Semasa kerap 'bergaduh' kerana masing-masing berebut untuk menggunakan kamera betacam itu.